Usahawan Lebah Kelulut

Assalamualaikum anak-anak,

lebah kelulut

Lebah Kelulut

Pada awal tahun lepas, umi berpeluang mengikuti kursus penternakan lebah kelulut yang dikendalikan oleh Tuan Haji Razib Ibrahim, pakar penternakan lebah kelulut di bengkel beliau di Kampung Petani Sering, Bachok, Kelantan. Bengkel sehari yang umi hadiri bersama anak bongsu yang berumur 9 tahun telah memberi pengetahuan baru tentang kehidupan dan ciptaan Allah yang akan umi kongsi di sini.

kotak ternak kelulut

Sarang lebah kelulut dipindah masuk ke dalam kotak untuk ternakan.

dalam kotak ternak kelulut

Keadaan sarang lebah kelulut dalam kotak ternakan.

Ciri-ciri lebah kelulut

Kelulut merupakan antara spesies lebah yang tidak menyengat, jadi ia mudah dikendalikan berbanding lebah madu biasa. Lebah kelulut bersaiz 3 – 8 mm dan sangat lincah bergerak. Ia sangat berbeza dengan lebah Apis (Apis Dorsata-Lebah Tualang dan Apis Cerana-Lebah Lalat) yang ukurannya lebih besar dan pergerakkannya tidak bergitu lincah. Serangga ini mempunyai 3 pasang kaki yang semuanya beruas-ruas. Sepasang kaki belakang memiliki duri-duri yang sangat banyak sehingga mampu memegang erat debunga yang dikutip dari tumbuhan. Di bahagian kepala terdapat sepasang mata yang sangat lebar, mirip mata belalang, mempunyai sepasang antena, dengan mulut muncung panjang bagi memudahkan lebah kelulut menghisap madu. Ia juga mempunyai sepasang sayap di punggungnya berukuran lebih panjang yang membuatkannya dapat bergerak bebas dengan lincah di udara.

 

madu kelulut

Madu Kelulut – warnanya lebih jernih berbanding madu hutan biasa dan rasanya manis bercampur sedikit masam. Madunya mempunyai banyak khasiat untuk memulihkan pelbagai penyakit kronik dan sangat berguna dalam bidang perubatan dan kesihatan.

Dalam Al-Quran terdapat satu surah yang dinamakan An-Nahl bererti lebah berdasarkan firman Allah dalam ayat 68 dan 69 ertinya: “Dan Tuhanmu mengilhamkan kepada lebah: Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu dan di tempat yang dibuat manusia.” “Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.”

Madu berasal daripada sari bunga dan menjadi ubat bagi pelbagai penyakit manusia. Khasiat madu sebagaimana disampaikan al-Quran telah dibuktikan secara ilmiah oleh pakar perubatan. Khasiat madu kelulut termasuklah meningkatkan metabolisme badan, menambahkan tenaga batin, menjaga kecantikan, menguatkan wanita yang baru bersalin dan merawati pelbagai penyakit dan kecederaan dalaman.

propolis kelulut

Propolis – Propolis terbentuk dari bahan resin yang diambil lebah dari pohon yang mengandungi getah. Lebah kelulut kemudian memprosesnya sehingga membentuk propolis, bahan yang berwarna hitam, kuning atau coklat tua di sarang lebah kelulut.

Propolis berfungsi sebagai antikulat, antifungus, antibakteria dan antiradang. Dalam propolis mempunyai berberapa bahan aktif seperti flavonoid, fenolik hidroquinon, tannin, triterpenoid dan gula produksi.

bbread kelulut

Bee Bread atau Roti Lebah Kelulut- Ia merupakan makanan simpanan kelulut selain daripada madu. Bee Bread merupakan campuran debunga (pollen) dengan madu yang diolah menggunakan air liur kelulut. Ianya kemudian melalui proses pencernaan dan fermentasi.

Khasiat daripada bee bread ini amatlah banyak berbanding pollen kerana ianya mempunyai banyak asid amino essential. Kajian dari USM Kubang Kerian telah membuktikan bahawa pengambilan bee bread ini akan memperkuatkan fungsi hati, hempedu, otot, mata, serta dapat meningkatkan daya kreativiti dan imaginasi seseorang pengamalnya.

Hmm.. besarnya ciptaan Allah.

Kepada anak-anak yang masih tercari-cari kerja, sebenarnya anak-anak boleh menceburkan diri sebagai pengedar produk lebah kelulut atau menjalankan usaha menternak kelulut. Hasil ternakan kelulut sangat lumayan. KIta tidak perlu bersusah payah memberi makanan kepada kelulut kerana sifatnya yang rajin mencari makanan sendiri. Kalau anak-anak hendak mencuba, bolehlah menghadiri kursus penternakan kelulut yang disediakan oleh Kelantan Biotech Corporation.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *