Ummatan Wasatan

Hidup ini bagaikan roda. Ada masa kita di atas, pada masa yang lain kita di bawah. Ada di antara kita pernah merasai kegagalan, begitu juga ada yang pernah mengecapi kejayaan. Bila gagal, ramai rakan dan saudara yang menjauhkan diri daripada kita. Bila kaya dan berjaya, pastinya ramai akan ingin menjadi sahabat, ramai juga akan mengaku saudara. Tidak dinafikan wang itu penting, tetapi bukan segala-galanya boleh dibeli dengan wang.

Dengan wang, kita boleh beli rumah yang besar, tetapi belum tentunya rumah itu menjadi tempat tinggal keluarga yang bahagia. Dengan wang, kita boleh beli jam berjenama mahal, tetapi kita boleh membeli masa. Kita boleh membeli segala makanan kesihatan dan ubat-ubatan, namun belum pasti kita dapat membeli kesihatan. Membeli buku sememangnya mudah dengan wang, tetapi belum tentu mendapat ilmu.

Kaya dan Berjaya

Ramai yang beranggapan untuk menjadi kaya dan berjaya, kita perlu korbankan sesuatu. Mungkin sering kali juga kita mendengar masalah tentang usahawan kaya yang terlalu sibuk sehingga mengabaikan tanggungjawab keluarga dan agama. Ada juga anak-anak yang terlalu sibuk mengejar kedudukan sehingga terabai tanggungjawab kepada ibu-bapa.

Sebenarnya Islam menggalakkan umatnya mencapai kecemerlangan dalam apa sahaja bidang, termasuk kekayaan. Namun apa yang dikehendaki ialah untuk kita menjadi sebuah umat pertengahan “umattan wasatan” yang menegakkan keadilan, bersikap sederhana dan melaksanakan yang terbaik.

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.” (Al-Baqarah: 143)

Cemerlang Dunia dan Akhirat

Natijahnya, kalau cemerlang dalam kerjaya, pastikan cemerlang juga bersama keluarga. Sekiranya cemerlang dalam kewangan, jangan abaikan urusan kekeluargaan dan masyarakat. Cemerlang di dunia, perlu cemerlang di akhirat. Satu mindset yang perlu dimiliki dalam kehidupan adalah, tidak semestinya kita perlu memilih antara satu dengan yang lain. Sekiranya hendak menjadi kaya, perlu korbankan agama dan masyarakat. Sudah semestinya tidak begitu bagi “ummatan wasatan”.

Ummatan wasatan ialah umat yang dinamik, kuat, dan maju dalam bentuk dan agenda perjuangan yang sejajar dengan agama dan ajarannya yang lengkap dan menyeluruh. Umat Islam bukanlah umat yang lemah dan umat yang sering ketinggalan dalam persaingan dengan umat lain yang penuh dedikasi dan kesungguhan dalam segala usahanya di dunia ini. Malah dalam hal ini, al-Quran mengajar kita supaya mencari kebahagiaan dan kebaikan di dunia dan akhirat,

Kecemerlangan yang sebenar adalah apabila kita hebat dalam semua bidang yang dilakukan. Oleh itu, janganlah kita sewenang-wenangnya membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Isikan masa kita dengan usaha untuk menambah ilmu, meningkatkan kemahiran dan bekerja keras untuk menambah pendapatan agar hidup kita ini berguna untuk agama, keluarga dan masyarakat.

Rujukan: Wasatiyyah bukan bererti menyerah kalah, Ismail Ibrahim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *