Tidurlah Sayang

Assalamualaikum,

Ramai dalam kalangan kita sanggup mengorbankan tidur untuk aktiviti lain seperti menonton, melayan Internet atau bermain game. Masa yang sepatutnya kita tidur selepas seharian bekerja atau belajar, telah disalah gunakan. 

Tidur mengikut masa yang betul adalah penting kerana ia memberi kesan kepada kebolehan fizikal dan mental. Malangnya, ramai di antara kita mempunyai tabiat tidur yang tidak baik dan kitaran tidur yang tidak teratur.

Jam Biologikal

Keperluan untuk tidur berbeza dari seorang ke seorang.  Bayi memerlukan 16-18 jam tidur setiap hari, manakala kanak-kanak sekolah memerlukan kira-kira 11-12 jam. Remaja memerlukan kira-kira sembilan hingga 10 jam dan orang dewasa memerlukan enam hingga lapan jam setiap hari.

Menurut laman web perubatan WebMD , irama circadian adalah penting dalam menentukan corak tidur manusia. Irama circadian adalah jam dalaman badan yang mengawal kitaran 24 jam proses biologi seperti pengeluaran hormon dan pertumbuhan semula sel.

Kurang tidur berlaku apabila seseorang itu keluar daripada kebiasaan dengan rentak circadian atau jam biologikal. Orang yang cenderung untuk tidur pada waktu yang salah, menyebabkan jumlah masa tidur berkualiti kurang daripada yang sepatutnya. 

Tidur Adalah Nikmat Allah

Tidur adalah suatu nikmat yang diberikan oleh Allah kepada manusia. Hanya Allah yang tidak mengantuk dan tidak tidur. Sebenarnya tidur juga merupakan satu ibadah sekiranya kita lakukannya seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan Kami jadikan tidurmu untuk rehat.” (An-Naba’: 9)

Rasulullah S.A.W bersabda: “Apabila kamu hendak mendatangi tempat tidur, maka berwudhuklah seperti wudhuk kamu untuk solat kemudian berbaringlah ke sisi sebelah kanan.”

Cara tidur yang paling baik adalah mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. Baginda tidur dengan berbaring ke kanan menghadap kiblat dan baginda meletakkan tangannya yang kanan di bawah pipinya yang kanan.

Tidur menjadi suatu ibadah jika kita meniatkannya dengan betul. Baca doa sebelum tidur. Niatkan tidur kita adalah untuk merehatkan badan dan fikiran kita serta memulihkan kekuatan agar dapat bangun kembali untuk beribadah kepada Allah. Insya Allah tidur kita akan diberkati dan mendapat pahala dari Allah.

Waktu tidur yang baik adalah sudah tentunya pada waktu malam hari. Ini kerana waktu malam adalah waktu yang sesuai untuk manusia berehat setelah banyak melakukan aktiviti pada siang harinya. Jika tidur tidak cukup, sudah tentu kita akan mengantuk semasa bekerja atau mengantuk dalam kelas bagi yang masih belajar.

5 Manfaat Tidur

1) Menenangkan Fikiran

Setiap hari kita mungkin dibebani dengan pelbagai masalah. Itu sudah menjadi lumrah kehidupan manusia. Fikiran kita akan merasa lebih tenang jika mendapat tidur yang cukup. Dengan itu, kita akan mempunyai keyakinan dalam diri untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi.

2) Merehatkan Badan

Lazimnya, siang hari adalah waktu untuk kita bekerja mencari rezeki bagi menampung kehidupan. Kadang-kadang kita tidak sempat untuk berehat kerana banyak kerja yang perlu diselesaikan. 

Malam merupakan waktu untuk merehatkan badan kita yang keletihan. Tidak sepatutnya kita sia-siakan waktu rehat di malam hari dengan melakukan aktiviti yang menyebabkan kita berjaga sehingga larut malam. Akibatnya, tubuh akan bertambah penat jika tidak mendapat tidur yang baik.

3) Mengembalikan Tenaga dan Membina Semangat

Tenaga yang ada dalam diri kita akan berkurang apabila banyak melakukan banyak kerja. Tidur adalah cara terbaik untuk berehat dan mengembalikan tenaga dalam diri. Satu amalan tidur yang baik adalah tidur sekejap sebelum solat Zohor. Amalan ini akan dapat mengembalikan tenaga kita untuk terus bekerja dalam keadaan yang baik sehingga ke petang.

Tidur awal waktu malam pula adalah baik untuk memulihkan tenaga dalam diri kita supaya dapat bangun awal bagi memulakan hari baru dalam keadaan bertenaga dan penuh semangat.

4) Mengatasi Stres

Stres ataupun tekanan yang muncul dalam diri seseorang adalah disebabkan oleh masalah yang dihadapi dalam kehidupan seharian mereka. Contoh masalah yang biasa dihadapi adalah masalah kewangan, masalah perkerjaan, masalah pelajaran, hubungan dengan pasangan masing-masing dan banyak lagi.

Ada banyak cara untuk kita menangani stres. Salah satu cara adalah dengan mendapatkan tidur yang cukup. Apabila mendapat tidur yang mencukupi, badan dan otak kita akan dapat berfungsi dengan baik. Ini akan memberikan satu kekuatan yang hebat dalam diri kita untuk menangani stres yang dihadapi.

5) Mengelakkan Sakit Kepala

Apabila tidur tidak cukup, masalah utama yang boleh berlaku adalah sakit kepala. Namun begitu, jangan terlebih tidur! Tidur yang berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan kerana otak akan menjadi malas, badan tidak bermaya, letih dan kurang semangat, seterusnya menyebabkan sakit kepala.

Apabila mendapat tidur yang cukup, kita akan bangun dalam keadaan yang segar dan dapat mengelakkan dari mendapat sakit kepala. Disamping itu mendapat tidur yang cukup adalah penting untuk mengelakkan diri kita dari sebarang masalah penyakit lain yang boleh berlaku berpunca dari masalah tidur.

7 Tips Untuk Mendapatkan Tidur Berkualiti

  1. Matikan komputer, telefon bimbit atau televisyen satu jam sebelum tidur. 
  2. Matikan lampu sehingga tempat tidur betul-betul gelap.
  3. Jika membaca, cuba membaca subjek tidak menarik yang mungkin mencetuskan rasa mengantuk dan bukan subjek yang membuatkan kita terus berjaga.
  4. Dengar bacaan Quran atau muzik lembut dan santai.
  5. Elakkan meminum kopi atau minuman berkafein sebelum tidur.
  6. Makan malam awal. Elakkan makan berat kerana terlebih makan boleh menyebabkan gangguan tidur.
  7. Amalkan senaman harian untuk membantu mengawal jam biologikal. Elakkan bersenam 2-3 jam sebelum tidur kerana ia boleh membuat kita terus berjaga.

Sebagai kesimpulan, kita hendaklah menjaga kesihatan diri kita dengan mendapat tidur yang berkualiti. Manfaatkan waktu tidur yang kita ada dengan sebaik-baiknya supaya ia tidak akan membawa sebarang masalah kepada diri kita di kemudian hari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *