Taasub Gajet Mudaratkan Kesihatan

Wahai anak-anak sekelian,

Baru-baru ini umi bersama beberapa rakan makan di sebuah restoran dan sementara menunggu hidangan, sempat pula melihat gelagat pelanggan lain yang asyik dengan gajet masing-masing.

Terlalu asyiknya mereka seolah-olah berada dalam dunia tersendiri. Mereka lebih senang dan ramah berkomunikasi dengan gajet, namun tidak sesama sendiri.

Adakah senario ini menjadi lumrah kehidupan pada zaman digital. Adakah hubungan keluarga dan proses pembesaran anak-anak sedang melalui proses transformasi luar biasa? Adakah gajet digital meningkatkan kreativiti dan membuatkan dunia sosial anak-anak lebih terbuka luas atau gajet itu merampas kesejahteraan zaman remaja anda?

 

Maklumat Di hujung Jari

Untuk menjawab persoalan di atas, kita perlu mempertimbangkan kebaikan dan keburukan gajet digital. Kita pasti menerima hakikat bahawa Internet, gajet digital dan banyak aplikasi memberi manfaat kepada manusia.

Internet adalah lautan ilmu tanpa sempadan. Maklumat boleh diperoleh di hujung jari secara percuma. Akibatnya, manusia menjadi lebih bermaklumat, tetapi sama ada mereka berilmu dan beramal yang baik, ini boleh dipersoalkan. 

Sistem pendidikan berubah secara drastik. Ramai guru dan pensyarah menggunakan Facebook dan laman web untuk memberi arahan dan berkomunikasi dengan pelajar mereka mengenai tugasan yang perlu disiapkan.

Selain itu, alam siber adalah hadiah kepada manusia yang bersifat ingin tahu yang boleh membawa kepada penerokaan sebenar pada kemudian hari. Kebanyakan jawapan kepada persoalan kita boleh dijawab melalui gajet digital. Kewujudan Internet, pembelajaran dalam talian, aplikasi rangkaian sosial seperti Twitter, Facebook dan aplikasi lain akan terus menjadi rakan baik generasi digital.

Namun, kebimbangan timbul apabila anak-anak terlalu obses dengan gajet digital sehingga boleh mengakibatkan risiko kesihatan fizikal dan mental. 

Keghairahan terhadap gajet menyebabkan ada anak-anak yang mengabaikan makan, kurang tidur, lalai menyiapkan kerja sekolah dan kurang berkomunikasi dengan ibu bapa. Melihat skrin gajet dalam jangka panjang tanpa rehat yang cukup boleh mengakibatkan gangguan penglihatan.

Kecenderungan menjadikan hobi berinteraksi dengan gajet digital turut menjadikan anda kurang aktif secara fizikal. Ini menyebabkan otot tidak bergerak dan badan tidak berpeluh.

Apabila kita kurang bersenam, ini akan meningkatkan risiko kegemukan, penyakit jantung dan kencing manis. Ada juga kes kanak-kanak dan remaja mengalami kekurangan berat badan disebabkan keasyikan bermain permainan video sehingga lupa makan manakala kurang tidur akan menjejaskan emosi, tingkah laku dan pembelajaran di sekolah.

Terdapat juga ibu bapa yang mendedahkan komputer tablet kepada anak di bawah umur dua tahun. Kajian menunjukkan aplikasi komputer termasuk yang kononnya direka untuk bayi dan kanak-kanak seawal usia dua tahun tidak memberi manfaat pendidikan, sebaliknya menimbulkan risiko pembangunan sosial dan emosi.

Kanak-kanak di bawah usia dua tahun seharusnya belajar membangunkan diri menerusi permainan kreatif dan bereksperimen dengan persekitaran, bukannya skrin gajet komputer.

Pengalaman pendidikan terbaik membabitkan interaksi dengan orang dewasa dan kanak-kanak lain, aktif secara fizikal, meneroka persekitaran dengan menggunakan semua deria dan belajar untuk berkomunikasi. 

Untuk mengurangkan risiko kesihatan anak-anak mestilah mengehadkan masa penggunaan gajet digital kepada satu jam saja setiap kali menggunakan gajet. Berikan masa untuk aktiviti fizikal supaya anak-anak menerima rangsangan semula jadi untuk pembesaran yang sihat.

Celik ICT

Anak-anak umi yang merupakan generasi digital sepatutnya memahami konsep celik teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang sebenar iaitu bijak menggunakan gajet digital, faham konsep keselamatan ICT, mahir menggunakan aplikasi ICT terkini, bijak mengaplikasi pengetahuan ICT untuk kesejahteraan diri, organisasi dan umat sejagat dan praktis amalan terbaik ICT untuk kesihatan sepanjang hayat.

Jika anak-anak tidak menitikberatkan aspek kesihatan dan keselamatan penggunaan gajet digital, umi bimbang anak-anak akan menjadi dewasa dalam keadaan kurang aktiviti fizikal, kurang berinteraksi bersemuka, anggota fizikal yang cacat dan kemungkinan wujud masalah psikososial. 

Adakah kita perlu bimbang atau tidak? Terserah kepada anak-anak untuk memikirkannya kerana mungkin umi sudah tiada lagi untuk menyaksikan generasi ‘zombie’ berkeluarga, bermasyarakat, mentadbir organisasi dan mentadbir dunia.

 

doa elak musibah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *