Siapa Kawan kamu?

Wahai anak-anakku,

Allah s.w.t. mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Dalam zaman digital ini umi dapati anak-anak juga mempunyai ramai kawan-kawan di alam maya melalui ‘social networking’.

Dalam Islam, faktor memilih kawan amat dititik beratkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan berperanan dalam membentuk personaliti individu. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja.

Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadith Rasululah saw yang bermaksud:

“ Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (H.R Abu Daud).

Bak kata pepatah Arab:

“Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”

Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

  1. Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
  2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
  3. Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
  4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
  5. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
  6. Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
  7. Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
  8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menayakan kesusahan kamu;
  9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
  10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
  11. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
  12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
  13. Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat
  14. Dia mendorongmu mencapai kejayaan didunia dan akhirat.

Wahai anak-anakku, berhati-hatilah memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita. Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti dibawah:

  1. sahabat yang tamak: ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.
  2. sahabat hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.
  3. sahabat pengampu: dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu.
  4. sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka pesta , suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan.

Untuk mendapat kawan yang baik, muhasabah dirimu sendiri, adakah kamu mempunyai sifat-sifat sahabat yang baik supaya orang lain suka berkawan dengan mu.

Wahai anak-anakku, amalkan doa berikut dalam usaha mencari kawan yang baik:

“Ya Allah, bimbinglah daku untuk bersahabat dengan orang-orang yang berbuat kebajikan. Jauhkan daku dari persahabatan dengan orang-orang yang berbuat keburukan. Curahkan kepadaku rahmat-Mu sampai hari kiamat, dengan Ilahiyah-Mu wahai Tuhan semesta alam.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *