Reda Allah Terletak Pada Redha Ibu bapa

Umi dan lima adik-beradik telah sepakat untuk balik kampung bersama keluarga pada cuti hari buruh 1 Mei 2014. Kami merancang untuk berhimpun bagi menghiburkan hati emak dan ayah yang hanya tinggal berdua di rumah mereka.

Alhamdulillah kami masih punya emak dan ayah yang sihat. Ya la, sihat cara orang tua. Alhamdulillah, ada juga dua orang adik umi yang tinggal berdekatan untuk menjengok mereka dengan kerap.

Emak umi sekarang tidak boleh berjalan dengan baik kerana masalah tulang belakang. Dia lebih selesa berkerusi roda untuk bergerak dan membuat kerja ringan di rumah. Ayah juga, kadang-kadang sakit pinggang tetapi masih boleh menunggang motorsikal untuk berjemaah di masjid.

Ayah yang dulunya gagah bersawah dan berniaga runcit, ketara sekali agak lemah sekarang ini. Begitu juga emak, yang dahulunya tidak pernah membuang masa menjaga anak-anak, mencari rezeki menjahit dan berniaga nasi lemak, kini sudah tidak boleh memasak sendiri. Hanya makan apa yang adik umi bawa, atau kadang-kadang ayah keluar beli lauk dari kedai.

Begitulah orang tua, bila umi dan adik-adik ajak duduk bersama, mereka lebih gembira tinggal di rumah sendiri. Kalau datang pun boleh tahan hanya seminggu, lepas itu sudah rindu hendak balik rumah. Umi adik beradik memang kerap menelefon untuk bertanya khabar dan berbual dengan mereka.

Sesekali bila teringat yang emak dulunya suka memasak terpaksa makan lauk beli, umi menitiskan air mata. Umi takut umi tidak membuat yang terbaik untuk mereka.

Anak-anak,

Reda Allah kepada kita terletak pada reda ibu bapa. Itulah yang umi takut. Ibu bapa yang telah tua memang menguji anak-anak. Maklumlah, pada tahap usia 70’an dan 80’an, akal sudah agak lemah dan pertimbangan menjadi singkat.

Karenah orang tua sememangnya amat menguji anak-anak. Umi sentiasa mengingatkan diri umi, supaya menganggap ibu bapa sebagai aset yang berharga di dalam kehidupan ini. Menjaga ibu bapa yang telah tua dan bersabar dalam menghadapi karenah mereka sesungguhnya akan membuka pintu kerahmatan dan keberkatan Allah.

Teringati pesanan Ustaz Pahrol Mohd Juoi, ”Ibu bapa adalah wali keramat. Meminggirkan mereka akan menyebabkan hidup kita terhalang dari ketenangan, keberkatan dan kejayaan dalam kehidupan. Jika mengabaikan mereka, itu akan membuka pintu kehancuran, keresahan dan kegagalan”.

Umi berdoa agar Allah sentiasa memberi peluang kepada umi untuk mengintai peluang bagi berbakti kepada ibu bapa supaya tidak mengundang murka Allah. Dosa kita pada yang lain akan mendapat balasan di akhirat. Tetapi dosa kepada ibu bapa akan dibalas segera dan tiba-tiba.

Kita perlu ingat bahawa wang ringgit dan harta benda tidak akan mampu menebus bakti orang tua kita. Umi berharap agar tindak tanduk umi menyenangkan hati mereka pada usia senja mereka.

Semoga umi dapat sentiasa berdoa untuk mereka, melayan mereka dengan baik, dengar cerita mereka walaupun telah diulang berkali-kali, duduk berbual dengan mereka, membelai atau mengurut badan mereka apabila ada kesempatan bersama mereka.

Umi tahu, satu hari nanti umi juga akan melalui apa yang mereka lalui sekarang. Umi berdoa agar anak-anak umi akan menjadi anak-anak soleh yang tidak akan lupa pada umi apabila umi menjangkau usia senja.

Umi tidak mahu menjadi seperti Si Tanggang atau Malim Kundang yang merupakan ikon anak derhaka. Umi ingatkan diri umi, bahawa sudah dianggap derhaka dengan mendecit perkataan ‘ahh’ kepada kedua ibu bapa. Sudah dianggap melupakan mereka jika kita tidak mendoakan mereka selepas setiap kali solat. Sudah mengecilkan hati mereka jika sudah lama kita tidak menelefon atau menziarahi mereka di kampung.

“Redha Allah
terletak pada redha ibu bapa
Raihlah kasih Allah
melalui kasih kepada kedua ibu bapa”
(Petikan daripada buku Di Mana Dia di Hatiku, Ustaz Pahrol Mohd Juoi)

doa untuk ibu bapa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *