Persoalan dan Jawapan Mengenai Bidang Perakaunan

Assalamualaikum anak-anak sekelian,

Baru-baru ini anak saudara umi yang baru mendapat keputusan SPM bertanya kepada umi tentang bidang pengajian perakaunan. Oleh kerana umi bukan daripada bidang tersebut, jadi umi pun membuat sedikit penyelidkan dan bertanya kepada kawan umi yang merupakan seorang pensyarah perakaunan di UiTM.

Berikut ialah beberapa persoalan dan jawapan yang berkaitan dengan bidang perakaunan yang umi sudah ceritakan kepada anak saudara umi yang juga mungkin berguna untuk anak-anak yang berminat untuk mengikuti bidang pengajian ini.

Apakah prospek kerjaya lulusan perakaunan?

Perakaunan merupakan bidang kerjaya yang penting serta diperlukan oleh kebanyakkan institusi. Ini ialah kerana semua institusi mempunyai keperluan berkaitan pengurusan melibatkan pengendalian kewangan termasuk belanjawan mengurus, menjaga kemudahan, serta penambahbaikan institusi. Apa sahaja pengurusan dan urusniaga pasti melibatkan duit dan tugas akauntanlah untuk mengenalpasti serta menyusun segala aliran keluar masuk serta anggaran belanjawan, penyata belanja supaya memudahkan pengurusan menganggar serta membuat tindakan.

Graduan perakaunan ini boleh memohon jawatan seperti juruaudit, akauntan kos, bendahari, akauntan cukai, setiausaha syarikat, setiausaha industri atau peribadi, kerani akaun, penolong akauntan serta juru runding.

Peluang kerjaya ialah seperti berikut:

  1. Firma Perakaunan – Satu kumpulan akauntan bekerja dalam satu firma yang menyediakan perkhidmatan perakaunan kepada individu, perniagaan dan kerajaan. Kerjaya perakaunan awam akan memberi anda permulaan yang baik di mana anda boleh mendapat menimba pengalaman sebelum mengorak langkah yang lebih jauh.
  2. Kerajaan atau badan berkanun – boleh bekerja di peringkat mana-mana jabatan kerajaan atau badan berkanun. Bertanggung jawab menyediakan belanjawan, kos dan menganalisis inisiatif organisasi.
  3. Sektor Korporat – Kebiasaannya mempunyai seorang akauntan atau jabatan perakaunan yang menyediakan penyata kewangan, kos, mengendalikan cukai dan juga urusniaga utama.
  4. Membuka firma perakunan sendiri untuk memberikan khidmat perundingan yang berkaitan dengan skop akauntan.

Apakah tugas yang boleh dibuat oleh lulusan perakaunan?

  1. Audit: Audit merupakan teras kerja perakaunan. Kerjaya pengauditan melibatkan tugas memeriksa lejar perakaunan dan penyata kewangan dalam perniagaan, organisasi dan sebagainya.
  2. Analisis Bajet: Seorang penganalisa bajet bertugas untuk membangun dan menguruskan pelan kewangan sesebuah organisasi. Memerlukan kemahiran kuantitatif yang baik untuk tugas ini bersama-sama dengan kemahiran kerana ia melibatkan tugas rundingan.
  3. Kewangan: Akauntan kewangan akan merujuk maklumat dari lejar am untuk menyediakan penyata kewangan. Mereka juga mengambil bahagian dalam keputusan penting yang melibatkan status kewangan sesebuah perniagaan, juga melibatkan penggabungan dan pengambilalihan, manfaat perkerja, perancangan dan unjuran kewangan jangka panjang.
  4. Pengurusan Perakaunan: Menyumbang kepada keputusan mengenai belanjawan modal dan analisis perniagaan. Tugas utama termasuk analisis kos, analisis kontrak dan usaha untuk mengawal perbelanjaan. Juga sebagai penyumbang utama kepada keputusan perniagaan, bekerja bersama-sama pengurus pemasaran dan kewangan untuk mengembangkan perniagaan.
  5. Cukai: Akauntan Cukai menyediakan penyata cukai pendapatan untuk sektor korporat dan peribadi. Mereka juga menyediakan strategi untuk mengurangkan cukai. Memerlukan pemahaman yang menyeluruh mengenai ekonomi dan kod cukai.

Apakah beza akauntan, penolong akauntan dan kerani akaun?

Untuk menjadi seorang akauntan semestinya mempunyai ijazah sarjana muda dan keatas. Kerjaya akauntan ini adalah tergolong dalam kategori professional setaraf dengan kerjaya pemegang ijazah lain sebagai pegawai Gred A.

Untuk kerjaya penolong akauntan, ia mempunyai skop tugas yang sama dengan Pegawai Akauntan. Perbezaannya adalah kerja-kerja pembantu untuk tugas-tugas Pegawai akauntan. Dari segi kelulusan pula berbeza dengan penolong akauntan ini perlu mempunyai diploma. Diploma yang berkaitan seperti Diploma Pengajian Bank, Diploma Perakaunan, pengajian perdagangan atau setaraf.

Jawatan kerani akaun biasanya memerlukan sekurang-kurangnya sijil Perakaunan. Secara umum tugas kerani akaun lebih kepada tugas menyedia kira-kira untuk dilapor kepada penolong akauntan atau Pegawai akauntan.

Apakah ciri-ciri peribadi yang sesuai untuk bidang perakaunan?

  1. Mereka yang merancang kerjaya dalam bidang perakaunan mesti memiliki kebolehan dalam perhitungan serta boleh menganalisa, membandingkan dan mentafsir fakta serta nombor lalu membuat keputusan yang kukuh berdasarkan pengetahuannya.
  2. Mereka harus sentiasa bertanya bagaimana dan mengapa sesuatu perkara itu dijalankan dan menyampaikan hasil kerja mereka dengan berkesan dalam bentuk penulisan dan pertuturan kepada klien dan pihak pengurusan.
  3. Akauntan dan juruaudit mesti bersikap sabar dan boleh menumpukan sepenuh perhatian untuk jangka waktu yang lama. Ketepatan dan kebolehan memikul tanggungjawab dengan penyeliaan yang sedikit sangat diperlukan.
  4. Yang paling utama, kerana berjuta-juta pengguna penyata kira-kira bergantung pada perkhidmatan akauntan dan juruaudit, orang awam mengharapkan agar mereka memiliki standard etika yang amat tinggi serta integriti.
  5. Selain itu mereka harus minat dalam perniagaan dan perdagangan, boleh bekerja dalam kumpulan dan tidak lekas putus asa oleh kerana kerja-kerja yang banyak melibatkan dokumentasi dan duduk di meja pejabat.

Apakah institusi pengajian yang menawarkan program perakaunan?

Beberapa universiti tempatan ada menawarkan program perakaunan di peringkat sarjana muda iaitu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Universiti-universiti di luar negara seperti di New Zealand, Australia dan United Kingdom turut menawarkan program ini.

Universiti-universiti swasta seperti Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Telekom juga menawarkan kursus ini di peringkat sarjana muda.

Di peringkat diploma, IPT tempatan yang menawarkan program ini termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), politeknik Kementenian Pendidikan, Kolej Sultan Abidin (KUSZA), maktab perguruan dan beberapa pengajian swasta.

Apakah syarat untuk mengikuti pengajian perakaunan?

Klik nama universiti/kolej untuk mendapatkan maklumat lanjut dan syarat kemasukan dari universiti yang menawarkan pengajian perakaunan:

  1. Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA)
  2. Universiti Teknologi Mara (UiTM)
  3. Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pra-Diploma Perakaunan
  4. Universiti Sains Malaysia – Pusat Pengajian Pengurusan
  5. Universiti Kebangsaan Malaysia – Faculty of Economics and Management
  6. Universiti Utara Malaysia
  7. University Malaya
  8. Universiti Pertanian Malaysia
  9. Universiti Islam Antarabangsa (IIUM)

Bagi yang berminat dengan kerjaya Akauntan Awam Bertauliah (CPA), mereka yang memiliki Diploma atau Ijazah Sarjana Muda Perakaunan perlu mengikuti latihan dan peperiksaan profesional anjuran Persatuan Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MACPA). CPA diiktiraf sebagai satu kerjaya yang tinggi tarafnya dan amat diperlukan dalam sesebuah organisasi sektor awam atau swasta.

Umi berharap agar maklumat yang umi tuliskan berkaitan bidang perakaunan ini dapat sedikit sebanyak membantu dalam pemilihan bidang pengajian dan hala tuju kerjaya anak-anak. Bagi mereka yang lebih arif tentang bidang ini, umi harap tolong berikan komen yang membina dalam ruangan di bawah. Semoga maklumat yang kita berikan dapat memberi pencerahan kepada anak-anak yang sedang tergapai-gapai mencari hala tuju pengajian dan kerjaya.

Satu perkara penting yang umi hendak ingatkan ialah jangan lupa lakukan solat sunat Istikharah supaya apa saja pilihan anak-anak merupakan satu pilihan yang terbaik dan mendapat rahmat Allah s.w.t.

Berikut ialah doa Istikharah (baca dalam bahasa yang kita boleh hayati maknanya):

“Ya Allah, aku memohon petunjuk memilih yang baik dalam pengetahuanMu, aku mohon ditakdirkan yang baik dengan kudratMu, aku mengharapkan kurniaMu yang besar. Engkau Maha Kuasa dan aku adalah hambaMu yang dhaif. Engkau Maha Tahu dan aku adalah hambaMu yang jahil. Engkau Maha Mengetahui semua yang ghaib dan yang tersembunyi.

Ya Allah, jika hal ini (***) dalam pengetahuanMu adalah baik bagiku, baik pada agamaku, baik pada kehidupanku sekarang dan masa datang, takdirkanlah dan mudahkanlah bagiku kemudian berilah aku berkah daripadanya.

Tetapi jika dalam ilmuMu hal ini (***) akan membawa bencana bagiku dan bagi agamaku, membawa akibat dalam kehidupanku baik yang sekarang ataupun pada masa akan datang, jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya. Semoga Engkau takdirkan aku pada yang baik, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas setiap sesuatu.”

Untuk maklumat lanjut mengenai bidang perakaunan, anak-anak boleh layari laman web berikut:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *