Pemilihan Kerjaya: Teori Kerjaya Islam

Anak-anak yang dikasihi sekelian,

Seingat umi, semasa belajar di tingkatan lima pada tahun awak 80’an dahulu, umi tidak pernah pun berjumpa dengan guru kaunseling untuk membincangkan tentang perancangan kerjaya. Pada masa itu umi bercita-cita untuk menjadi seorang doktor perubatan. Selepas SPM umi telah ditawarkan untuk mengikuti pengajian Sains Komputer di USA dan umi pun menerima tawaran tersebut. Akhirnya umi menjadi doktor komputer.

Alhamdulillah, sepanjang kerjaya sebagai pensyarah, umi gembira dan berpuas hati dengan pekerjaan umi. Yang paling gembira ialah apabila umi berjaya bersara sebelum mencecah umur lima puluh.

Dalam tulisan kali ini umi akan berkongsi maklumat mengenai pemilihan kerjaya berdasarkan teori Kerjaya Islam.

Keperluan Merancang Kerjaya

Setiap individu akan melalui suatu peringkat dalam kehidupan mereka di mana mereka mula memikirkan tentang pekerjaan. Biasanya apabila individu berada di tahun akhir sekolah menengah, dia akan memikirkan secara serius apakah kerjaya yang hendak diceburinya.

Dalam keadaan dunia yang semakin mencabar, anda harus sedar bahawa bagi mendapatkan kerjaya yang sesuai, anda perlu membuat perancangan awal yang teliti. Ini adalah kerana, kerjaya yang akan diceburi akan memberi impak yang besar kepada kehidupan anda.

Apabila anda bekerja sepenuh masa, anda akan menghabiskan separuh daripada masa berjaga bagi bekerja. Masa bekerja adalah lebih banyak daripada masa yang diperuntukkan bagi aktiviti lain. Oleh itu, membuat keputusan yang tepat tentang kerjaya adalah suatu perkara yang penting. Memilih kerjaya perlu dirancang terlebih dahulu.

Persoalan untuk Memilih Kerjaya

Apabila anda hendak memilih kerjaya, pilihlah bidang yang anda minati serta sesuai dengan nilai-nilai dan matlamat anda. Jika anda gembira dengan kerjaya, anda akan gembira dengan kehidupan yang dilalui.

Oleh yang demikian, apabila anda hendak memilih pekerjaan, tanyalah kepada diri sendiri persoalan berikut:

  1. Adakah saya akan seronok dengan kerja saya?
  2. Bagaimanakah kerja yang akan saya lakukan memberi kesan kepada gaya hidup saya?
  3. Berapa banyakkah pendapatan yang akan saya peroleh?
  4. Individu macam manakah  yang akan menjadi rakan sekerja saya?
  5. Bagaimanakah kerja saya akan memberi kesan kepada keluarga saya?

Teori Kerjaya Islam

Teori Kerjaya Islam ini telah dibangunkan oleh Sidek Mohd Noah. Teori ini melihat kerjaya sebagai satu kepentingan material dalam aktiviti kehidupan manusia di muka bumi. Tanpa asas kerjaya yang mantap dan kukuh, mungkin keseimbangan antara fitrah semulajadi manusia sama ada dari segi jasmani dan rohani atau antara mental dan emosi akan terganggu.

Bekerjaya adalah sunnah para Rasul terdahulu tanpa mengira taraf pekerjaan tetapi yang penting ianya adalah pekerjaan yang halal. Bekerjaya dalam Islam adalah salah satu ibadah dan merupakan amal soleh dengan syarat pekerjaan itu tidak melibatkan perkara yang haram atau maksiat.

Ia dilakukan dengan niat yang suci mengandungi matlamat dan objektif yang diredai Allah, dilakukan dengan tekun dan cekap, dilakukan dengan mematuhi piawain syariah Islam dan tidak mengabaikan kewajiban ibadah khusus seperti solat dan ibadah-ibadah lain.

Dua elemen asas dalam kerjaya Islam yang tidak dipunyai oleh teori-teori kerjaya Barat ialah kemantapan rohani dan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman.

Kemantapan rohani dibentuk melalui cara niat yang baik, keazaman yang kuat, kesabaran yang tinggi, bertawakal kepada Allah dan istiqamah dalam pekerjaan.

Elemen pengetahuan pula menuntut setiap individu yang bekerja mencari ilmu pengetahuan yang berkaitan kerana ilmu pengetahuan dikaitkan dengan darjat dan kualiti kerja seseorang. Islam menuntut supaya seseorang itu mengambil berat tentang kemahiran dan pengetahuan dalam bidang pengurusan agar kerja yang dilakukan itu dapat dilakukan dengan baik dan sistematik.

Setelah memiliki pengetahuan, kemahiran dan pengalaman individu perlulah tahu tentang cara dan kaedah untuk melaksanakan pekerjaan itu. Dalam hal ini individu yang terlibat mestilah mempunyai strategi tertentu di samping kemahiran dalam bidang teknologi agar kerja yang dihasilkan itu berkualiti.

Mengenai faktor-faktor pemilihan kerjaya, Islam tidak menolak faktor-faktor yang telah dikemukakan oleh para pengkaji Barat. Faktor yang boleh diterima Islam ialah seperti faktor genetik, pendidikan, pembelajaran dan persekitaran. Apa yang tidak menjadi pertimbangan para pengkaji Barat ialah faktor agama.

Justeru itu, pemilihan kerjaya Islam meletakkan faktor agama sebagai penentu akhir perkembangan dan pemilihan kerjaya individu. Faktor agama menentukan sama ada sesuatu pekerjaan itu halal, haram dan syubhah. Disamping itu, teori kerjaya Islam memberi penekanan yang seimbang antara kejayaan dan kepuasan duniawi dan akhirat, bukan semata-mata kejayaan di dunia sahaja seperti mana yang ditekankan oleh teori kerjaya Barat.

 Doa Kebahagiaan di Dunia dan Akhirat

One thought on “Pemilihan Kerjaya: Teori Kerjaya Islam

Leave a Reply to Ice Age Adventures Cheats Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *