Panduan Temuduga untuk Mendapatkan Biasiswa

Wahai anak-anak sekelian,

Umi pasti anak-anak yang berjaya dengan cemerlang dalam SPM/STPM telah selesai mengisi borang permohonan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang diminati.

Semasa menjadi pensyarah dulu, umi banyak juga terlibat sebagai ahli panel temuduga. Jadi, kali ini umi akan berkongsi maklumat mengenai panduan temuduga untuk mendapat biasiswa.

Setiap tahun, persaingan untuk mendapatkan biasiswa semakin sengit. Ini adalah kerana semakin ramai pelajar yang cemerlang dalam SPM dan STPM. Perlu diingatkan bahawa selain daripada kelulusan akademik, calon juga akan dinilai dari beberapa sudut lain seperti kegiatan ko-kurikulum, penglibatan dalam aktiviti masyarakat, disiplin dan juga ‘soft skill’.

Temuduga merupakan satu peluang yang sepatutnya dirancang dan diambil berat oleh setiap calon. Tujuan utama temuduga adalah untuk memilih calon yang terbaik. Oleh itu, anda perlu meyakinkan penemuduga bahawa anda adalah yang terbaik.

Berasaskan kepada pengalaman umi sebagai panel temuduga, calon yang tidak terpilih biasanya mempunyai masalah seperti berikut:

  1. lemah semasa perbincangan kerana tidak pandai membuat ‘argument’.
  2. bersikap pasif.
  3. tidak lancar bertutur dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
  4. tidak berapa tahu mengenai program pengajian yang hendak diambil.
  5. kurang pengetahuan am.
  6. berpakaian yang tidak sesuai untuk temuduga.
  7. kesalahan mengisi borang permohonan.

Persiapan untuk Pergi Temuduga

  1. Pakailah pakaian yang sesuai, kemas dan bersih.
  2. Jangan pakai pakaian yang terlampau berwarna-warni dan menjolok mata, berselipar, serta menggunakan minyak wangi dan solekan yang berlebihan.
  3. Rambut anda hendaklah pendek bagi lelaki dan kemas disikat atau bertudung bagi perempuan.
  4. Pastikan anda membawa surat panggilan temuduga, kad pengenalan, surat beranak, sijil-sijil asal, dokumen-dokumen asal serta surat-surat akuan asal (jika ada) untuk disemak oleh panel temuduga.
  5. Atur mengikut susunan yang dikehendaki dan sebaik-baiknya difailkan supaya nampak lebih kemas dan teratur. Jangan digulung-gulung sijil anda.
  6. Tentukan di mana, bila dan pukul berapa temuduga itu diadakan. Cuba untuk sampai antara 10-15 minit lebih awal supaya anda ada cukup masa untuk berehat dan bertenang, tetapi jangan terlalu lama sehingga anda berasa cemas pula. Jangan sekali-kali datang lambat.
  7. Apabila dipanggil masuk ke dalam bilik temuduga, anda hendaklah mengetuk pintu terlebih dahulu sebelum masuk. Jangan berasa gentar, masuk dengan hati yang tenang serta penuh yakin.

Mengawal Emosi Semasa Temuduga

Semasa berada di bilik temuduga, kemungkinan anda akan ditanya soalan-soalan yang anda kurang bersedia. Soalan-soalan ini  seolah-olah “mencabar” kewibawaan anda. Apa yang perlu anda lakukan adalah :

  1. Ambil masa untuk berfikir sejenak, dan jawablah dengan fikiran yang tenang.
  2. Ingatkan diri anda bahawa penemuduga sedang menguji anda.
  3. Jawab dengan jelas dan lantang.
  4. Kikiskan sifat ego anda.
  5. Tenangkan diri anda sebelum menjawab soalan, selalunya penemuduga akan cuba menggunakan jawapan anda untuk membidas.
  6. Banyakkan senyuman.
  7. Berikan penekanan kepada pencapaian anda yang tidak boleh dicapai orang lain.
  8. Jangan sesekali menunjukkan anda hilang minat terhadap bidang pengajian yang dipilih.

 21 Tip Semasa Temuduga

  1. Semasa hendak masuk ke bilik temuduga janganlah gentar. Bayakkan berselawat dan baca doa agar lancar bercakap (Surah Thoha: 25-28).

     “Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku.”

  2. Apabila dipanggil masuk, berikan salam dan ucapan “selamat pagi/selamat petang” mengikut keadaan waktu.
  3. Jangan hulurkan tangan anda untuk berjabat tangan selagi penemuduga tidak membuat gerakan dahulu, jika sekiranya ia hendak berbuat demikian.
  4. Jangan terus duduk melainkan telah dijemput berbuat demikian. Apabila disuruh duduk, ucapkan terima kasih dan duduklah dengan sempurna serta tegakkan badan. Duduk dengan tenang, jangan menggelisah. Jangan cuba hendak mengalih keadaan kerusi yang disediakan.
  5. Serahkan dokumen-dokumen berkaitan apabila diminta. Jangan letakkan barang-barang lain, tangan ataupun siku anda di atas meja penemuduga.
  6. Jangan duduk bersilang kaki, goyang-goyangkan kaki ataupun menggerakkannya ke sana sini.
  7. Biarkan penemuduga memulakan perbualan.
  8. Apabila bercakap pandanglah ke muka penemuduga itu.
  9. Jangan menjawab soalan-soalan dengan tergopoh-gapah. Jawablah setiap soalan yang ditanya dengan terang dan jelas.
  10. Jangan sekali-kali mengeluarkan kata-kata yang tidak benar semasa temuduga. Jika anda tidak tahu jawapan yang disoal itu, janganlah cuba hendak berbohong ataupun mendiamkan diri sahaja, kerana ini akan melemahkan peluang anda. Eloklah anda berterus terang sekiranya anda tidak tahu jawapannya.
  11. Bersedia memberitahu penemuduga tentang keluarga anda, persekolahan, kegemaran dan aktiviti anda.
  12. Jangan cuba hendak menjenguk atau membaca surat-surat dan lain-lain kertas yang terdapat di atas meja penemuduga.
  13. Apabila menyebut nama seseorang gunakan gelaran yang terdapat pada nama orang tersebut seperti Tuan/Tan Seri/Dato‟/ Dato‟ Seri/Tuan/Puan/Encik dan sebagainya.
  14. Tumpukan perhatian pada setiap soalan dan beri jawapan atau tindakbalas yang tepat dan sempurna.
  15. Cuba kembangkan jawapan “ya” atau “tidak” anda dengan penjelasan yang munasabah.
  16. Jangan menguyah sesuatu semasa temuduga sedang berjalan.
  17. Jangan sekali-kali cuba menyampuk semasa penemuduga sedang bercakap atau berbincang sesuatu di antara mereka.
  18. Minta penjelasan sekiranya anda tidak begitu faham pada soalan-soalan tertentu.
  19. Gunakan satu-satu bahasa tanpa campur-aduk dengan bahasa lain. Sekiranya disoal dalam Bahasa Melayu, jawablah dalam Bahasa Melayu dan sekiranya disoal dalam Bahasa Inggeris, anda perlulah pula menjawab dalam Bahasa Inggeris.
  20. Di akhir temuduga, ucapkan terima kasih kepada panel temuduga kerana memberi peluang kepada anda menghadiri temuduga itu.
  21. Jika diberi peluang untuk bertanya soalan, kemukakan soalan yang munasabah.

Umi ucapkan selamat maju jaya kepada anak-anak semua. Semoga segala usaha kita akan mendapat rahmat dari Allah s.w.t.

“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan urusan kami” (Al-Kahf: 10)

5 thoughts on “Panduan Temuduga untuk Mendapatkan Biasiswa

  1. terima kasih utk prkongsian ni. i’m very scared when it comes to interview. sy nk tny, mse interview tu nnti adkh dgalakkn utk brckp jujur sjujur-jujurnya ?

    • Sebagai seorang Muslim, kita sepatutnya sentiasa bercakap benar dan jujur. Semasa temuduga, sekiranya kita berbohong atau tidak jujur, kemungkinan ada ahli panel yang dapat mengesannya dari riak muka serta percakapan anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *