Memori Saudi – Banjir Kuning di Kelantan

Dalam kesibukan mengikuti kejadian banjir yang bermula di Rantau Panjang, Kelantan pada 23 Disember 2014, saya dikejutkan oleh satu panggilan telefon asing yang nombor bermula +966. Suara lelaki bercakap Inggeris yang pekat dengan pelat Arab itu rupanya Dekan FCIT, KAU Rabigh. “You can go to Saudi Culture Mission Kuala Lumpur to get your offer letter“.

     Apa? Offer letter? Surat tawaran? Tanpa temuduga? Biar betul!

     “Berhati-hati umi, sekarang ini banyak scam jual orang. Nanti kena lelong dengan pak arab tu…”, anak perempuan saya merungut memberi peringatan.

     Untuk kepastian, saya cuba menghubungi SCM tetapi tidak berjawab. Saya semak nombor telefon Saudi itu dengan Nora. Yang telefon itu memang Dekan. Saya pun hantar WhatsApp (WA) mesej kepada Dekan meminta beliau email surat tawaran kepada saya.

     “I don’t have, they send it directly to SCM. Go to them“, jawab Dekan.

     Macam mana saya hendak bertanya SCM kalau nombor rujukan pun tidak ada? Telefon pun tidak berjawab.

     Tanpa diduga, keesokannya saya terima WA daripada Dekan dengan imej surat tawaran dalam bahasa Arab. Imej yang agak kabur, sukar untuk dibaca!

     Walaupun saya belajar bahasa Arab sudah habis empat semester, hanya sebahagian kecil kandungan surat itu saya faham. Saya buka kamus, bolehlah terjemah sedikit.

     Tidak boleh ambil tindakan apa-apa selagi saya tidak faham sepenuhya kandungan surat tawaran. Jadi saya pun forward imej surat kepada Dr. Rosdi ustaz bahasa Arab saya. Saya minta tolong ustaz terjemah.

     “Maaf Puan Sharifah, saya berada di Kuala Lumpur. Tidak tahu lagi bila boleh balik sebab jalan Kuala Lumpur ke Kuala Krai ditutup sebab banjir.

     Pulak dah!

     Yang saya faham daripada surat tawaran itu saya mesti mula bekerja di KAU pada 25 Januari 2015. Sebulan sahaja lagi! Menurut Nora banyak urusan yang perlu diselesaikan sebelum boleh berangkat. Macam mana hendak ambil tindakan kalau surat tawaran pun saya tidak faham sepenuhnya?

     Air sungai Kelantan semakin sebak. Ombak Laut China Selatan pula mengganas. Hampir tiga perempat negeri Kelantan dilanda banjir air kuning. Gua Musang, Kuala Krai dan Tanah Merah mengalami kemusnahan teruk. Tidak terjangka oleh sesiapa. Kuasa Allah menggerakkan tenteranya merubah segalanya. Kelantan diselaputi lumpur kuning!

     Rumah kami yang terletak di tepi Sungai Pangkalan Datu juga terlibat. Keresahan menghadapi banjir membuatkan hati saya tawar untuk memikirkan Rabigh.

     Alhamdulillah air banjir tidak masuk ke dalam rumah kami yang dibina bertiang tinggi sepuluh kaki.

     “Berumah di tepi sungai kenalah bersedia”, teringat kata-kata suami semasa kami merancang hendak membina rumah pada tahun 2004. Well thought off, maklumlah arkitek sohor Kelate!

     Banjir berlalu meninggalkan lumpur tebal di sekeliling kawasan rumah. Tanaman herba dan ulam-ulam yang saya tanam habis musnah. Kolam ikan digenangi air lumpur, kosong tidak bermaya. Ikan peliharaan kami semuanya lesap. Kebiruan air kolam renang di depan rumah bertukar menjadi kolam teh susu. Barang-barang dalam setor di bawah rumah hitam bersalut lumpur.

     Pemulihan semula akan memakan masa. “Hendak tinggalkan rumah dalam keadaan begitu? Alah, tak payah pergi lah ke Saudi. You already have everything here. Why do you want to go to an unknown, leaving your comfort zone?” Hati saya berkata sendiri. Dingin untuk ke Rabigh. Sedingin cuaca selepas banjir.

     “I dengar berita you hendak pergi ke Rabigh, betul kah? I rasa you mesti tidak boleh tahan tinggal di sana. You dah biasa tinggal di rumah besar macam istana. You vogue, and independent. Rabigh kampung, rumah biasanya apartmen kecil sahaja. You tidak boleh ke mana-mana tanpa pemandu. You sanggup kah?” Bertalu-talu June yang sudah tujuh tahun menetap di Jeddah bertanya dan mengingatkan saya.

     Hati saya semakin dingin dan tawar.

     Namun, pada 2 Januari 2015, ustaz memaklumkan saya yang beliau lapang pada hari Ahad 4 Januari untuk memberi terjemahan surat tawaran. Hati melompat semula memikirkan pemergian ke Saudi.

     “Puan Sharifah ditawarkan jawatan Profesor Madya dengan jumlah gaji dan elaun sebanyak SARXX,X00 dengan tambahan elaun rumah SARXX,000 setahun. Puan dikehendaki mula bekerja pada 25 Januari”.

     “Ada masa lagi, pergi lah. Peluang besar. Puan terpilih. Tengok surat ini, Puan seorang sahaja dari Malaysia. Calon lain dari Pakistan, India dan Palestin. Puan boleh kerap pergi ke Mekah dan Madinah. Bukan senang dapat macam itu. Kalau suami Puan setuju dan redha, pergi lah. Tidak payah fikir-fikir lagi”. Ustaz tersenyum menyakinkan saya untuk menerima tawaran.

     “Ustaz, saya hendak pergi bukan sebab hendak mencari pendapatan lebih. Alhamdulillah saya sudah dapat segala-galanya yang saya inginkan. Saya hendak pergi sebab hendak terus belajar bahasa Quran dalam persekitaran yang dekat dengan Mekah dan Madinah. Suami saya memang sudah setuju. Tetapi masa sangat suntuk, cuma tinggal tiga minggu”.

     Keesokannya saya menghubungi agen yang menguruskan pemergian Nora untuk mendapat penjelasan tentang urusan visa ke Arab Saudi.

     “Pemeriksaan kesihatan di hospital panel. Pengesahan sijil lahir anak-anak oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Sijil akademik dan surat lantikan ke jawatan Profesor Madya semasa bekerja dahulu perlu mendapat pengesahan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Luar Negeri dan Saudi Cultural Mission Kuala Lumpur. Selepas itu Puan serahkan semua dokumen itu kepada saya untuk urusan visa di Kedutaan Arab Saudi Kuala Lumpur”.

     “Aduh, rumitnya prosedur. Tinggal tiga minggu sahaja lagi, mana sempat hendak buat semua itu!”, rungut saya sendirian.

     “Proses hendak ke sini agak mencabar juga terutama di SCM. Che Pah perlu kuat dan banyak bersabar”, terngiang-ngiang pula kata-kata Nora.

     “Ahhh… Forget it. Bye-bye Rabigh. Malas aku nak menyusahkan diri just because hendak pergi cakap Arab!”

     “Cuba Che Pah email Dekan minta tangguh tarikh pendaftaran kerja sebab banjir”, desak Nora meminta saya tidak berputus asa.

     “Start processing your visa. You can come“, jawap Dekan apabila saya email beliau meminta tangguh. Saya hantar email panjang lebar, itu sahaja jawapannya. Boleh tangguh ke tidak? Entah! Tidak jelas.

     “Che Pah, Profesor Wardah, ketua bahagian wanita FCIT sedang tunggu you sampai.