Memori Saudi – Abaya dan Niqaf

Che Pah hendak masuk ke kawasan Rabigh kena pakai abaya dan niqab hitam”. Nora yang sudah dua tahun bekerja di KAU Rabigh mengingatkan saya melalui mesej FB.

     “Eh… biasanya kita pergi umrah atau haji tidak perlu pun pakai abaya atau niqab. Kita bukan orang Arab Saudi”, bantah saya kepada Nora. “Di sini kalau tidak pakai, polis boleh saman”.

     Pada mulanya saya dan anak perempuan berpakaian maxi dengan tudung bewarna dan tidak memakai niqab. Semasa dalam pesawat saya lihat ramai penumpang arab yang tidak bertudung dan ada yang berpakaian agak menjolok mata.

     Kami tiba di Jeddah dari Kuala Lumpur pada pukul sepuluh setengah malam. Sebaik sahaja turun dari pesawat, kami menaiki bas untuk ke tempat pemeriksaan imigresen. Saya perhatikan tidak ada lagi yang berpakaian seksi. Semua penumpang wanita berpakaian abaya hitam, tetapi ada yang tidak berniqab.

     Terasa pelik sebab berbeza dengan wanita lain, sebaik tiba di tempat pemeriksaan imigresen, saya dan anak perempuan terus ke tandas untuk menyaruk abaya dengan tudung hitam dan bersedia dengan niqab.

     Alhamdulillah barisan imigresen tidak panjang. Saya dan anak-anak masuk melalui kaunter yang sama. Suami pula, oleh kerana hendak cepat kononya, pergi ke kaunter bersebelahan.

     Urusan imigresen siap dalam masa lebih kurang 30 minit. Syukur cepat. Kami pun terus mengambil beg dan keluar ke lobi menunggu. Saya tercari-cari Nora yang saya tidak pernah berjumpa selama 25 tahun selepas kami tamat belajar dari Universiti of Miami.

     Dalam mencari-cari wanita berniqab, kami dilambai oleh June dan suaminya. June bergaya dengan abaya dan bertudung tanpa niqab. Saya masih kenal June sebab kami baru berjumpa semasa menghadiri majlis perkahwinan anak kawan di UPM. June sudah tujuh tahun tinggal di Jeddah sebagai lady of leisure mengikut suami bekerja di sana.

     Beberapa minit kemudian, Nora berabaya dan bertudung hitam tanpa niqab menyapa kami. Dia baru sampai dengan anak-anaknya. Dr. Hasan dan Dr. Fida sepasang suami isteri Indonesia yang juga merupakan pensyarah di KAU Rabigh menemani mereka.

     Lega dapat berjumpa kawan-kawan lama dan kenalan baru yang bercakap Melayu. Kemesraan sudah terasa seperti zaman di universiti tahun 80an dulu.

     Sebelum meninggalkan lapangan terbang, Nora mengingatkan saya supaya membeli kad sim telefon Arab Saudi. Nora naik kereta Dr. Hasan. Saya dan keluarga naik kereta yang dipandu oleh Abdul Rahman, pemandu berasal dari India yang sudah hampir lima belas tahun tinggal di Arab Saudi.

     Lebuh raya dari Jeddah ke Rabigh sangat baik. Perjalanan sejauh 155 Km mengambil masa 1 jam 30 minit itu tidak membosankan kerana Abdul Rahman boleh bercakap Inggeris.

     Bermacam soalan kami kemukakan dan dia menjawab dengan mesra. Sepanjang perjalanan terdapat tiga tempat pemeriksaan polis. Takut disaman polis, saya dan anak perempuan sudah memakai niqab sebaik sahaja naik kereta.

     Kami terus dibawa ke perumahan KAU di Rabigh. Apartmen dua bilik tidur, dua bilik air, satu ruang dapur, satu ruang makan dan satu ruang tamu yang cukup lengkap dengan perabut asas. Syukur, semuanya sudah ada, cuma perlu beli peralatan memasak dan pinggan mangkuk sahaja.

     Keesokannya, seawal pukul lapan pagi saya sudah bersedia untuk ke pejabat bersama Nora. Keluar dari rumah, kami memakai abaya dan niqab. Kami ke kampus dihantar dengan kereta oleh anak lelaki Nora yang datang bercuti.

     Terkejut juga saya bila tiba di kampus yang hanya merupakan dua buah bangunan dua tingkat seperti deretan bangunan kedai di Malaysia.

     Mana boleh, KAU yang terkenal di Arab Saudi sekecil itu! Setahu saya KAU merupakan universiti kedua terbesar di Arab Saudi. Ranking Faculty Computer and Information Technology nya berada pada sepuluh teratas Shanghai Asian University Rating.

     Rupanya kampus tersebut merupakan kampus sementara untuk bahagian wanita. Kampus utama KAU terletak di Jeddah memang gah dan luas terbentang. Kampus bahagian lelaki di Rabigh juga merupakan kawasan yang luas di persisiran Laut Merah. Bahagian wanita KAU Rabigh akan berpindah ke sana pada bulan Ogos 2015.

     Sebaik tiba di lobi pejabat, sekali lagi saya terkejut melihat wanita-wanita bergaya seperti di pejabat masa saya di Miami. Tiada abaya dan niqab. Mereka memakai kain ketat, seluar jean dan baju pendik boddy hugging. Kecantikan mereka teserlah dengan wajah yang bermekap cantik dan rambut berset rapi.

     Masuk sahaja ke pejabat, Nora pun menanggalkan abaya, niqab dan tudung. Dia juga bergaya dengan baju kurung batik tanpa tudung.

     Saya teragak-agak juga hendak menanggalkan tudung kerana sudah pasti rambut akan menjadi leper tidak berset cantik seperti yang saya lihat di lobi tadi.

     Kampus wanita dan lelaki berasingan. “Profesor Wardah telah arahkan supaya semua pelajar dan staf di bahagian wanita tidak memakai tudung semasa di kampus”, kata Nora kepada saya. Ya, tidak perlu bertudung kerana tiada langsung lelaki di situ.

     Itulah kali pertama seumur hidup saya masuk memberi syarahan di kelas tanpa bertudung. Berbaju kurung, rambut leper yang hanya disisir dengan jari. Terasa janggal sekali berbanding pelajar-pelajar dan staf lain yang kelihatan sungguh bergaya. Ya, bergaya sesama wanita dan untuk suami atau mahram.

     Hari seterusnya saya juga telah bersedia dengan berus rambut dan sedikit mekap asas.

     Sebaik sahaja habis waktu pejabat, masing-masing bergegas menyaruk abaya dan mengikat niqab. Mereka bergegas menuju ke kereta yang sedang berjujukan menunggu di luar.

     Saya dan Nora berjalan pulang ke rumah yang terletak di seberang jalan dari kampus. Debu dan panas padang pasir Rabigh tidak terasa kerana kami juga berabaya dan berniqab.