Murah Rezeki Melalui Amalan Solat Sunat Rawatib

Dalam melalui kehidupan ini, kita memerlukan makan, minum, pakaian dan segala keperluan jasmani lain. Itulah sebabnya, Islam menyuruh kita mencari rezeki yang halal mengikut kemampuan. Mencari rezeki halal merupakan suatu kewajipan yang satu tahap berada di bawah kewajipan solat fardu.

Mencari rezeki merupakan tuntutan kehidupan yang tidak mungkin dihindari oleh seseorang. Seorang muslim sepatutnya memahami bahawa mencari rezeki adalah suatu tuntutan agama sebagai usaha mentaati perintah Allah s.w.t. untuk mencukupkan diri dan keluarga atau sesiapa pun yang berada di bawah tanggungjawabnya.

Terdapat manusia yang menganggap rezeki mereka terbatas kerana sudah ditentukan oleh Allah s.w.t. Padahal, apabila kita meneliti semula firman-Nya, rezeki seseorang ditentukan oleh betapa banyak usaha yang dilakukan untuk mendapatkan rezeki.

“Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna. Dan bahawa sesungguhnya kepada hukum Tuhanmu lah kesudahan (segala perkara). Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis” (An-Najm: 40-43)

 

“Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka. Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan” (Surah As-Sajdah: 16-17)

Ayat di atas menyatakan bahawa rezeki setiap orang telah disediakan oleh Allah s.w.t. Setiap orang mempunyai kesempatan yang sama dalam memperolehi rezeki. Akan tetapi, Allah tidak memberikan rezeki itu serta merta kepada setiap manusia. Allah memerintahkan kita untuk berusaha mencari rezeki yang telah disediakan-Nya untuk kita. Banyaknya rezeki yang bakal kita perolehi bergantung kepada betapa banyak usaha yang dilakukan.

Sementara itu, ada yang berpendapat bahawa berpegang teguh dengan ajaran Islam pada era globalisasi seperti sekarang jelas boleh menyukarkan mendapat rezeki. Jika mahu hidup senang dan memperolehi harta yang banyak, maka perlu “memejamkan mata” daripada peraturan agama. Kononya, agama menjadi penghalang dalam soal mencari rezeki dengan mengharamkan ini dan itu.

Sebenarnya, pemahaman seperti itu silap besar. Sebabnya, selain berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam mencari rezeki, kita juga disarankan sentiasa beribadah dan memohon kepada Allah s.w.t. agar dipermudahkan dalam mencarinya. Dengan beribadah dan berdoa, kita akan dimurahan rezeki. Salah satu usaha tersebut adalah dengan istiqamah menunaikan solat sunat Rawatib.

Oleh itu, solatlah dan berzikirlah kepada Allah s.w.t. agar kita sentiasa mendapat limpahan kurnia-Nya. Allah sentiasa berada bersama kita, serta melimpahkan rahmat dan kurnia-Nya kepada orang yang mengingati-Nya.

“Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar (cekal hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya.” (Surah Al-Haj: 35)

 

“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).” (Surah Al-Jumu’ah:10)

Daripada ayat di atas, amat jelas bahawa Islam amat mengambil berat keseimbangan antara ibadah dan urusan dunia. Dalam usaha mencari rzeki, kita amat disarankan agar sentiasa memperbanyakkan ibadah dan berdoa kepada Allah s.w.t supaya dimudahkan dalam setiap urusan, termasuk dalam mencari rezeki yang halal dan berkat.

Apabila kita sentiasa istiqamah menunaikan solat sunat Rawatib, Allah s.w.t. akan menjadikan kita murah rezeki. Jika anda masih ragu-ragu, cuba teliti dan renungkan firman Allah s.w.t. berikut:

“Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baharu tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar – berkhutbah). Katakanlah (wahai Muhammad:” Pahala – balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki.”  (Surah Al-Jumu’ah: 11)

Ayat tersebut menegaskan bahawa Allah adalah Zat Pemberi Rezeki. Dengan bekerja sebaik mungkin, serta diiringi ibadah dan berdoa pada-Nya, maka segala kemudahan bekerja dan mendapat rezeki akan terbuka luas.

Allah s.w.t akan memberikan kemudahan, bahkan rezeki yang tidak disangka-sangka bagi hamba-Nya yang bertaqwa, iaitu yang sentiasa menunaikan solat sunat Rawatib dalam setiap waktu yang telah ditentukan dalam ajaran Islam.

” …dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”  (Surah At-Talaq: 2-3)

Oleh itu, marilah kita sama-sama beritiqamah menunaikan solat sunat Rawatib, agar kita menjadi orang yang bertaqwa. Dengan bantuan dan pertolongan-Nya, Allah akan membukakan jalan keluar daripada sebarang masalah dan seterusnya memberi rezeki kepada kita dari arah yang tidak disangka-sangka.

Rujukan: Fadhilah Tayyib, “Fadilat Solat Sunat Rawatib”, Al Hidayah House of Publishers Sdn Bhd, 2014.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *