Motivasi

Kadang-kadang ada anak umi yang merungut “saya tak ada motivasi nak belajar”. Jom kita cuba fahami apa itu motivasi. Sebelum kita pergi lebih jauh lagi, eloklah umi peringatkan bahawa “motivasi mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam menentukan masa depan dan kesejahteraan hidup kita”.

Adakah anda orang yang penuh dengan motivasi atau sebaliknya? Semoga Allah melindungi kita dari sifat malas dan tidak bermotivasi. Ahli psikologi mendefinasikan motivasi sebagai suatu proses dalaman yang akan mempengaruhi tingkah laku. Motivasi memberi kita sebab kenapa kita melakukan sesuatu perkara.

Berdasarkan teori psikologi, terdapat dua faktor yang akan mendorong kita melakukan sesuatu iaitu Motivasi Dalaman (Internal) dan Motivasi Luaran (external).

Motivasi DALAMAN

Motivasi Dalaman lahir dari dalam jiwa kita secara semula jadi. Ini termaksuklah keperluan fisiologi kepada makanan dan minuman, keperluan psikologi dan keperluan sosial. Ianya lahir dari minat. Jadi minat datangnya dari dalam. Apabila kita berminat dengan agama, maka kita bermotivasi untuk belajar mengenainya. Jika kita minat dengan muzik kita bermotivasi untuk mendalami bidang ini.

Apabila minat itu lahir dari dalam, biasanya kita tidak perlukan sebarang ganjaran. Katalah pelukis, minat sangat melukis habis berjam-jam melukis, tak makan, tak minum tak apa, kadangkala bukannya ada orang beli pun, tapi dia tetap buat dan si pelukis ini puas. Puasnya datang dari dalam. Puas hati dan gembira. Ada orang suka tolong orang, suka jadi sukarelawan, tak dapat apa pun tapi dia minat. Jadi MINAT merupakan salah satu faktor penting yang akan menjadikan kita bermotivasi.

Sekiranya anda tidak bermotivasi, langkah pertama ialah dengan bertanya diri sendiri apa yang anda minat?

Motivasi Luaran

Motivasi Luaran pula datangnya dari persekitaran seperti hadiah, insentif ganjaran, takut hukuman dan pujian. Misalnya belajar sebab hendak dapat A. Motivasi luaran boleh jadi sesuatu yang berbentuk material atau tidak. Pujian bukan material tetapi ia tetap dikira sebagai ganjaran. Kita buat sesuatu untuk mendapatkan sesuatu atau untuk mengelak hukuman.

Namun, jika kita melakukan sesuatu hanya untuk habuan, berhati-hati kerana MOTIVASI LUARAN MENCURI MOTIVASI DALAMAN.

Cari Jalan untuk Suka Apa yang Kita Lakukan.

Tidak semua ganjaran itu buruk. Kadangkala ianya memang diperlukan. Namun umi tetap berpendapat bahawa ganjaran dalaman adalah jauh lebih baik seperti kata mendiang Steve Jobs, “Do something because you love it…OR if you don’t, find a way to love it.”

Kita perlu berlatih untuk memberi ganjaran kepada diri sendiri apabila kita melakukan kebaikan dan meninggalkan dosa. Gembira dari dalam bila kita buat baik dan sedih dari dalam bila kita buat benda yang tidak baik.

Perlu juga diingat bahawa motivasi kita ini sering berubah dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Manusia ini tak pernah statik. Iman turun naik, motivasi pun apatah lagi. Motivasi kita melakukan sesuatu banyak berkait rapat dengan EMOSI kita. Jika kita gembira biasanya motivasi akan naik kerana hormon seperti dopamine dan serotonin juga naik. Bila kita sedih kita rasa penat dan tak bermaya, jadi ini juga akan mempengaruhi motivasi kita. Namun demikian, kadangkala kekecewaan, kegagalan dan kesedihan memberi kita lebih banyak motivasi untuk merubah diri dan berjaya.

11 Ayat Motivasi dari al-Quran

Sebagai seorang muslim, ayat Quran sepatutnya menjadi faktor utama untuk meningkatkan motivasi kita. Jom kita renungi 11 ayat motivasi dari al-Quran.

  1. Seharusnya kita ingat bahawa nikmat Allah SWT terlalu banyak. Sekiranya kita hilang sesuatu nikmat yang Allah SWT pinjamkan ada banyak lagi nikmat Allah SWT di alam ini.  “Dan apabila kamu menghitung ni’mat Allah, nescaya kamu tidak akan dapat menghitungnya” (Ibrahim: 34)

  2. Sebagai manusia kita perlu bersyukur akan nikmat yang kita kecapi selama ini dan akan datang, kerana Allah SWT menjanjikan untuk menambahkan lagi nikmatNya. Namun, jika kufur, kita akan menerima azab yang pedih.  “Apabila kamu bersyukur nescaya akan Aku tambahkan nikmat-Ku, dan apabila kamu kufur maka adzab-Ku sangat pedih” (Ibrahim:7).

  3. Jangan kita mudah putus asa dalam melakukan sesuatu kebaikan kerana Allah SWT mengizinkan kita mengubah kehidupan jika kita terus berusaha. “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum hingga mereka mengubah diri mereka sendiri” (Ar-Ra’d:11).

  4. Sesuatu perkara yang kita tidak suka atau tidak sanggup menanggungnya merupakan perkara yang terbaik  untuk kita kerana setiap perkara Allah SWT tentukan adalah tidak sia-sia.  “Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu tetapi ia baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu tetapi ia buruk bagimu, dan Allah mengetahui dan kamu tidak mengetahui “ (Al-Baqarah:216).

  5. Selagi kita berada dalam kelompok orang yang beriman, maka kita tetap mendapat pengiktirafan yang tinggi daripada Allah SWT. Biarpun manusia memandang rendah kepada kita. “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi derajatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.” (Al-Imran: 139).

  6. Rahmat Allah SWT sentiasa ada di setiap masa  dan di mana sahaja untuk kita. Dia tidak suka kita berputus asa. “Dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan orang-orang yang kufur.” (Yusuf: 87).

  7. Suatu perkara yang kita tanggung sebenarnya mengikut kemampuan kita. Allah SWT maha mengetahui kemampuan setiap hambaNya. “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Al-Baqarah: 286).

  8. Usahlah bimbang apabila ditimpa musibah kerana di sebalik musibah itu ada hikmah dan mungkin nikmat yang lebih banyak bakal kita kecapi. “Maka sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.” (Al-Insyirah: 5-6).

  9. Allah SWT menyukai orang yang sabar dan menjaga solatnya. Dua amalan ini merupakan perawat yang paling mujarab jika kita ditimpa ujian“Wahai orang-orang yang beriman mintalah pertolongan melalui Sabar dan Solat, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar. Dan benar-benar akan Kami uji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, dan kekurangan buah-buahan, dan berilah kabar gembira bagi orang-orang yang sabar, (yaitu) yang apabila mereka tertimpa musibah mereka mengatakan “Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya kami kembali” (Al-Baqarah: 155-156).

  10. Jika kita melakukan kesalahan, jangan ditunggu-tunggu lagi. Bersegeralah memohon ampun dan bertaubat kepada Allah SWT kerana Dia Maha Pengampun. “Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan yang hingga apabila datang ajal seseorang di antara mereka, barulah ia mengatakan: Sesungguhnya saya bertaubat sekarang. Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka dalam kekafiran. Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan siksa yang pedih.” (An-Nisa: 17-18).

  11. Dalam setiap perkara atau situasi yang kita alami hendaklah kita bertakwa kepada Allah SWT kerana ia akan menyelamatkan kita. “Barang siapa bertakwa kepada Allah maka Dia akan menjadikan jalan keluar baginya, dan memberinya rezki dari jalan yang tidak ia sangka, dan barang siapa yang bertawakkal kepada Allah maka cukuplah Allah baginya, Sesungguhnya Allah melaksanakan kehendak-Nya, Dia telah menjadikan untuk setiap sesuatu kadarnya” (Ath-Thalaq: 2-3).

Semoga ayat-ayat di atas dapat memberi perangsang kepada kita untuk menjadi seorang muslim yang lebih baik dan sentiasa bermotivasi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *