Keredaan Allah dalam Kerjaya

Di zaman mutaakhir ini, ramai yang terkeliru ataupun terlupa dengan falsafah Islam tentang pemilikan harta dan kekayaan. Ramai yang menyangka, harta yang diperolehi daripada kerja yang dilakukan adalah milik mutlak mereka semata-mata dan tidak perlu dikongsi sedikit pun dengan saudara Muslim lain yang memerlukan.

Hakikatnya dalam Islam, harta benda bukan milik mutlak individu yang memilikinya. Sebab itu Islam mewajibkan umatnya mengeluarkan zakat bagi harta yang diperolehi. Sesiapa yang mempunyai harta yang banyak dan bertimbun-timbun sebenarnya diberi amanah oleh Allah s.w.t. menguruskan harta itu. Pada harta itu ada bahagian yang perlu dikeluaran untuk golongan fakir, miskin dan asnaf-asnaf zakat yang lain sekiranya cukup syarat-syaratnya.

Harta yang Halal dan Berkat

Tiada gunanya harta yang banyak bertimbun sekiranya ia diperolehi dengan cara yang tidak halal dan tidak berkat. Ramai orang yang melupakan soal berkat, halal, haram dan syubhah dalam pekerjaan yang dilakukan kerana hendakkan keuntungan yang berlipat ganda. Kerana hendak menjadi kaya, ada orang sanggup melakukan apa sahaja sehinggakan tidak peduli sama ada perbuatannya itu melanggar perintah Islam atau tidak.

Wang ringgit yang banyak, pangkat, kedudukan, harta benda dan kemewahan seperti mempunyai kuasa sakti yang berupaya membuat manusia yang lemah iman terpedaya dan sanggup melakukan apa sahaja kerananya. Ramai yang sudah tidak peduli cara yang digunakan untuk memperolehi harta, kekayaan, pangkat dan kedudukan.

Politik Tempat Kerja

Di mana-mana tempat kerja memang ada ‘politik tempat kerja’. Kerap kali tujuannya bukan hendak meningkatkan produktiviti kerja, tetapi biasanya lebih berbentuk memenuhi sasaran peribadi ataupun kumpulan tertentu di tempat kerja.

Terdapat kakitangan bawahan yang sebenarnya tidak mampu membuat kerja dengan baik, mengambil jalan mudah dengan membodek ketua jabatan dan menabur fitnah memburukkan rakan-rakan sekerja. Ada ketua jabatan yang sanggup menganiaya kakitangan bawahannya bagi mengekalkan kedudukannya. Ada pula kakitangan bawahan yang menyokong membabi buta segala tindakan ketua jabatan semata-mata mahukan kenaikan pangkat dengan cara mudah.

Budaya menikam dari belakang, mengadu domba, menjadi batu api dan menjadi talam dua muka adalah budaya negatif yang wujud dalam organisasi. Keadaan organisasi yang sebegini memang bukan suatu keadaan yang sihat untuk bekerja.

Ramai yang masih jahil dengan ajaran Islam berkaitan amanah dan tanggungjawab atau sengaja melupakannnya demi mendapat apa yang dicita-citakan dalam kerjaya. Semua ini berlaku disebabkan sikap tamak dan haloba dalam diri yang begitu menebal.

Apalah sangat yang ada pada pangkat dan kedudukan itu, hingga manusia sanggup berbuat apa sahaja bagi mengejarnya sebegitu rupa? Hakikatnya, bukan tugas dan tanggungjawab yang disempurnakan ditempat kerja, tetapi asyik sibuk membuat strategi bagi menganiaya dan menyingkirkan pekerja bawahan dan rakan-rakan sekerja yang dirasakan mengancam perancangan peribadi.

Keredaan Allah

Dalam Islam, setiap pekerjaan yang dilakukan sama ada pekerja biasa ataupun mereka yang berpangkat adalah satu amanah. Orang yang diberi upah membuat sesuatu pekerjaan sebenarnya memikul amanah daripada majikan yang mengambilnya bekerja. Ketua jabatan, diamanahkan untuk memimpin dan memberi tunjuk ajar kepada kakitangan bawahan. Kakitangan bawahan bertanggungjawab melaksanakan tugasnya dengan sempurna, bukan cuba mencuri tulang atau mengular.

Kita wajib ingat bahawa setiap kerja yang kita buat akan dipersoalkan di akhirat nanti. Ramai individu yang berjaya mendapat pangkat dan kedudukan dalam kerjaya bukan disebabkan oleh keupayaan mereka melakukan kerja. Tetapi mereka ini pandai berkata-kata dalam mesyuarat atau perbincangan organisasi hingga mereka kelihatan seperti pekerja yang berkebolehan dan berdedikasi. Di hadapan manusia memang kita boleh menipu, tetapi ingatlah! Allah s.w.t. lebih mengetahui apa yang kita lakukan.

Hidup ini sebenarnya bukan untuk sentiasa menang. Tetapi hidup di dunia ini sebenarnya adalah bagi mencari keredaan Allah s.w.t yang akan diperolehi sekiranya kita melaksanakan apa sahaja dengan penuh ikhlas, tekun dan amanah.

Doa mencari keredaan Allah surah taha 131

Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal. (Thaha: 131)

Doa mencari keredaan Allah surah taha 1321

Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. (Thaha: 132)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *