Kaya atau miskin bukan ukuran baik dan mulia

Manusia memperoleh darjat dan kelebihan dari Allah secara berbeza-beza. Ini adalah berdasarkan ketinggian darjat manusia dan amal perbuatannya selama di dunia.

Rasulullah SAW bersabda bahawa orang fakir masuk syurga lebih dulu selama beberapa waktu daripada orang kaya. Hal ini tidak berlaku secara umum kerana orang kaya ada yang sentiasa beramal, bersyukur, memuji, mengabdi dan membenarkan Allah SWT.

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang fakir akan masuk syurga terlebih dulu daripada orang kaya, selama setengah hari akhirat, iaitu 500 tahun dunia.” (Hadis riwayat Tirmizi) Ia berkata hadis ini hasan sahih.

Hadis itu menunjukkan satu makna bahawa orang fakir akan masuk syurga lebih dulu. Dengan catatan mereka termasuk orang yang sabar, mengabdi kepada Allah, rela dan sabar terhadap kefakiran mereka selama hidup di dunia sehingga dari lisan mereka keluar kata-kata pujian kepada Allah bersyukur serta menghambakan diri kepada Allah.

Mereka inilah orang yang akan memperoleh kemuliaan pada hari kiamat, ketika mereka masuk syurga. Pada hari kiamat nanti Allah akan berfirman kepada orang yang sabar terhadap kefakirannya yang bermaksud: “Makan dan minumlah dengan nikmat kerana amal yang telah kamu kerjakan pada hari yang telah lalu.” (Surah Al-Haqqah, ayat 24)

Ertinya, kesusahan yang telah engkau peroleh di dunia kerana fakir, benar-benar terasa perit buat kamu. Hal itu bukan cita-cita dan keinginan kamu tetapi semata-mata kehendak Allah.

Banyak ayat Allah yang mendorong orang mukmin rajin menabung dengan tabungan amal kebajikan. Allah akan melipatgandakan tabungan itu selama di dunia dan mereka dapat memetik hasilnya berupa pahala yang besar di akhirat nanti.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesiapa meminjami Allah dengan pinjaman yang baik maka Allah melipatgandakan ganti kepadanya dengan banyak. Allah menahan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya kamu dikembalikan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 245)

Banyak ayat al-Quran yang mengisyaratkan adanya kelebihan dan perbezaan darjat dalam segala sesuatu, bahkan antara para malaikat Al-Muqarrabun, Nabi dan Rasul. Demikian juga, antara manusia pada umumnya. Ini ketentuan Allah terhadap makhluk-Nya dan kesempurnaan hikmah dari Allah.

Hakikatnya, kelebihan dan perbezaan darjat ini terjadi semata-mata kerana ilmu dan keutamaan dari Allah. Sedangkan, kelebihan manusia adalah kerana amal, ilmu, ijtihad dan kesabarannya.

Maka siapa yang kaya lalu dia gemar berinfak, maka kaya lebih baik daripada miskin. Sebaliknya, siapa yang kalau kaya menjadi bakhil, maka miskin lebih baik daripada kaya. Berinfak ini lebih utama dikeluarkan dalam keadaan sihat dan tidak takut miskin.

Sebenarnya dengan kaya kita boleh meraih pahala yang lebih banyak. Bahkan dengan kekayaan, kita mampu menyokong dan menegakkan perjuangan Islam. Contoh nyatanya, Othman bin Affan mendapat jaminan surga dari Nabi saw melalui harta yang dimilikinya. Iaitu semasa dia mewaqafkan perigi Ruumah dan menginfakkan 300 ekor unta dan seribu Dinar pada perang Khandak. (HR. Bukhari, Bab: Manqib Utsman bin Affan).

Dalam riwayat lain, bahwa orang yang menginfakkan dengan hartanya dipersilakan masuk syurga dari pintu mana saja yang ia kehendaki. Setiap penjaga pintu syurga memanggil dan mempersilakan ia masuk dari pintu tersebut. (HR. Bukhari dan Muslim).

Maka berusahalah untuk mencari kurnia Allah dari harta benda dengan sungguh-sungguh agar boleh melakukan amalan baik dengan lebih banyak.

Kalau kaya, jangan sampai tertipu dengan harta-benda sehingga berbangga diri dan sombong, lupa akhirat dan kedekut berinfak. Maka kalau begitu, kaya adalah buruk baginya.

Kaya atau miskin bukan ukuran baik dan mulia. Kemuliaan ditentukan oleh iman dan takwa, iaitu dengan bersyukur ketika menjadi kaya dan bersabar semasa diuji dengan kemiskinan.

 

Rujukan: Buku Bidadari, Syurga dan Penghuninya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *