Kajian saintifik mengenai solat

Sebagai muslim yang taat kepada perintah Allah dan Rasulnya, kita melaksanakan solat sekurang-kurangnya 17 rakaat setiap hari. Kadang-kadang kita solat hanya sebagai rutin harian tanpa memikirkan kenapa solat itu wajib ke atas kita umat Islam. Setiap ibadah yang kita lakukan sebenarnya bukan untuk Allah, tetapi untuk kebaikan diri kita sendiri, begitu juga dengan solat.

Hubungan ibadah solat secara rohaniah ditekankan dengan jelas di dalam al-Quran dan hadis serta buku-buku ilmiah. Betapa solat itu merupakan tiang agama dan diwajibkan ke atas umat Islam.

Kali ini umi hendak berkongsi maklumat mengenai hasil kajian saintifik solat terhadap kesihatan kita yang dipetik daripada buku “Solat Dari Perspektif Sains” yang ditulis oleh Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim yang merupakan pensyarah di Universiti Malaya.

Hakikatnya, pada setiap pergerakan solat itu seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat awal serta tahiyat akhir, tersembunyi pelbagai misteri saintifik terhadap kesihatan.

Misteri itulah yang telah dirungkaikan menerusi buku ini dengan memberi penekanan kepada komponen sains kesihatan seperti komposisi badan, denyutan jantung, pinggang, otak, otot dan disfungsi ereksi (mati pucuk).

Secara umumnya, badan manusia terdiri daripada empat komponen utama iaitu tisu aktif, tisu tulang, air dan lemak dengan setiap satunya mempunyai fungsi-fungsi tertentu di dalam badan.

Kajian mengenai kebaikan senaman terhadap komposisi badan telah banyak dilakukan dan pakar kesihatan juga sependapat bahawa senaman berat atau ringan tetapi dilakukan secara kerap dapat membakar lemak badan dan karbohidrat.

Kesan yang sama juga dibuktikan menerusi pergerakan solat yang diumpamakan seperti melakukan senaman ringan dan dibuktikan dapat meningkatkan tahap ketahanan badan serta menghindarkan risiko penyakit jantung, tekanan, kolestrol dan penyakit lain.

Khasiat rukuk dalam solat

Pergerakan rukuk, iaitu kedudukan tulang belakang yang lurus melintang atau 90 darjah dibuktikan dapat mengelakkan risiko penyakit tulang belakang dan penyakit arthritis. Ia disebabkan oleh pertambahan bendalir dalam sel yang terdapat pada sendi-sendi badan sekali gus melembutkan pergerakan sendi tersebut.

Kedudukan rukuk juga dapat melambatkan proses penuaan yang berlaku apabila meningkatnya tisu aktif selain menambah baik proses imbangan air dalam badan dan melancarkan fungsi buah pinggang.

Faedah sujud

Keadaan sujud sesuai dengan tarikan graviti yang akan menyebabkan lebih banyak darah mengalir ke otak. Dinding dan urat-urat nadi otak dapat menerima lebih banyak darah berbanding keadaan biasa dan dengan bekalan oksigen mencukupi, otak akan menjadi lebih sihat dan cerdas.

Nilai kadar denyutan jantung nominal semasa sujud juga baik untuk kesihatan jantung khususnya dan kesihatan badan secara keseluruhannya. Posisi sujud dalam solat merangsang kadar denyutan jantung yang sihat dan tambahan kepada masa rehat.

Ia juga memanjangkan hayat jantung serta dapat menghindarkan pengecilan salur-salur darah yang membawa penyakit kepada arteriosklerosis.

Solat dan kesihatan seksual

Daripada sudut kesihatan seksual pula, solat telah dibuktikan mampu memberikan kesan positif kepada pesakit yang mengalami disfungsi ereksi.

Kajian yang dilakukan menunjukkan pesakit yang pada mulanya langsung tidak mendapat ereksi ketika tidur mula menunjukkan perubahan dengan satu ereksi selepas proses intervensi solat selama sebulan.

Malah, kajian berasingan dalam tempoh yang sama juga menunjukkan bilangan ereksi pesakit, isipadu darah serta tempoh ereksi turut meningkat secara mendadak.

Melancarkan pengaliran darah

Menariknya, solat turut memberi kelebihan kesihatan lain iaitu ia mampu meningkatkan bendalir dalam sel serta menurunkan rintangan dan bendalir luar sel. Secara saintifiknya, bendalir dalam sel yang tinggi akan melancarkan pengaliran darah dalam badan terutamanya ke saraf otak yang akan mendapat bekalan oksigen yang tinggi seterusnya memberi ketenangan secara fizikal dan emosi kepada pendiri solat.

Lebih daripada itu, solat juga dibuktikan mampu meningkatkan penumpuan dan daya ingatan. Menerusi solat, otak diberikan satu keadaan untuk bersedia dalam menghadapi tugas pemikiran yang mencabar. Malah, selepas melakukan solat, seseorang itu akan menjadi lebih berwaspada untuk bertindak balas terhadap sebarang rangsangan.

Manfaat fizikal dan emosi

Pergerakan solat dapat mengaktifkan otot-otot peha, betis, dan tulang belakang. Aktiviti yang mudah dilakukan ini mampu memberikan kekuatan kepada sistem otot dan tubuh badan.

Gerakan solat itu boleh dianggap sebagai senaman fizikal sederhana yang menyerupai senaman regangan berbentuk terapi perubatan. Komponen-komponen dalam gerakan solat yang dilakukan secara terus menerus memberikan kesan positif dan bermanfaat kepada kesihatan manusia sama ada aspek fizikal ataupun emosi.

5 ciri-ciri solat yang berkualiti

Bagaimanapun perlu untuk diingatkan, kelebihan solat ke atas kesihatan seperti yang dibuktikan menerusi buku ini perlu menepati ciri-ciri tertentu dan sudah semestinya mengikut ajaran Islam yang sebenar. Untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu:

  1. solat sekurang-kurangnya lima kali sehari
  2. memahami maksud bacaan dalam solat
  3. solat berjemaah
  4. rukuk dan sujud dengan betul
  5. melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahiyat akhir.

Orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian. Apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang cergas. Ketika solat, orang yang cergas dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif. Ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Solat membawa kepada kejayaan

Walaupun telah banyak kajian saintifik yang dibuat mengenai solat, kita mungkin tidak dapat membongkar kesemua rahsianya. Kita perlu sentiasa ingatkan diri sendiri bahawa Allah telah menjanjikan bahawa orang yang mengerjakan solat akan berjaya. Semoga kita semua sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti solat agar mendapat kejayaan yang hakiki, berjaya di dunia dan berjaya di akhirat.

One thought on “Kajian saintifik mengenai solat

Leave a Reply to homeimprovementdaily.com Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *