Jauhi sifat boros

Anak-anak yang sudah bekerja sudah tentu berasa gembira kerana ada pendapatan sendiri. Hidup berdikari, boleh belanja atau menyimpan mengikut selera dan kemampuan sendiri. Bagi mereka yang pandai bajet, sudah pasti simpanan diutamakan sebelum berbelanja. Mereka yang boros pula, bukan sahaja tiada simpanan, malah belum sampai hujung bulan, poket sudah kosong. Orang boros ibarat tanah pasir. Kalau dicurahkan air sebanyak manapun pasir akan cepat kering. Pasir juga tidak subur dan tanaman tidak dapat tumbuh dengan baik.

Orang boros tidak menyimpan harta. Kalau dapat sebanyak manapun harta dan kekayaan, akan habis dibelanjakannya. Apa yang sedihnya cara dia berbelanja tidak mendatangkan apa-apa faedah dan manfaat. Dia hanya membazirkan wang ringgitnya.

Apabila berbelanja dan membeli, citarasanya tinggi. Dia berbelanja semata-mata kerana mengikut nafsu dan untuk menjaga status, untuk dikagumi, dipuji dan supaya dianggap “high class”.

Orang fakir dan miskin dan orang-orang yang memerlukan tidak akan mendapat manfaat daripada kekayaannya. Orang boros tidak suka membantu orang lain kerana tidak menguntungkannya.

Orang boros tidak memperniagakan kekayaannya dengan Allah, tetapi dengan syaitan. Kekayaannya dibelanjakan untuk mengumpul dosa dan bukan untuk mengumpul pahala dan ganjaran akhirat.

Orang boros menghkhianati amanah yang diberikan oleh Allah kerana mereka berbelanja hanya mengikut nafsu dan tidak membelanjakan harta mereka ke jalan Allah. Orang boros, hakikatnya tidak bersyukur di atas nikmat Allah.

Syukur itu ada tiga syarat:

  1. Berterima kasih kepada Allah dengan lidah.
  2. Bersyukur di qalbu.
  3. Buktikan kesyukuran itu dengan amal perbuatan.

Membuktikan kesyukuran dengan perbuatan itu bermaksud membelanjakan dan mengorbankan segala harta dan kekayaan ke jalan Allah dan mengikut cara yang Allah mahu. Bukan dengan cara membazirkannya mengikut nafsu.

Justeru itu, hendaklah kita selalu menginsafi diri dan sentiasa muhasabah diri agar tidak menyimpan sifat boros. Semoga kita istiqamah melakukan kebaikan setiap masa.

doa istiqamah beribadat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *