Iktibar dari Sang Helang

Assalamualaikum,

Suatu hari pada tahun lepas, anak sulung umi membawa pulang seekor anak helang hitam yang kelihatan sakit. Burung itu dijumpai terjatuh berdekatan rumah kawannya. Biasalah, anak-anak umi memang suka memelihara bermacam-macam jenis haiwan. Mereka pernah pelihara musang dan tupai, tapi semuanya tidak kekal lama.

Kali ini hendak pelihara burung helang pula! “Burung helang biasanya ganas, umi rasa tak sesuai kita nak bela burung helang, bahaya”, begitulah peringatan umi. “Tak apa umi, anak helang ni sakit, kesian tengok dia tak boleh makan sendiri, kena suap”, begitulah anak umi bertegas hendak pelihara juga anak helang tersebut.

Memang benar seperti yang umi kata, helang memang ganas, tak sesuai dipelihara! Hari pertama, suami umi membantu untuk menyuap makanan. Tangannya dicengkam sehingga memancut darah. Kuat sungguh cengkaman helang walaupun masih anak!

Hari kedua, Bibik pula dicengkam tangannya oleh anak helang yang berkuku tajam itu. Erm.. memang tak sesuai bela helang. Kita hendak membantu, tapi sifatnya yang semula jadi ganas, membahayakan. Selepas dua minggu, anak helang yang sakit itu tak dapat diselamatkan lagi.

Sehubungan itu, umi teringat satu ceramah yang umi dengar di sekolah anak umi yang bertajuk “Ibu Bapa Bijaksana dan Cakna, Anak Ceria Berjaya”. Intipati ceramah ialah mengenai iktibar yang boleh diambil daripada kehidupan helang.

helangmuka helang

 Perhatikan Alam

Apabila umi membuat kajian tentang helang, didapati Al-Quran langsung tidak menyebut tentang burung ini. Burung helang juga haram dimakan kerana Rasulullah s.a.w. melarang memakan setiap binatang buas yang bertaring, dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.

Namun demikian, Allah menyuruh kita mencerap dan memerhati kejadian alam semesta.

“Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah Al-Mulk, 19).

Subhanallah, umi kagum apabila mengetahui bahawa terdapat banyak iktibar yang kita boleh belajar daripada kehidupan helang.  Jom kita perhatikan sifat helang!

 Tentang Helang

Helang selalu menjadi simbol kegagahan dan keunggulan. Namun ramai yang tidak tahu bahawa untuk kekal gagah, helang perlu menghadapi proses transformasi. Kebiasaanya, helang mampu hidup sehingga 70 tahun. Apabila usianya mencecah 40 tahun, fizikalnya akan mengalami masalah yang besar. 

Paruhnya mula bengkok dan keadaan ini menyusahkannya untuk makan. Kuku kakinya atau dikenali sebagai ‘talon’ tidak lagi kuat untuk mencekup mangsa. Bulu-bulu pelepahnya mula rosak yang menyebabkan pergerakan terbangnya terhad.

Ketika itu, helang hanya mempunyai dua pilihan, samada untuk menjalani proses transformasi yang amat menyakitkan selama 150 hari atau menunggu saat kematiannya. Dilema ini yang pastinya mengegarkan jiwa bukan sahaja pada burung helang tetapi juga kepada kita sebagai manusia.

Transformasi untuk Terus Hidup

Proses transformasi itu mengkehendaki helang mengasingkan diri untuk memulakan proses pertamanya dengan mengetuk paruhnya ke batu sehingga paruhnya tercabut. Paruh baru akan tumbuh dan helang perlu menunggu sehingga paruh barunya menjadi kuat.

Dengan menggunakan paruh baru, ia mencabut pula kuku kakinya. Proses ini memang menyakitkan. Ia terpaksa menunggu hingga kuku baru tumbuh. Proses terakhir adalah mencabut semua bulu pelepahnya yang lama. Setelah 5 bulan, barulah ia boleh terbang semula untuk meneruskan kehidupan selama 30 tahun lagi.

Bertanggung Jawab

Helang jantan sangat setia dan bertanggung jawab terhadap keluarganya. Sebaik sahaja helang betina bertelur, ia akan mengeramkan telur-telurnya sehingga menetas. Makanan helang betina disara oleh helang jantan. Helang jantan mencari makanan di tempat berdekatan sambil menjaga helang betina daripada sebarang masalah.

Apabila telur menetas, helang jantan terpaksa mencari rezeki berlipat kali ganda untuk pasangan dan anak-anaknya. Apabila anak-anaknya cukup matang, ibu helang akan mengajar anak-anak mereka terbang. Ia meletakkan anak-anaknya di atas belakang, menyebarkan sayapnya dan terbang tinggi.

Secara sengaja, ia membiarkan anak-anaknya terlepas dari belakangnya supaya mereka belajar menggunakan sayap. Apabila hampir jatuh, ibu helang akan menangkap semula. Tugas ini berterusan sehinggalah anak-anak mereka membesar dan pandai berdikari.

 Terbang Tinggi

Helang boleh terbang sehingga ketinggian 10,000 kaki, dan ia boleh mendarat di atas tanah dengan pantas. Apabila helang berehat, badannya diam manakala kepalanya akan bergerak sisi ke sisi untuk memerhatikan apa yang berlaku di sekeliling.

Apabila sedang terbang, matanya liar mencari mangsa untuk dijadikan makanan. Bila berjumpa mangsa, helang tidak mudah menyerah kalah. Ia akan sentiasa memberi tentangan untuk memenangi mangsanya atau mendapatkan semula wilayahnya.

Semasa ribut melanda, burung-burung lain akan terbang ketakutan menyembunyikan diri tetapi helang melebarkan sayapnya yang besar dan menggunakan arus ribut untuk melonjak ke tahap yang lebih tinggi.

Helang tidak bergaul dengan merpati yang suka berkumpul di atas tanah sambil menunggu makanan dan membuat bising. Helang tidak suka memakan bangkai yang ditinggalkan oleh binatang lain. Ia terbang senyap sambil menunggu peluang untuk menyerang mangsa sebagai rezeki.

Iktibar

Subhanallah. Memang banyak iktibar yang boleh diambil daripada kehidupan helang.

  1. Kehidupan kita mesti melalui fasa perubahan. Perubahan harus dimulakan kerana ia tidak mampu terjadi dengan sendiri. Demi sebuah perubahan, seseorang individu itu perlu berani, cekal, yakin dan bersemangat kuat untuk mengatasi segala kesakitan dan cabaran.
  2. Kita mesti mempunyai wawasan yang dapat membawa kehidupan kita untuk mencapai kebahagiaan, kesihatan yang baik, kekayaan, kejayaan dan rahmat daripada Allah.
  3. Kita hanya boleh naik ke tahap yang lebih tinggi jika kita pandai mencari peluang dan menggunakan potensi diri untuk menghadapi cabaran dengan bijak tanpa melarikan diri.
  4. Orang yang berjaya biasanya rajin bekerja. Mereka bergaul dengan orang-orang yang aktif dan bersemangat tinggi. Mereka suka membawa perubahan positif dalam masyarakat. Kita perlu ingat bahawa hidup kita dicorakkan oleh orang yang berada di sekeliling kita dan buku-buku yang kita baca.
  5. Bertanggung jawab terhadap keluarga dengan mencari rezeki yang halal dan mendidik anak-anak sehingga mampu berdikari.

Begitulah ciptaan Allah yang sungguh unik dan amat memberangsangkan minda. Bukalah mata dan fikiran untuk mengambil iktibar daripada setiap ciptaan Allah walaupun ia seekor helang ganas yang mungkin menyambar ayam jinak peliharaan kita. Subhanallah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *