Hadkan Riadah Maya

Assalamualaikum,

Arus perkembangan teknologi era ini amat hebat sekali. Manusia yang lemah dengan mudahnya akan hanyut dan karam dalam kepesatan teknologi. Hampir setiap hari ada saja gajet dan apps baru yang dipromosi di pasaran. Manusia berebut-rebut untuk menjadi yang pertama menggunakan gajet/apps terbaru.

Anak-anak,

Berdasarkan pemerhatian dan pembacaan umi, banyak laporan yang menyatakan kebimbangan mengenai sikap obses terhadap teknologi, terutama dalam kalangan remaja. Didapati remaja kini ­terlalu fanatik dengan pelbagai gajet, sibuk melayari laman web siang dan malam, bermain game dan banyak berbual-bual kosong dengan apps sosial sehingga memberi impak negatif terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Ketagih Teknologi

Antara impak paling ketara adalah komunikasi dalam kalangan masyarakat semakin pudar kerana taksub dengan teknologi setiap masa.  Akhirnya, jarak perhubungan semakin jauh kerana kurangnya komunikasi keluarga dan masyarakat berbanding berkomunikasi dengan gajet.

Statistik yang diperoleh daripada Internet World Statistic 2011 menunjukkan Malaysia di tangga ketiga dengan 31.2 peratus dan seramai 8,163,300 orang daripada populasi rakyat negara ini berdaftar sebagai ahli Facebook. Ketaksuban pengguna laman Facebook juga boleh memberi implikasi negatif kerana dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan ketagihan.

Seorang pensyarah Universiti Oxford, Dr Susan ­Greenfield menyatakan obsesi melampau melayari internet, laman sosial dan permainan komputer boleh menjejaskan fungsi otak. Ketagihan ini boleh merubah otak dengan ­menjejaskan tumpuan dan mengurangkan aspek kepantasan reaksi atau rasa empati.

Individu boleh menjadi seorang yang dingin, tidak peka atau tidak sensitif dengan perasaan orang lain disebabkan fungsi otak mereka yang diubah kerana terlalu asyik dengan komputer/gajet.

Selain itu, kajian juga membuktikan tubuh manusia akan lemah sekiranya terlalu lama mendampingi peralatan teknologi/gajet. Sekiranya kita masih lagi tidak mengubah cara hidup untuk lebih sihat, hal ini akan mendatangkan mudarat kepada generasi akan datang.

Penyakit obses ini seumpama wabak penyakit yang jika tidak dikawal dan dirawat akan menjadi barah kepada masyarakat, sekali gus meruntuhkan masa depan negara.

Pemimpin Masa Depan

Generasi muda adalah harapan dan penentu masa depan. Justeru itu, anak-anak umi yang remaja dan dewasa perlu mengawal dan mendisiplinkan diri sendiri dalam penggunaan internet dan gajet. Anak-anak adalah bakal pemimpin masa depan yang bakal mencorakkan landskap jangka panjang. Jika rosak fizikal dan minda, bermakna pemimpin negara yang akan datang juga terdiri daripada mereka yang lemah dan tidak berkualiti.

Untuk mengelakkan senario ini menjadi semakin parah, anak-anak perlu membabitkan diri dengan aktiviti yang boleh memberi manfaat seperti pembabitan dalam aktiviti keluarga, kokurikulum dan aktiviti NGO yang mendekatkan diri dengan masyarakat. Aktiviti seperti ini dapat mempertingkatkan nilai sosial dan ­kemanusiaan dalam alam realiti.

Kurangkan beriadah secara maya, lebihkan interaksi secara realiti serta mengamalkan gaya hidup yang sihat. Mencegah lebih baik daripada merawat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *