Formula Kejayaan

Asalamualaikum,

Cita-cita umi semasa di sekolah menengah  ialah ingin menjadi seorang doktor perubatan. Oleh kerana pada masa itu umi tidak mempunyai matlamat yang jelas, selepas SPM umi menerima tawaran untuk belajar sains komputer di Amerika. Glamour untuk pergi ke Amerika mengatasi hasrat untuk menjadi doktor perubatan. Namun demikian, umi bersyukur, tidak dapat jadi doktor perubatan, umi dapat jadi doktor komputer setelah mencapai ijazah Ph.D dalam bidang komputer.

Alhamdulillah, sekarang umi telah berjaya mencapai matlamat jangka panjang iaitu ‘retire young, retire rich’. Selepas bersara, umi juga telah menetapkan matlamat seterusnya. Semoga dengan izin Allah, umi mempunyai motivasi yang cukup untuk mencapai  matlamat umi sekarang  iaitu untuk mendapatkan Diploma Bahasa Arab Al-Quran pada bulan Jun 2015 untuk tujuan memahami Al-Quran.

Anak-anak,

Motivasi tidak akan wujud tanpa matlamat. Umumnya semakin kuat keperluan dan keinginan seseorang itu terhadap sesuatu matlamat, maka semakin besar kemungkinan seseorang itu akan  berjaya mencapai matlamatnya walaupun terdapat faktor-faktor  penghalang.

Adakah anda mempunyai matlamat? Mengikut kajian, hanya 10 peratus manusia mengamalkan formula kejayaan iaitu Kejayaan = Matlamat + Usaha.

Terdapat segelintir remaja yang mempunyai matlamat yang jelas sementara sebahagian besarnya pula tidak mempunyai matlamat atau mempunyai matlamat tetapi matlamat mereka kabur dan tidak jelas atau mereka mempunyai terlalu banyak matlamat.

Hidup tanpa matlamat menyebabkan kita mudah hilang fokus. Inilah yang menjadi  punca kenapa sebahagian besar remaja kurang motivasi dan kurang berjaya dalam mengharungi kehidupan.

Apakah yang dimaksudkan dengan matlamat? Ramai remaja menganggap matamat ialah sesuatu yang ingin dicapai oleh individu dan tidak lebih daripada itu. Sebenarnya, sesuatu yang dianggap sebagai matlamat itu mesti mempunyai empat kritirea utama iaitu:

  1. Mestilah jelas dan terperinci
  2. Besar
  3. Mempunyai tarikh pencapaian
  4. Mestilah tidak melanggar hak orang lain

Sekiranya salah satu daripada kritirea ini tidak di penuhi, ia tidak dianggap sebagai matlamat. Sepanjang kehidupan kita, terdapat 3 jenis matlamat:

  1. Matlamat semasa ialah matlamat yang ingin dicapai pada sesuatu ketika seperti mengikuti pengajaran guru/pensyarah.
  2. Matlamat jangka pendek pula ialah matlamat yang ingin dicapai dalam suatu jangka yang tidak terlalu lama, misalnya mendapat 10A dalam SPM atau sijil dekan setiap semester.
  3. Matlamat jangka panjang pula ialah matlamat yang ingin dicapai dalam suatu jangka masa yang agak panjang, misalnya menjadi doktor  bagi lima tahun yang akan datang.

Bagaimana membina matlamat?

Jenis matlamat yang paling penting bagi remaja ialah matlamat jangka panjang. Beberapa matlamat semasa akan membentuk satu  matlamat jangka pendek dan beberapa matlamat jangka pendek akan membentuk suatu matlamat jangka panjang.

Matlamat jangka  panjang yang dominan bagi remaja ialah matlamat kejayaan mereka.  Untuk tujuan membina matlamat, terdapat 3 peringkat iaitu seperti berikut:

  1. Mengenal pasti potensi diri dengan menggunakan teknik psikometrik yang melibatkan ujian personaliti, ujian minat pekerjaan, ujian nilai pekerjaan dan ujian pencapaian.
  2. Mengumpulkan sebanyak mungkin maklumat mengenai sesuatu pekerjaan. Antara maklumat penting termasuklah deskripsi mengenai pekerjaan, keperluan latihan, tempat latihan, kelayakan akademik untuk mendapat latihan, jangka masa latihan dan lain-lain yang berkaitan.
  3. Menentukan dengan tepat matlamat kerjaya dengan menyatukan maklumat potensi diri dengan maklumat tentang sesuatu pekerjaan.

Kemungkinan hidup anda sekarang tidak bermotivasi dan terombang ambing dipukul ombak kehidupan. Jangan biarkan keadaan ini berlanjutan. Luangkan masa untuk menetapkan matlamat kerana kejayaan hanya akan dicapai oleh mereka yang mempunyai matlamat dan berusaha mencapai matlamat tersebut. Ingat, If you fail to plan, you plan to fail”.

Bacalah doa yang terkandung dalam Surah ‘Ali “Imran: 147 supaya Allah tetapkan pendirian:

belajardankerja doa tetap pendirian

Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *