Dilema Memilih Kerjaya

Lazimnya seseorang itu membuat keputusan mengenai kerjaya selepas mengambil kira beberapa isu serta mendapat maklumat dan bantuan daripada orang lain. Proses ini mengambil masa yang agak lama. Namun begitu, kerjaya yang telah dipilih seringkali berubah, mungkin disebabkan pengaruh orang lain atau diri sendiri yang tidak pasti dengan pilihan yang telah dibuat.

Remaja, khususnya tidak dapat lari dari dilema memilih kerjaya. Kadangkala mereka didapati gembira dengan pilihan pertama tetapi tanpa perancangan rapi tentang masa depan, mereka keliru serta tidak pasti dengan pilihan tersebut.

Banyak pengaruh yang menentukan kerjaya seseorang. Keluarga mungkin mempunyai ekspektasi tersendiri yang kadangkala memberi tekanan kepada anak-anak untuk memilih kerjaya. Di samping itu, kemampuan dan nilai yang dipegang oleh remaja sendiri sedikit sebanyak menjadi faktor utama mendorong mereka membuat keputusan untuk kerjaya masa depan.

Konflik mungkin wujud bilamana kerja yang diceburi tidak selari dengan kemampuan dan nilai yang dipegang. Dengan itu, banyaklah berlaku penukaran bidang pengajian atau aliran pengkhususan.

Sememangnya, membuat keputusan dalam memilih kerjaya cukup menekankan. Apatah lagi buat remaja yang yang menghadapi pelbagai perubahan dari segi fizikal, emosi, mental, sosial dan moral di samping terpaksa memenuhi kehendak keluarga.

Dalam proses menentukan kerjaya, setiap individu akan melalui empat peringkat sebelum dapat membuat keputusan yang memuaskan.

1. Kesedaran – Pada peringkat ini, anda mulai kecewa atau tidak puas hati dengan perancangan kerjaya yang sedia ada. Kesedaran ini mungkin disebabkan oleh:

  • tekanan pihak penganjur yang memberi pilihan dalam menentukan bidang pengkhususan.
  • tekanan keluarga yang menentukan kerjaya anda
  • kegagalan dalam pengajian
  • keputusan yang rendah dalam peperiksaan
  • bidang yang diambil tidak dapat menyambung minat anda

2. Perancangan – Tindak balas dari rasa kecewa akan mendorong anda untuk mula mempertimbangkan beberapa alternatif baru. Setelah memahami kedudukan sebenarnya, anda akan membuat penerokaan diri. Bermula dari sinilah anda akan meluangkan masa untuk berfikir mengenai:

  • apa yang anda suka lakukan.
  • bidang apa yang anda paling mahir atau berkemampuan melakukannya.
  • perkara yang paling penting dalam hidup anda.
  • bagaimana hendak memastikan aspek ini tercapai.

3. Komitment – Pada peringkat ini, anda sudah dapat membuat keputusan mengenai masa depan. Anda akan mulai menceritakan hasrat hati kepada keluarga dan rakan karib. Seandainya tindak balas mereka tidak memberangsangkan, anda mungkin menukar haluan dan kembali semula membuat perancangan.

 4. Implimentasi – Pada peringkat ini, anda mulai mengambil tindakan atas keputusan yang dibuat. Anda boleh membuat permohonan untuk menyambung pengajian dalam bidang yang anda telah pilih. Interaksi dengan orang lain boleh membantu anda menambahkan lagi pengetahuan anda tentang aspek kerja tersebut. Maklumat yang diterima mengenai realiti kerja akan memantapkan lagi keputusan anda untuk terus kekal dengan pilihan yang dibuat. Pada peringkat ini anda akan lebih yakin dengan kerjaya masa depan anda.

Setiap individu perlu melalui kempat-empat peringkat itu kerana ia merupakan proses dalam membuat keputusan kerjaya supaya keputusan itu memberi kepuasan serta lebih meyakinkan. Walaupun proses ini memakan masa, tetapi ia akan meninggalkan kesan yang baik. Anda akan mendapat gambaran yang lebih jelas tentang diri juga pilihan kerjaya masa depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *