Memori Saudi – Lambaian Saudi

Setelah hampir dua puluh lima tahun tidak berjumpa Nora iaitu kawan serumah saya semasa belajar di University of Miami, saya dikejutkan oleh mesej Facebook daripada Nora.

     “Che Pah, Faculty of Computing and Information Technology (FCIT), King Abdulaziz University (KAU) cawangan Rabigh sedang mencari pensyarah perempuan yang ada Ph.D dari Malaysia. Che Pah berminat tak?”.

     “Boleh juga hendak cuba… ajar subjek apa?

     “Di sini ada tiga bidang pengkhususan. Information System, Computer Science dan Information Technology. Pelajar tidak ramai, jadi tidak stres macam universiti lain di Arab Saudi. Rabigh bandar kecil sahaja, tidak sibuk macam Jeddah atau bandar-bandar besar lain”, tambah Nora.

     “Saya memang ada hajat hendak pergi mengajar di Saudi. Sekarang saya sudah pencen pilihan dan sedang ambil Diploma Bahasa Arab. Kalau pergi sana, boleh saya buat praktikal bercakap bahasa Arab. Menarik tu!”, balas saya teruja.

     “Che Pah sediakan CV dan email kepada saya”.

     “Nora di sana tinggal seorang tanpa suami tidak ada masalah kah? Bukankah di Arab Saudi perempuan tidak boleh memandu?”

   “Suami dan anak-anak saya datang masa cuti. Kalau suami tidak ada, saya berjalan kaki sahaja ke kampus. Kalau hendak pergi Jeddah, Mekah atau Madinah boleh pergi dengan kawan atau panggil pemandu yang kita kenal. Insya Allah, setiap minggu boleh pergi Mekah atau Madinah. Hendak pergi hari minggu pun boleh kalau tidak ada kelas. Di sini kita cuma pergi kampus hari yang ada kelas sahaja, tiga hari seminggu”.

   “CV saya memang sudah sedia ada. Nanti saya bincang dengan suami dahulu dan saya akan hubungi Nora semula”.

     Saya sungguh teruja mendengar cerita Nora melalui mesej Facebook pada awal bulan September 2014, yang merupakan titik tolak penghijrahan sementara saya ke negara Arab Saudi.

     “Cubalah hantar CV kepada Nora, kalau tidak berjaya no harm done, kalau dapat kita bincang semula”, begitulah reaksi suami apabila saya maklumkan kepadanya mengenai mesej Nora.

     15 September 2014, saya pun email surat permohonan, CV dan salinan-salinan sijil akademik kepada Nora.

   “Che Pah, saya dapat berita yang Dekan FCIT sudah setuju, cuma perlu dibawa ke panel pulak. Nanti Che Pah akan ditemuduga melalui Skype. Dekan hendak you datang Semester 2 yang akan bermula pada 25 Januari 2015. Che Pah sudah boleh buat persediaan untuk mengesahkan sijil-sijil akademik daripada Sektor Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran Malaysia Malaysia (KPT), Kementerian Luar Negeri Malaysia (MoFA) dan Saudi Cultural Mission (SCM) di Kuala Lumpur”, teruja saya membaca mesej Nora pada 16 September 2015.

     “Tidak apalah Nora, saya akan buat semua itu bila dapat surat tawaran nanti”. Saya pun terus menunggu surat tawaran. Suami dan anak-anak pula asyik bertanya perkembangan permohonan saya.

     Setelah tiga bulan berlalu, tiada email atau surat dari KAU. Saya pun tidak berapa kisah kerana saya bahagia bersama keluarga di rumah. Kehidupan harian saya sebagai orang pencen pun tiada tekanan.

   Empat hari seminggu, selepas subuh saya dan suami akan pergi beriadah di Kompleks Sukan berdekatan rumah. Kami mengamalkan berjalan pantas selama sejam setiap hari dan di sebelah petang pula saya berkebun. Kadang-kadang saya menunggang kuda atau pergi melawat ladang kami di Pantai Senak, Bachok.

     Setiap hari Selasa saya mengikuti kelas bahasa Arab di Arabic Learning Centre, Nilampuri. Hari Sabtu pagi saya pergi kelas hadis Buhkari yang disampaikan oleh Maulana Asri dari Darul Kautsar. Hari Ahad petang pula saya berusrah dengan Kak Mimi dan guru-guru di Sekolah Menengah Kubang Kerian 3.

     Alhamdulillah masa saya sebagai orang pencen penuh dengan aktiviti. Saya buat apa yang saya suka. Bukan buat kerja untuk orang lain suka atau kerana terpaksa atau kerana hendak kejar Key Performance Indicator (KPI).