Memori Saudi – Debu

Sebelum berangkat ke Rabigh Nora memberitahu saya yang dia telah upah pekerja Bangladesh bersihkan apartmen yang saya akan duduk. Apabila sampai, lega juga rasanya melihat tempat tinggal kami kelihatan bersih.

     Beberapa hari kemudian anak-anak dan suami mula batuk-batuk. Saya menjalankan operasi pembersihan rumah. Rupa-rupanya di bawah katil, atas almari dan dilangsir penuh dengan debu pasir.

     Apabila saya turunkan kain langsir, aduh…. berkilo debu jatuh. Entah berapa tahun tidak dibasuh, ataupun memang begitu lumrahnya di Arab Saudi. Debu sentiasa berterbangan.

     “Selama saya tinggal di sini, hampir setiap tahun kena beli vacuum baru. Kami tinggal berdua sahaja tetapi tiap-tiap hari saya vacuum. Debu pasir sentiasa ada. Entah masuk ikut mana pun tidak tahulah. Tingkap, pintu semua tutup rapat”, cerita Kak Yana yang sudah tujuh tahun tinggal di Rabigh mengikut suaminya seorang Profesor Madya di King Abdulaziz Universiti.

   “Ya lah Kak Yana, saya pun rasa begitu juga. Benda pertama yang saya beli apabila sampai di Rabigh adalah vacuum cleaner. Saya memang tidak selesa kalau pijak lantai berpasir atau tengok debu penuh di atas perabut”, balas saya apabila bercerita tentang debu”.

     Rumah di Arab Saudi tingkapnya kecil-kecil sahaja dan saya lihat tidak pernah dibuka. Itulah yang saya miss semasa tinggal di Rabigh. Bangun pagi, buka tingkap dan rasakan bayu pagi menampar lembut ke muka. Oh… indahnya tanah air ku.

     Semasa saya tiba di Rabigh pada awal bulan Februari cuacanya nyaman. Agak sejuk dan kering. Suhu lebih kurang 15 celcius.

     Berjalan pulang dari kampus pada waktu tengahari tidak terasa panas kerana keadaan sentiasa berangin. Angin berdebu. Namun, dengan niqab yang menutup muka, keadaan itu tidak menjadi masalah. Memang patut wanita Saudi memakai niqab di luar rumah kerana angin debu menyesakkan nafas dan memedihkan mata.

     Sebelum kembali ke Malaysia pada 6 Jun, suhu sudah meningkat ke 42 celcius. Khabarnya pada pertengahan musim panas boleh mencecah sehingga 50an.

     Menjelang musim panas, ribut pasir kerap berlaku. Seminggu sebelum berangkat pulang, berlaku ribut pasir yang sederhana. Perkarangan rumah dan ruang legar kampus dilitupi debu kuning kemerahan. Alhamdulillah selama lebih empat bulan di Arab Saudi saya tidak pernah berdepan dengan ribut pasir yang teruk.

     Kawan saya yang tinggal di Riyadh kerap mengalami ribut pasir yang teruk. Menurutnya, ribut pasir yang teruk bergerak seperti satu dinding tinggi yang terbina dari debu. Seluruh kawasan menjadi gelap. Kalau sedang memandu, jarak pemandangan boleh menjadi kosong tetapi tidak boleh berhentikan kereta kerana pasir akan masuk ke dalam enjin. Ribut pasir boleh berterusan selama beberapa jam.

     Selepas ribut berlalu, kenderaan dan bangunan akan berubah menjadi warna tanah. Sebab itulah bangunan di Arab Saudi jarang dicat dengan warna-warna terang. Kebanyakkannya bewarna tanah. Tidak perlu dibersihkan selepas ribut berlalu. Warna bangunan semakin cantik menyerlah dengan rona tanah yang kemerah-merahan.