3 Muslimah Idola

Dalam usaha memperbaiki diri untuk menjadi muslimah yang solehah, umi telah membaca mengenai tiga orang wanita lagenda di zaman Rasulullah SAW. Mereka ialah Khadijah binti Khuwaylid Al-Kubra r.a, Aishah binti Abu Bakar r.a, dan Fatimah Az-Zahra r.a .

Umi boleh simpulkan kehebatan mereka dengan tiga perkataan yang paling mudah iaitu berdikari, bijak dan sabar. Umi mengingatkan diri sendiri untuk menjadikan mereka sumber inspirasi.

Khadijah binti Khuwaylid Al-Kubra r.a

Khadijah r.a adalah isteri Rasulullah SAW yang pertama. Beliau seorang wanita beriman dan berkerjaya. Beliau juga merupakan, seorang ‘kaunselor‘ yang cukup baik. Memberi nasihat dan ketenangan kepada suami dan umat Islam lain. Maka sifat ini perlu kita contohi. Beliau berbeza dari wanita pada zamannya. Perlu kita ingat, zaman Khadijah r.a adalah zaman di mana wanita dipandang begitu hina. Namun Khadijah tidak tunduk dengan kehendak masyarakat sekelilingnya pada masa itu.

Beliau nyata berbeza kerana beliau berilmu dan memilih untuk membuat keputusan sendiri. Sewaktu semua di sekelilingnya menyembah berhala, beliau tidak mengikut orang lain. Khadijah r.a sering berguru dengan pakciknya Waraqah bin Naufal. Khadijah membuat keputusan sendiri dan berani kerana beliau berilmu.

Kita harus bangun untuk menjadi wanita yang berbeza dan berdikari, yang tidak tunduk dengan kehendak masyarakat sekeliling yang kadangkala tidak munasabah dan salah. Kita perlu tahu beza antara agama dan adat. Tiada kekuatan dan keyakinan tanpa ilmu yang baik dan sahih.

Oleh itu, umi mengingatkan diri ini supaya terus menuntut ilmu untuk memperkasakan diri agar dapat menjadi muslimah solehah yang berdikari.

Aishah binti Abu Bakar r.a

Apabila berbicara mengenai ilmu, Aishah r.a menjadi rujukan. Aishah binti Abu Bakar r.a adalah salah seorang daripada isteri-isteri Rasulullah SAW.

Seorang wanita yang bijak dan dikenali kerana kecerdasan minda dan kefasihan tutur bicaranya. Wanita yang bijak adalah wanita yang sering mencari ilmu, bertanya jika tidak pasti seperti wanita Muslim di zaman Rasulullah SAW. Mereka berani bertanya supaya mereka faham mengenai agama, bukan hanya ‘mengikut’ apa yang telah dilakukan oleh orang lain. Cara yang paling baik untuk belajar adalah dengan bertanya. Malu bertanya maka akan sesatlah jalan kita.

Umi sentiasa menanam azam supaya menjadi wanita yang bijak dan berilmu. Umi mesti terus mencari ilmu dari sumber yang sahih dari mana saja, pada bila-bila masa. Umi berazam untuk menjaga minda dan membajanya dengan ilmu, kerana mencari ilmu itu tuntutan dan kewajipan bagi setiap Muslim. Ilmulah yang akan menaikan harga diri kita.

Aishah r.a menjadi tempat rujukan hadis dan ilmu sunnah dan merupakan faqeehah pertama Islam sewaktu umurnya cuma 19 tahun. Bukan sahaja bijak dalam agama, Aishah juga hebat dalam puisi, sastera, sejarah, perubatan dan berbagai cabang ilmu lain. Beliau juga sangat hebat dalam tutur bicaranya dan bersifat kritikal yang ingin mencari jawapan kepada persoalan-persoalan yang timbul. Aishah hebat kerana sifatnya yang sering musykil dan ingin tahu. Oleh itu marilah kita tanamkan sifat ini dalam diri dan keluarga kita.

Umi berpendapat bahawa sebab mundurnya umat Islam kini adalah kerana tidak bersikap mencintai ilmu. Kita digalakan mencintai kebendaan, fesyen, dan hiburan daripada mencintai ilmu.

Ilmu Allah itu luas. Kita boleh menuntut ilmu secara formal atau tidak asalkan kita boleh mengubah minda menjadi muslimah yang solehah dan dapat meningkatkan kemahiran dalam bidang yang berguna untuk diri, keluarga dan masyarakat. Marilah kita menanam azam untuk menjadi seperti Aishah r.a isteri tercinta Rasulullah SAW yang bijak dan berilmu.

Fatimah Az-Zahra r.a

Fatimah Az-Zahra r.a adalah anakanda Rasulullah SAW. Beliau terkenal dengan sifatnya yang sabar walaupun seringkali lapar dan susah. Anak seorang pemimpin agung yang tidak hidup senang dikelilingi pembantu atau khadam.

Sabar itu mudah ditulis dan disebut, namun ianya tidak mudah dilaksanakan. Namun umi yakin kita semua mampu mendidik diri untuk menjadi muslimah yang sabar.

“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka tanpa batas” (Az-Zumar: 10)

Semoga kita dapat membuat kajian yang lebih mendalam tentang 3 orang muslimah contoh ini supaya mereka dapat menjadi idola kita supaya menjadi muslimah yang berdikari, bijak dan sabar.