Bertindak lah untuk mengenal diri sendiri!

Setiap hari kita berdepan dengan berbagai isu masyarakat yang pada pandangan umi, ianya adalah berkaitan dengan masalah tidak kenal diri. Umi merasakan bahawa mengenali diri, menyayangi diri, yakin kepada diri merupakan satu isu yang perlu diketahui oleh semua orang.

Jika kita tidak mengenali diri, maka besar kemungkinan kita akan menjadi lalang, tiada pendirian dan mudah terpengaruh dengan sebarang propoganda yang disogokkan kepada kita dalam media massa. Begitu mudah kita dibawa “angin”, berubah fikiran dan prinsip hidup mengikut rentak angin yang bertiup.

Siapakah diri kita sebenarnya? Adakah kita mengenali diri sendiri? Itulah persoalan yang akan kita bincangkan dalam pos umi kali ini.

Kita mengharungi hidup ini berdasarkan bagaimana kita ‘melihat’ diri sendiri. Kita sebenarnya tanpa sedar atau tidak, akan meletakkan definasi tertentu kepada diri sendiri dan ada kalanya kita memberi definasi kepada diri berpandukan pandangan orang lain terhadap kita. Memang benar, imej diri dipengaruhi banyak faktor seperti pandangan ibu bapa, rakan, persekitaran dan media. Keyakinan diri pula merujuk kepada bagaimana kita menilai harga diri kita dan pandangan mengenai diri samada positif atau negatif.

Tidak mengenali diri maka seringlah kita merasa rendah diri di hadapan orang lain. Manakan tidak, kekuatan diri pun tidak dicari dan diketahui sedangkan Allah menciptakan kita semua masing-masing dengan potensi dan kekuatan yang tersendiri. Mungkin bukan salah anda, mungkin selama ini tidak ada yang memuji dan meyakinkan bahawa anda sebenarnya tersangat istimewa. Namun, usahlah mengharapkan orang lain lagi, bangkit lah untuk mengenali diri sendiri!

Konsep Diri

Apa itu konsep diri? Dalam psikologi konsep diri merupakan gambaran mental mengenai siapa diri kita yang diberi oleh diri kita sendiri. Soalan seperti “siapa saya?” amat penting sekali untuk diselami. Konsep diri seseorang, sangat mempengaruhi keyakinan diri kita. Bagaimana kita menilai diri banyak bergantung kepada personaliti dan juga “pengalaman” hidup.

Setiap individu mempunyai pengalaman sedih, gembira, emosi yang positif dan negatif serta kejayaan dan kegagalan yang akan membentuk pengalaman unik diri masing-masing. Oleh itu tak usah meniru orang lain kerana kita semua berbeza. Raikan perbezaan diri kita yang unik ini.

Bongkar Potensi Diri

Untuk mengenali diri dengan lebih baik ada beberapa fokus mengenai diri yang pakar psikologi ketengahkan. Konsep diri bergantung kepada koleksi “skema diri” –iaitu bagaimana kita melihat diri ‘secara keseluruhan’ dan skema diri setiap dari kita sebenarnya telah dibentuk sejak dari kecil lagi.

Ianya satu proses di dalam minda yang amat bergantung kepada ilmu pengetahuan seseorang, kepercayaan dan pengalaman lalu mereka. Pengetahuan, kepercayaan dan pengalaman lalu itu pula amat dipengaruhi oleh faktor budaya, latar belakang dan persekitaraan. Skema diri ini sangat penting untuk difahami kerana skema diri ini akan membentuk dan membimbing kita untuk membuat penilaian mengenai pengalaman yang kita lalui.

Contohnya jika seorang remaja ditenung dan diperhati oleh seseorang – maka berdasarkan pengalaman lalu kita akan memberi respon kepada tenungan ini. Individu A: akan berfikir dalam diri bahawa “oh mereka tenung aku sebab aku cantik, hebat dan popular” Individu B: akan berkata “oh mereka tenung aku sebab aku comot dan buruk.” Contoh ini menunjukkan bagaimana pegalaman lalu membentuk persepsi kita. Refleksi perlu dilakukan kepada skema diri kita kerana ianya ada kaitan dengan motivasi diri.

Skema diri boleh menjadi bahaya sekiranya kita tidak berhati-hati dengan penilaian kita mengenai diri sendiri. Contohnya seseorang yang sering berkata kepada diri, “Aku memang bodoh pun”.  Kalau kita rasa diri kita bodoh, maka memanglah sukar untuk kita berusaha dengan lebih kerana kita sudah yakin dengan skema diri yang dibentuk.

Jika kita rasa kita ini pemalu, tidak berani, tidak hebat dan segala sifat negatif yang lain motivasi kita akan secara automatik akan berkurangan. Oleh sebab motivasi kita sudah rendah maka usaha yang diletakkan ke dalam sesuatu perkara juga akan berkurangan. Apakah penilaian diri anda kepada diri sendiri yang selama ini tidak berapa tepat dan boleh diperbaiki?

Kemungkinan Diri

Anak-anak sekalian, satu lagi faktor yang perlu diberi perhatian untuk kita mengenali diri adalah apa yang disebut sebagai “possible selves” atau jika dialih bahasa boleh disebut sebagai “kemungkinan diri”. Siapa diri kita ini di masa akan datang? Apakah harapan kita , siapa yang ‘mahu’ kita jadi dan siapa dia yang takut untuk kita serupai. Kemungkinan diri memberi kita semangat dan matlamat dalam hidup. Siapa dia ‘possible selves’ anda agaknya?

Konsistent Diri

Faktor ‘konsisten diri’ atau “consistent self” pula menekankan bagaimana kita mahu dinilai oleh orang lain. Kita akan konsisten dengan menzahirkan siapa kita melalui sikap, perbuatan juga pemakaian kita. Kita akan cuba menjauhi apa-apa sikap yang bertentangan dengan diri. Kita juga akan berkawan dengan mereka yang akan memperkasakan konsep diri kita.

Contohnya, sekiranya seseorang itu mahu dilihat sebagai seorang yang berstatus tinggi maka dia akan berpakaian dengan pakaian branded, bawa kereta mahal, berkawan dengan orang-orang yang kaya dan sebagainya. Anak-anak yang disayangi sekalian, biarlah kita konsisten dengan sikap diri yang mahu menjadi orang yang baik, soleh dan beriman. Kita mengambil sikap yang berakhlak, pakaian yang menutup aurat dan berkawan dengan sahabat-sahabat yang soleh lagi baik budi pekerti.

Konsisten diri ini amat perlu untuk kita bentuk agar hidup kita dikukuhkan dengan prinsip dan nilai yang kuat dan mampu kita pegang sampai bila-bila walau apa jua terjadi. Jika kita mempunyai ‘konsisten diri’ yang utuh, maka kita tidak menjadi lalang.

Ada manusia yang tiada langsung nilai dan prinsip, apa sahaja boleh asalkan mereka diterima oleh orang ramai. Asalkan kemahuan mereka tercapai. Persoalannya perlukah kita ‘gembira’ diterima oleh manusia lain sedangkan kita tidak diterima oleh Allah? Perlukah kita gembira mendapat habuan dunia sedangkan kita tahu ianya salah dan haram?

Biarlah kita memilih untuk membentuk konsisten dalam diri dengan perkara-perkara yang baik. Kadangkala ianya memang sukar, kita mungkin terpengaruh dengan persekitaraan, keadaan, kata-kata dari orang lain. Kadangkala kita dipengaruhi kerana wang.

Kita  sepatutnya berpegang kepada prinsip mahu menjadi konsisten sebagai seorang Muslim. Namun kadangkala kita mungkin lalai, silap dan lupa. Persekitaran yang tidak baik boleh membuatkan kita lalai. Namun bila sedar semula, kita hendaklah kembali menilai diri. “Siapa saya?” Siapa yang mahu saya jadi? Adakah sikap saya konsisten dengan impian saya itu?

Setiap hari kita bertembung dengan berbagai kemahuan yang tidak patut kita lakukan. Menilai diri sendiri sebenarnya lebih banyak faedahnya dari membuang masa menilai orang lain. Menilai diri membuatkan kita ‘berfikir’ bagaimana untuk memperbaiki diri.

Memperbaiki Diri

Memperbaiki diri membuatkan kita menghargai diri, menyayangi diri dan kita akan lebih yakin dengan diri.  Sekiranya kita sayang pada diri dengan meninggalkan segala maksiat dan kemungkaran nescaya Allah juga akan menyayangi diri kita. Katakanlah pada diri “aku ini telah diciptakan terlalu baik untuk melakukan segala maksiat ini”. Sekiranya Allah menyayangi kita, tiada siapa, tiada apa yang dapat menghalangnya. Itulah kekuatan sebenar. Itulah kemenangan yang agung.

Allah berfirman di dalam Quran “berlumba-lumbalah membuat amal kebajikan”.

Al-Baqarah: 148

Al-Baqarah: 148

Ya berlumba! Dengan pantas dengan laju tanpa membuang masa! Bukan berlumba dalam mengumpulkan harta atau mencari kedudukan, tetapi dalam amal kebaikan. InsyaAllah setelah itu yakin lah, pasti harta dan kedudukan akan datang! Konsep diri yang cuma mahu kaya raya, berharta, berkedudukan sebenarnya merosakkan segalanya!

Ingatlah bahawa, apa yang kita fikir, percaya dan rasa mempengaruhi sikap dan perlakuan kita. Fikir, percaya dan rasalah kita ini Muslim yang akan menemui Tuhannya membawa segala amalan yang baik dan buruk walau sekecil zarah. Fikirlah bahawa Allah sudah berjanji tidak akan mensia-siakan segala amalan baik yang kita lakukan. Balasannya akan tiba. InsyaAllah, ini akan mempengaruhi sikap kita.

Umi memperingatkan diri ini, dan mengajak pembaca sekelian untuk fikirkan kembali mengenai konsep diri yang telah disebutkan di atas. Siapa kita, pengalaman kita, pemikiran kita mengenai diri. Siapa dia yang mahu kita ‘jadi’? Siapa yang takut untuk kita ikuti? Apa dia identiti diri ini? Untuk merubah diri ianya semuanya bermula di dalam minda sendiri.

Rujukan:

  1. Kepribadian Dalam Psikologi Islam, Prof.Dr. H.Abdul Mujib.
  2. Psychology From The Islamic Perspective, Dr. Aisha Utz.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *