Bekerja adalah Ibadah

Islam mengajar umatnya supaya melalukan kerja yang halal dan berkat. Dalam Islam, melakukan pekerjaan bukan semata-mata bagi mencari wang, harta, pangkat ataupun kemewahan. Yang lebih penting adalah, kerja yang dilakukan itu suatu ibadah. Jika pekerjaan kita mendapat berkat daripada Allah s.w.t., kehidupan akan menjadi aman, tenteram, gembira dan bahagia.

Pekerjaan akan menjadi ibadah sekiranya kita niat bekerja kerana Allah s.w.t bagi mendapatkan rezeki yang halal untuk keperluan diri, keluarga dan untuk memenuhi amanah masyarakat sekeliling.

Hasil yang Berkat

Hasil yang sedikit tetapi halal lebih baik daripada hasil yang banyak tetapi haram. Pekerjaan yang termasuk dalam syubhah pula lebih baik dijauhi demi memelihara diri daripada melakukan perbuatan yang mengarah kepada dosa. Dalam Islam, yang paling penting ialah segala pendapatan kita itu mendapat berkat. Harta yang banyak jika tidak berkat dalam penghasilannya, tidak akan memberi faedah kepada kita.

Sekiranya harta hasil pendapatan tidak halal, kita mungkin nampak senang dan mewah, tetapi hakikatnya tiada ketenangan hati dan tiada kebahagiaan hidup. Sebab itu kita lihat petani, nelayan dan buruh kasar yang bekerja dengan niat yang betul dan mendapat rezeki yang halal dan berkat itu hidupnya lebih tenteram daripada usahawan dan profesional yang hidup bergelumang dengan kerja dan pendapatan yang tidak halal.

Amanah

Di dalam dunia ini, manusia memang ada yang ditakdirkan melakukan kerja-kerja yang ringan, begitu juga sebaliknya. Yang pentingnya setiap individu melakukan kerja masing-masing dengan baik dan sempurna. Hakikatnya setiap orang yang bekerja samada ia majikan atau pekerja, masing-masing saling lengkap melengkapi.

Kita perlu sentiasa ingat bahawa bukan hasil yang menjadi ukuran keberkatan pekerjaan yang dilakukan oleh seseorang, akan tetapi jalan penghasilannya itulah yang lebih penting. Bukan harta dan wang ringgit yang dicari, tetapi yang lebih utama adalah keberkatan kerja yang dilakukan yang seterusnya boleh mendatangkan kebahagiaan dan ketenangan hati.

Orang yang bekerja sebenarnya ialah orang yang berusaha melaksanakan amanah yang diberikan kepadanya. Seorang lelaki yang sudah bekeluarga, akan bekerja kerana hendak memberi nafkah anak, isteri, ibu-bapa dan keluarga yang menjadi amanah tanggungannya. Dengan menunaikan amanah secara ikhlas, seseorang itu akan diberikan pahala oleh Allah s.w.t.

Jika kita yakin dengan Allah s.w.t, usaha dan ikhtiar kita akan sentiasa bertambah dan tidak berbelah bahagi. Iman kita kepada Allah s.w.t. juga semakin bertambah dan kita akan menjadi hamba Allah s.w.t. yang lebih baik dari sebelumnya. Inilah hasil pekerjaan yang membawa berkat kepada seseorang yang melakukannya.

RAHSIA REZEKI MELIMPAH HALAL DAN BERKAT DENGAN SOLAT DHUHA

 

One thought on “Bekerja adalah Ibadah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *