Memori Saudi – Permohonan Visa Kerja

Permohonan visa dari Kedutaan Arab Saudi (KAS) hanya boleh diuruskan oleh agen yang berdaftar dengan KAS. Atas cadangan Nora, saya menghubungi B & R Travel untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai prosedur permohoan visa.

     Ayu, wakil B & R Travel email kepada saya senarai keperluan untuk permohonan visa kerja beserta borang yang perlu diisi. Terkejut juga saya melihat senarai keperluan yang panjang sedangkan saya hanya ada tiga minggu sahaja sebelum mendaftar pada 25 Januari.

     Saya teliti senarai keperluan sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Sekali pandang terasa begitu membebankan.

  1. Lengkapkan borang permohonan visa dengan dua keping gambar berlatar belakang putih (Gambar untuk visa Arab Saudi lebih besar berbanding gambar pasport biasa).
  2. Pasport yang sah dan mempunyai sekurang-kurangya enam bulan sebelum tamat tempoh. Pasport lama kalau ada, juga diperlukan.
  3. Sijil asal dan salinan kelayakan akademik sesuai dengan jawatan yang ditawarkan. Semua sijil perlu disahkan oleh Sektor Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Luar Negeri Malaysia (MoFA), Saudi Cultural Mission dan Kedutaan Arab Saudi Kuala Lumpur (KAS). Kalau sijil akademik diperolehi dari luar negara, sijil perlu disahkan oleh Saudi Cultural Mission dan Kedutaan Arab Saudi di negara berkenaan.
  4. Borang laporan kesihatan yang dilengkapkan oleh panel hospital yang diluluskan oleh KAS.
  5. Sijil kelakuan baik (SKB) yang dikeluarkan oleh MoFA. Permohonan sijil dibuat melalui laman web www.kln.gov.my
  6. Sekiranya keluarga hendak ikut serta, semua perkara di atas juga perlu disediakan.
  7. Kalau suami ikut serta, perlu ada salinan surat nikah. Kalau tidak ikut, perlu ada surat kebenaran suami.
  8. Anak-anak juga boleh memohon visa untuk pergi bersama. Kelayakan: anak lelaki 18 tahun ke bawah. Anak perempuan selagi tidak berkahwin. Anak-anak perlu sediakan salinan surat beranak yang ada terjemahan Bahasa Inggeris dan salinan perlu disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

 

     “Aduh… macam mana hendak selesaikan semuanya dalam masa dua minggu? Tidak payah pergilah!”, saya merungut hampir berputus asa. Suami saya senyap tidak membantah. Melarang tidak menyuruhpun tidak. Dia tidak kisah kerana sibuk dengan misi bantuan banjir.

     “Ok tidak apa, just do it one step at a time. Cuba dulu, kalau sempat Alhamdulillah, kalau tidak pun tidak mengapa”, bisik hati kecil saya setelah solat istikharah beberapa kali.

     Mula-mula saya buka laman web MoFA untuk permohonan SKB. Saya terkejut besar kerana mengikut prosedur, SKB siap dalam masa dua bulan. “Isi sahajalah, lepas ini cuba buat rayuan untuk dipercepatkan”, saya berkata sendirian.

     Kemudian, pada 6 Januari awal-awal pagi saya bawa anak-anak untuk memperbaharui pasport, ambil gambar dan buat cabutan surat beranak di JPN. Biasanya tidak ramai orang di pejabat Imigresen atau JPN. Namun pada hari itu saya bingung dan berpeluh apabila melihat orang ramai bersesak di Wisma Persekutuan Kota Bharu yang menempatkan kedua-dua pejabat itu.

     “Kenapa ramai orang hari ini Encik?”, tanya saya kepada pegawai yang bertugas di tempat mengambil nombor.

     “Mangsa banjir hendak buat semula pasport dan surat beranak sebab rosak atau hilang semasa banjir”, balas pegawai tersebut.

     “Sabar sajalah”, ujar saya kepada empat orang anak yang turut serta.

     “Kita ambil nombor, pergi makan dan ambil gambar pasport dahulu”. Alhamdulillah, semua urusan selesai sebelum pukul satu.

     Keesokannya pula saya bawa anak-anak dan suami untuk membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Perdana (HP) yang merupakan satu-satunya hospital panel KSA di Kota Bharu. Pemeriksaan memerlukan x-ray, sampel darah, air kencing dan najis. Hari itu kami cuma buat x-ray dan serahkan sampel.

     Kami perlu pergi semula untuk pemeriksaan fizikal oleh doktor selepas keputusan ujian sampel siap, yang biasanya mengambil masa lima hari bekerja.

     Aduh, tunggu lagi. Sabar sajalah! Nak buat macam mana, prosedurnya begitu.

     Alhamdulillah! Selepas tiga hari, pihak hospital telefon saya menyatakan keputusan sampel sudah siap. Kami pun segera ke HP. Semua sampel tidak bermasaalah.

     Satu lagi peraturan permohonan visa kerja dan ahli keluarga yang hendak ikut perlu mendapat suntikan Menangitis. Malangnya, pada hari itu HP kehabisan vaksin. Selesai pemeriksaan kesihatan di HP, kami pergi pula ke Klinik Balkis Kota Bharu untuk suntikan menangitis. Selesai sudah urusan pemeriksaan kesihatan.

     Sementara menunggu keputusan pemeriksaan kesihatan, saya mendapat panggilan daripada Aisyah SCM. Beliau memaklumkan kepada saya supaya meminta pihak universiti yang mengeluarkan sijil Ph.D saya menghantar surat pengesahan melalui emel kepada wakil Attache di SCM aijazi@mohe.gov.my. Saya juga diingatkan untuk membawa surat asal ke SCM selepas disahkan oleh KPT dan MoFA.

     Alhamdulillah, Ph.D saya dari Universiti Sains Malaysia (USM). Tidak perlu hubungi SCM luar negara. Saya hubungi Institut Pengajian Siswazah (IPS) USM Pulau Pinang untuk hantar emel kepada SCM dan pos laju surat asal kepada saya.