Memori Saudi – Kita Merancang Allah Menentukan

Sepatutnya pos laju hanya sehari, tetapi setelah tiga hari menunggu, tidak sampai-sampai.

     Borang-borang lain sudah siap, hanya menunggu surat daripada IPS. Saya trace pos laju di pejabat pos Kota Bharu. Tiada rekod poslaju untuk saya. Bila saya telefon semula ke IPS, rupa-rupanya kerani hantar melalui pos biasa.

     Bersusah payah pula posmen Kota Bharu punggah guni untuk cari surat saya tetapi tidak berjumpa. Tenggelam banjir agaknya! Biar lah…. sabar…

     Saya telefon adik di USM Penang minta tolong dia ambil surat asal di IPS dan hantar melalui bas express Transnasional. Dalam masa sepuluh jam, surat keramat sampai di tangan saya. Syukur.

     Pada 17 Januari, saya ambil penerbangan pertama MAS pukul 6.45 pagi ke KLIA dengan rancangan untuk selesaikan semua urusan pengesahan dokumen di KPT, MoFA dan SCM. Selepas itu saya boleh serahkan dokumen kepada B & R Travel untuk urusan permohonan visa.

     Tiba di KPT, pegawai pula tidak ada kerana mesyuarat. Saya tunggu. Sebaik sahaja sebelum rehat tengahari, dokumen saya siap.

     Saya makan tengah hari bersama Hamisah, kawan lama dari Sekolah Menengah Sains Pulau Pinang yang bekerja di KPT. Selepas itu saya menaiki teksi terus ke MofA. Orang tidak ramai menunggu. Nombor saya dipanggil cepat.

     “Puan perlu datang esok untuk ambil dokumen kerana lebih daripada sepuluh salinan. Hari ini sudah petang, tidak sempat siap”.

     Perancangan saya tergendala. Tidak boleh selesai dalam sehari. Saya berkira-kira hendak bermalam sahaja di Putrajaya supaya esok boleh selesaikan semuanya. Saya terus membuat tempahan Hotel Averly Putrajaya secara online.

     Sebelum meninggalkan MoFA, saya sempat bertanya tentang SKB.

     “Kami tidak boleh bantu mengenai SKB. Puan perlu tunggu pelepasan daripada pihak polis. Puan boleh beri surat kebenaran untuk agen ambil di sini”.

   Saya memang sudah sediakan surat berkenaan untuk ditinggalkan kepada agen nanti. Memanglah, prosedur biasa dua bulan baru siap. Melepasi tarikh untuk saya lapor diri di KAU!

     Saya pergi ke Hotel Averly Putrajaya dengan teksi. Malam itu saya sempat keluar makan malam bersama Rahimah kawan baik semasa di Miami yang tinggal di Putrajaya.

     Alhamdulillah, Rahimah cadangkan untuk anak lelakinya Aiman hantar saya ke MoFA dan SCM kerana anaknya akan pergi ke Selayang. Syukur, Allah permudahan urusan saya. Kalau tidak, saya perlu mengambil teksi atau naik keretapi dari Putrajaya ke KL Central.

     Malam itu saya solat hajat dan terus berdoa supaya supaya segala urusan saya dipermudahkan. Selepas subuh sambil menunggu Aiman datang untuk ke MoFA, saya ambil kesempatan untuk menyemak keputusan SKB. Syukur, kesemua SKB kami 4 beranak sedia untuk diambil. Siap dalam masa seminggu!

     Penantian semalaman di Putrajaya tidak sia-sia. Pagi itu saya dapat selesaikan dua dokumen penting untuk dibawa ke SCM.

     Menurut Nora dan beberapa orang kawan lain, pengalaman di SCM lagi sukar. Ada-ada saja yang tidak kena. Mereka semua terpaksa pergi entah berapa kali. Ada yang sampai enam kali.

     Aiman hantar saya ke SCM seperti alamat yang saya catit dari laman web. Apabila sampai, pegawai keselamatan Pakistan beritahu yang SCM pindah sementara ke bangunan lain. Saya telefon tetapi tidak berjawab. Bila saya telefon agen, baru dapat alamat baru SCM. Alhamdulillah Aiman masih menunggu. Kalau tidak, letih pula saya berjalan dengan mengheret beg.

     Saya tiba di alamat baru SCM pada pukul sepuluh pagi. Sekali lagi saya terkejut kerana bangunan rumah banglo itu dilingkungi oleh zink biru pembinaan. Tidak nampak langsung kelibat manusia di situ. Biar betul! Bila saya jengah ke dalam, baru ternampak pegawai keselamatan. Betul, SCM di situ.

     Saya masuk dan tercari-cari penyambut tetamu atau kerani. Yang ada cuma beberapa orang lelaki Arab sedang minum dan seorang lelaki berwajah Cina sedang menunggu. Takut juga dalam hati saya.

     “Are you here for endorsement?” Saya tanya lelaki itu. “Yes, I have been waiting here since 9 o’clock. I came yesterday but Mr. Ali told me that I need other documents. I hope I can settle it by today“.

     Sambil menunggu, saya sempat berbual dengan lelaki itu. Rupanya dia Melayu. Dia hendak pergi bekerja di syarikat telekomunikasi Arab Saudi.

     Pukul sepuluh setengah pagi kelihatan seorang perempuan Melayu masuk.

     “Itu Aisyah, pembantu Mr. Ali”, beritahu lelaki itu kepada saya. “Puan masuklah dahulu jumpa dia, saya hendak tunggu Mr. Ali”.

     Saya masuk jumpa Aisyah dan serahkan surat pengesahan Ph.D dan salinan sijil Ph.D yang telah disahkan oleh KPT dan MoFA.

     “Doktor, kami perlukan juga surat pengesahan dan salinan sijil master, ijazah pertama dan semua transkrip”, kata Aisyah.

     “Eh.. dalam telefon hari tu awak cuma maklumkan tentang sijil Ph.D. Ini sudah ada”, saya protes.

     “Prosedur biasa memang perlu ada semua sijil. Nanti Mr. Ali marahkan saya pula. Kalau doktor nak puas hati, tunggulah Mr. Ali datang. Doktor cakap sendiri dengan dia”, tegas Aisyah kepada saya.

     Saya pun tunggu. Pukul satu petang kelihatan seorang lelaki Arab yang agak berumur masuk ke bilik Aisyah.

     “Itulah Mr. Ali”, kata lelaki Melayu yang sedang menunggu. “Encik masuklah dulu”, kata saya kepada dia.

     Selepas lelaki itu selesai, saya pun masuk. “Yes, how can I help you?“, sapa Mr. Ali. Hilang debaran saya apabila terdengar suara mesranya. Saya pun jelaskan keadaan dengan menegaskan yang saya cuma perlu serahkan dokumen Ph.D.

     “Oh, you get your Master and First Degree from Miami. I have been there“, Mr. Ali kelihatan gembira menceritakan pengalaman dia di Miami.

     “Insya Allah we will settle everything by today. Just wait for Attache to sign your Ph.D documents“. Alhamdulillah pukul 2 petang urusan di SCM selesai.

     Dari SCM saya naik teksi ke pejabat agen. Saya serahkan semua dokumen seperti yang tersenarai. Lengkap semuanya sekali dengan bayaran RM350 seorang.

   Visa siap dua hari selepas itu, iaitu pada hari Jumaat 23 Januari. Tinggal dua hari untuk saya daftar diri di KAU.

     Saya hantar email kepada Dekan menyatakan semua urusan sudah selesai cuma menanti tiket kapal terbang yang sedang diuruskan oleh SCM.

     “You can come“, itu sahaja jawapan Dekan.

     Hari Isnin 26 Januari saya ambil pasport dan semua dokumen yang telah disahkan oleh KAS daripada agen dan pergi semula ke SCM untuk urusan tiket.

     SCM sudah berpindah pula! Kembali ke bangunan asal yang baru siap diubah suai. Aisyah dan Mr. Ali sibuk mengemas barang di pejabat mereka. Saya tidak begitu dilayan.

     “Doktor tinggalkan salinan muka depan pasport, nombor telefon, alamat emel semua ahli keluarga dan tarikh hendak berangkat. Nanti saya uruskan.”, begitu sahaja kata Aisyah.

     Selepas dua hari menunggu, tiada berita daripada Aisyah. Saya WA beberapa kali meminta dia hantar segera surat waran kapal terbang kepada Al-Tayyar, agen penerbangan rasmi Kementeria Pendidikan Tinggi Arab Saudi.

     Alhamdulillah, 2 Februari 2015 saya berlepas dari Kota Bharu ke Jeddah bersama suami dan dua orang anak. Pada pagi 3 Februari saya pun memulakan tugas di KAU. Lambat seminggu dari tarikh surat tawaran.

     Kita merancang, Allah yang menentukan. “You can do it”