Memori Saudi – Expect the Unexpected When You Are in Saudi Arabia

“Abang akan hantar Ani, tetapi abang tidak boleh duduk lama di sana. Banyak kerja perlu diselesaikan di pejabat sebelum raya Cina”.

     Begitulah janji suami kepada saya semasa kami bersetuju pergi ke Rabigh. Saya merantau ke bumi Arab Saudi bertujuan untuk membuat praktikal bahasa Arab sambil bekerja sebagai Profesor Madya di King Abdulaziz University (KAU).

     Saya akur kerana saya tahu suami memang sibuk dengan urusan pejabat dan urusan ladang kami. Pejabat arkiteknya memang tidak pernah ditinggal lama kecuali semasa kami mengerjakan haji pada tahun 2005.

     Alhamdulillah sekarang sudah ada empat orang anak yang bekerja dengan suami dan berkongsi tanggung jawab urusan pejabat. Namun suami saya tidak dapat menyerahkan terus semua urusan kepada anak-anak kerana mereka baru tamat belajar. Masih baru dengan selok-belok urusan projek dan pejabat.

     Selain suami, saya juga membawa bersama anak lelaki bongsu dan seorang anak perempuan yang baru tamat pengajian Masternya dari Sydney. Pemergian kami ke Rabigh ditanggung sepenuhnya oleh KAU. Saya mendapat visa kerja. Suami dan anak-anak mendapat visa residen (iqamah).

     Prosedur biasa, tempoh visa dari Kedutaan Arab Saudi di Malaysia adalah selama sembilan puluh hari sahaja. Kami perlu dapatkan kad iqamah dari pejabat imigresen sebelum tamat tempoh tersebut.

     Sebaik sampai di Rabigh saya dinasihatkan oleh pegawai sumber manusia FCIT untuk membuat pemeriksaan kesihatan di Klinik An-Nakheel. Keputusan pemeriksaan kesihatan dari klinik panel KAU diperlukan untuk lanjutan visa selama setahun.

     Saya serahkan pasport dan wang tunai SAR500 kepada pegawai KAU untuk urusan kad iqamah. Alhamdulillah iqamah saya selesai dalam masa seminggu. Syukur, urusan cepat siap.

     Sebaik sahaja saya dapat iqamah, keluarga pula dimaklumkan untuk membuat pemeriksaan kesihatan di klinik yang sama bagi urusan lanjutan iqamah mereka. Selepas seminggu anak-anak berjaya mendapat kad iqamah mereka tetapi kad iqamah suami ada masalah. Apa masalahnya? Tiada siapa yang dapat menjawab hingga ke hari ini.

     Suami mula gelisah kerana rancangan untuk pergi menemani saya sekejap telah berlanjutan lebih dari dua minggu. Sesiapa yang masuk dengan visa iqamah tidak boleh keluar dari Arab Saudi selagi urusan lanjutan iqamah tidak selesai!

     Stranded! Begitulah perasaan suami saya. Gelisah memikirkan urusan kerja di Malaysia.

     What’s the problem? Tiada siapa dapat menjawab. Suami disuruh pergi semula ke klinik dan ke pejabat imigresen di Rabigh tetapi masalah berterusan. Pejabat imigresen arahkan kami ke pejabat istiqdam di Jeddah. Saya sebagai “kafil” suami pergi bersama dengan kereta yang dipandu oleh Abdul Rahman.

     Malangnya, di pejabat istiqdam kami disuruh pula oleh pegawai Arab yang boleh berbahasa Inggeris pergi ke pejabat imigresen Jeddah untuk dapatkan surat lain.

     Oleh kerana suami masuk ke Arab Saudi sebagai tanggungan saya, maka semua urusan visa perlu tindakan saya. Saya berkeras tidak mahu ke pejabat imigresen Jeddah kerana sudah ada catatan dari pejabat imigresen Rabigh meminta masalah kami diselesaikan.

     Saya kalah. Kami terpaksa pergi juga ke pejabat imigresen Jeddah. Urusan di pejabat imigresen Jeddah menjadi semakin sukar kerana tidak ada pegawai yang boleh berbahasa Inggeris. Bagai ayam dengan itik kami cuba berkomunikasi. Miss communiation!

     Stress di arah ke sana kemari, saya mula sebak. Urusan kami di Rabigh yang pada mulanya lancar, telah mendapat dugaan Allah.

     Abdul Rahman, pemandu kami yang begitu “cool“, mengingatkan tentang surah As-Syarh (Alam Nasyrah).

     “Sesungguhnya bersama kesusahan ada kesenangan”.

     Saya istighfar, saya telah lupa dan lalai tentang “ketetapan Allah”. Saya dan suami diduga dengan hanya sedikit kesusahan, tetapi kami sudah gelisah.

     Astagfirullah.

     “Sesungguhnya bersama kesusahan ada kesenangan”. Syukur, saya diperingatkan oleh Allah melalui seorang pemandu dari India!

     “Kenapa kami pergi sendiri ke Jeddah untuk urusan iqamah suami? Bukankah pihak KAU yang perlu uruskan?”. Selepas bertenang sebentar baru saya terfikir kenapa saya ambil tindakan sendiri.

     Saya telefon Profesor Wardah. Ya, kenapa saya tidak terfikir untuk hubungi beliau lebih awal. Ketentuan Allah? Saya yang gopoh, ambil tindakan sendiri, lupa bahawa urusan sebelum ini semuanya diuruskan oleh pegawai KAU dengan lancar.

     Profesor Wardah telah menyuruh kami berjumpa Naif pegawai sumber manusia KAU Jeddah. Dia telah diarahkan untuk membantu menyelesaikan masalah kami. Dokumen berkenaan diserahkan kepada beliau dan kami pun pulang ke Rabigh setelah hampir sehari ke hulu ke hilir di bandar Jeddah yang sungguh sibuk.

     Janji Naif, minggu depan masalah akan selesai.

     “Next time don’t come to Jeddah without calling me, ok teacher?”. Itu pesanan Naif. Saya dan suami tersenyum.

     Pulang ke rumah dengan lapang dada, bahawa ini adalah takdir Allah untuk kami. Sedikit kesusahan dengan ujian Allah sebagai tanda kami masih diingati olehNya.

     Insya Allah, semoga iman kami terhadap surah Alam Nasyrah semakin kental. Kami terus berdoa agar masalah iqamah suami dapat diselesaikan. Suami redha, gelisah semakin reda. Expect the unexpected.