Memori Saudi – Mengenali Rabigh

Sebelum berangkat ke Rabigh saya pulang ke kampung untuk menziarahi emak, ayah dan keluarga.

     Semasa berjumpa seorang emak saudara yang dipanggil Nde. Beliau menjemput saya ke kenduri kahwin anaknya.

     “Maaf Nde, saya tidak dapat hadir ke kenduri Faiz nanti sebab sudah berangkat ke Rabigh”.

     “Nak pergi mana? Repek?”, balas Nde.

     “Rabigh, Arab Saudi. Repek tu di Kelantan”, ujar saya sambil ketawa.

     Saudara mara dan kawan-kawan tidak tahu di mana letaknya Rabigh. Hendak mudahkan cerita, saya cuma beritahu hendak pergi berhijrah ke Jeddah. Rata-rata orang Malaysia cuma tahu Jeddah, Mekah dan Madinah. Umumnya orang Malaysia yang datang dengan visa umrah atau haji hanya dibenarkan berada di tiga tempat tersebut.

     Kalau sebut Laut Merah, Masjid Terapung dan Cornische, mungkin ramai yang tahu kerana hampir semua pakej umrah dan haji akan membawa jemaah ziarah ke sana. Manakala Riyadh juga diketahui ramai kerana ia ibu negara Arab Saudi.

     Berbalik kepada cerita Rabigh, saya sendiri juga tidak pernah dengar sehinggalah Nora mengajak saya untuk datang bekerja di sana. Apabila saya buka Google Map barulah saya tahu bahawa Rabigh terletak di persisiran Laut Merah. Di tengah antara haramain. Mekah 197 Km di selatan dan Madinah 300 Km di sebelah utara. Jeddah pula sejauh 155 Km.

     Rabigh (Bahasa Arab: رابغ) ialah sebuah bandar yang sedang pesat membangun. Ia berada di dalam negeri Mekah. Pada zaman Rasulullah, bandar ini dikenali sebagai Juhfah. Bandar ini adalah laluan kafilah perdagangan di antara Negeri Syam dan Mekah. Ia juga merupakan laluan tentera Islam dari Madinah semasa penaklukan semula Mekah.

     Menurut sejarah, bandar ini pernah hilang disebabkan oleh hakisan air laut. Apabila dibina semula, ia dinamakan sebagai Rabigh. Rabigh adalah miqat bagi jemaah umrah dan haji yang datang dari Mesir, Syiria dan Maghribi.

     Sekarang Rabigh terkenal sebagai bandar perindustrian yang menempatkan berbagai industri seperti kilang Arab Cement, stesen elektrik yang menyokong Mekah dan Madinah dan industri penapisan minyak milik Saudi Aramco. Selain itu terdapat industri petrokimia Petro Rabigh yang dibangunkan dengan usaha sama Aramco dan Sumitomo Chemical Jepun.

     Bandar Rabigh semakin pesat membangun dengan adanya kampus cawangan King Abdulaziz University yang terletak 11 Km dari pusat bandar. Kedudukan kampus luas terbentang di tepi laut merah. Nyaman dan jauh dari kesesakan jalan raya.

     Saya suka tinggal di Rabigh kerana semua kemudahan ada berdekatan. Alhamdulillah saya boleh ke Mekah atau Madinah bila ada kesempatan. Saya juga boleh memperbaiki bacaan Quran, belajar bahasa Arab dan bergaul dengan saudara seislam daripada berbagai bangsa di Pusat Dakwah yang terletak di hadapan rumah saya.

     Saya tiada masalah tinggal di Rabigh walaupun tidak boleh memegang stereng kereta untuk ke sana ke mari. Syukur, Allah beri kesihatan yang baik kepada saya. Kaki saya masih gagah berjalan ke mana-mana. Saya ada kawan-kawan yang sedia membantu bila ada keperluan.

     Di usia lebih setengah abad Allah telah memilih saya pergi bercuti sabatikal di bumi anbiyak untuk meningkatkan ilmu, iman dan amal. Semoga rahmat dan perlindungan Allah kepada saya dan keluarga berkekalan hingga ke jannah.