Memori Saudi – Prakata

Salah satu daripada resolusi persaraan saya ialah hendak menulis buku. Namun setelah dua tahun berlalu, saya hanya mampu menulis blog. Ya, menulis blog bila ada kelapangan, tidak bersungguh-sungguh menulis mengikut jadual. Menulis artikel sekali sekala untuk majalah tempatan.

Saya mahu melihat sesuatu yang tangible hasil persaraan awal. Saya bukan bersara untuk goyang kaki, minum kopi di tepi sungai. Saya mahu lakukan sesuatu yang saya tidak berkesempatan melakukannya semasa masih bekerja. Saya ikut rutin baru, buat jadual harian, cuba menulis, tetapi penulisan buku masih tidak bermula.

Teringat saya semasa di tingkatan lima, Cikgu Bakar guru Bahasa Melayu selalu memanggil saya ke depan untuk membacakan karangan yang saya tulis. Semasa mengambil kelas penulisan Bahasa Inggeris di tahun satu University of Miami pensyarah meminta saya membaca cerita yang saya tulis tentang bapa saya. Saya rasa saya boleh menulis, hanya masa yang mencemburui saya.

Kedatangan saya ke Rabigh membawa perubahan. Saya punya banyak masa. Hidup ringkas sendirian memberi peluang saya berfikir dan menulis anywhere anytime 24 by 7. Setiap perkara yang lihat, yang saya alami, semuanya timbul ilham untuk menulis. Alhamdulillah, Allah telah memberi ilham dan kesempatan untuk saya menulis.

Saya menulis “Memori Saudi” untuk kenangan diri saya. Mungkin juga untuk anak-anak saya. Itupun kalau mereka berminat membaca cerita ibu tua separuh abad yang sanggup meninggalkan mereka untuk terus belajar dan mencari pengalaman baru dalam hidup yang bersisa ini. Mungkin juga untuk suami agar dapat mendengar suara hati isteri yang tidak kesampaian bila sentiasa tidur sebantal.

Kepada pembaca sekelian, saya bersyukur sekiranya anda terus membaca buku ini sehingga halaman terakhir. Semoga perkongsian cerita saya sedikit sebanyak dapat menambah pengetahuan anda tentang suasana kehidupan di bumi Arab Saudi. Semuanya saya tulis daripada pengalaman dan perspektif sendiri sepanjang empat bulan empat hari tinggal di Rabigh, Arab Saudi.

Saya harap agar setiap masa yang diisi untuk menulis buku ini diterima oleh Allah sebagai sebahagian daripada ibadat saya. Segala ilham yang baik itu adalah daripada Allah s.w.t. dan yang buruk itu daripada kelemahan diri saya sendiri. Saya minta ampun daripada Allah s.w.t. sekiranya terdapat kandungan buku ini yang secara tidak sedar mungkin menimbulkan dosa kepada saya atau kepada anda yang membaca. Astagfirullah, Astagfirullah, Astagfirullah.

“Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Engkau; Engkau yang menciptakan dan aku abdiMu, dan aku berada dalam perjanjian dengan-Mu, ikrar kepada-Mu, (yang akan aku laksanakan dengan) segala kemampuanku; dan aku berlindung pada-Mu, dari kejahatan apa-apa yang telah aku lakukan; aku mengakui (dengan sebenar-benarnya) nikmat-Mu kepadaku; dan aku mengakui dosaku, maka ampunilah aku, kerana tidak ada yang boleh mengampuni dosa-dosa, kecuali Engkau”.