8 Tips Kewangan Stabil

Kebanyakan manusia menghabiskan sebahagian besar dari waktu dan umur untuk mencari rezeki. Berusaha mencari rezeki dengan niat yang ikhlas dan dilaksanakan mengikut jalan-jalan yang halal adalah ibadah kepada Allah. Kita perlu sentiasa ingat bahawa Allah S.W.T. adalah pemberi rezeki.

Bagi anak-anak yang baru saja bekerja dan dapat menikmati pendapatan sendiri buat kali pertama, pastinya terdorong untuk membeli berbagai benda. Dalam ruangan kali ini, umi akan berkongsi tips untuk memastikan kewangan anda stabil disamping boleh menyimpan duit dengan mudah.

8 Tips Kewangan Stabil

  1. Uruskan hutang dan bil terlebih dulu – Pastikan anda memberi keutamaan untuk menyelesaikan hutang seperti sewa rumah, pinjaman pelajaran, ansuran kereta dan bil utiliti. Hutang dan bil yang tertunggak akan lebih membebankan dan boleh membuat fikiran tidak tenang. Sebaik saja ada duit di tangan, bayar dulu hutang dan bil mengikut keperluan. Elakkan dari berhutang pada masa hadapan.
  2. Bersedekah – Walaupun kewangan anda terhad, anda sepatutnya disiplinkan diri untuk bersedekah mengikut jumlah yang anda tetapkan. Utamakan sedekah kepada ibu-bapa dan ahli keluarga terdekat yang memerlukan bantuan. Sedekah mempunyai banyak manfaat, antaranya dipanjangkan umur oleh Allah, dimurahkan rezeki, ditolak bala dan sebagainya. Orang yang dalam keadaan miskin, susah dan sukar mendapat rezeki digalakkan bersedekah supaya dapat rezeki yang luas.
  3. Beli mana yang patut – Senaraikan terlebih dulu barang yang ingin dibeli dalam tempoh sebulan. Utamakan membeli barang keperluan dahulu seperti barang dapur, pakaian dan juga makanan. Sekiranya ada duit lebih, baru beli barang yang menjadi kehendak seperti perhiasan dan gajet baru.
  4. Simpanan untuk bayaran tahunan yang tetap – Ramai yang terlupa bahawa anda perlu membuat bayaran tahunan tetap seperti lesen memandu, cukai jalan dan insuran kereta. Oleh itu, pastikan tabungan dibuat untuk tujuan ini supaya anda boleh selesaikan urusan ini tanpa perlu berhutang.
  5. Menabung untuk pembayaran sekali-sekala – Amalkan sifat suka menabung yang anda boleh gunakan untuk percutian, sambutan perayaan, bayaran perubatan dan membeli barang idaman.
  6. Tetapkan masa – Untuk menjadikan diri anda lebih bermotivasi dan dedikasi, anda perlu tetapkan masa yang perlu diperuntukkan untuk mencapai sesuatu sasaran. Misalnya, anda ingin membeli kereta dan rumah baru. Tetapkan bila tarikh akhir untuk mencapai sasaran itu. Dengan cara ini, anda boleh menyimpan duit untuk mencapai objektif itu.
  7. Simpan rekod – Jangan lupa untuk menyimpan rekod kewangan untuk menilai sebanyak mana wang yang dibelanjakan dalam sebulan. Adakah ia berbaloi ataupun sebaliknya. Memandangkan anda bebas melakukan pilihan, catat segala perbelanjaan mingguan dan bulanan dalam nota. Senaraikan semua perbelanjaan anda. Letakkan juga kategori bagi setiap perbelanjaan seperti sewa rumah, ansuran kereta dan sebagainya.
  8. Kaji perbelanjaan dari masa ke semasa – Berdasarkan rekod yang telah disimpan, anda akan tahu di mana wang anda disalurkan. Anda boleh mengurangkan perbelanjaan untuk perkara-perkara yang tidak penting.

Setiap kali anda mendapat rezeki, berdoalah kepada Allah agar di berikan barakah dari rezeki yang diterima. Hanya rezeki yang barakah dapat menjamin kebahagian hidup di dunia dan akhirat.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *