8 Kelebihan Berdoa

Assalamualaikum,

Kebanyakan artikel yang umi telah terbitkan sebelum ini, umi menyelitkan doa-doa yang sepatutnya kita amalkan dalam kehidupan seharian. Dalam usia lebih separuh abad, umi menulis untuk mengingatkan diri umi supaya sentiasa berdoa kepada Allah dan umi harap doa-doa tersebut dapat juga diamalkan oleh anak-anak sekelian.

Setiap kali lepas solat janganlah lekas-lekas bangun. Cubalah baca doa-doa yang anak-anak telah hafal atau mintalah apa saja yang dihajati dalam bahasa kita sendiri. Kita tidak semestinya berdoa dalam bahasa arab. Yang pentingya kita faham apa yang kita minta daripada Allah.

Berdoa bukan sahaja selepas solat, malah kita boleh berdoa dalam setiap keadaan terutamanya pada waktu mustajab berdoa. Salah satu masa mustajab berdoa ialah waktu di antara azan dan iqamah. Jadi lepas saja azan, baca doa selepas azan dan mintalah hajat-hajat kita yang lain.

Setahu umi, doa yang paling baik ialah kita memohon supaya Allah beri keampunan dan rahmat kepada kita. Dengan keampunan dan rahmat Nya hidup kita akan berjaya dunia akhirat.

“Doa adalah senjata orang mukmin, tiang bagi agama dan cahaya dari langit.” (Hadis riwayat Hakim)

Seorang hamba yang merendahkan dirinya dan bersifat tawaduk akan sentiasa berdoa dan bermunajat kepada Allah. Orang yang sombong dan merasakan dirinya serba cukup tidak mahu berdoa kepada Allah dan dia hanya bergantung kepada hartanya, ilmunya, pangkatnya dan kekuasaan yang dia miliki.

Manusia seperti ini satu hari akan kecewa dan mengalami kegagalan kerana pergantungannya adalah suatu yang rapuh kerana menjauhkan dirinya daripada Allah.

Hari ini umi hendak berkongsi 8 kelebihan berdoa kepada Allah sebagai motivasi kepada umi dan anak-anak untuk lebih banyak berdoa:

  1. Doa merupakan pelindung dan senjata kepada setiap orang mukmin dari godaan dan hasutan syaitan serta dari kejahatan manusia.
  2. Allah amat mengasihi dan menyukai akan hamba-hamba Nya yang selalu berdoa dan meminta sesuatu kepada Nya.
  3. Dengan berdoa ketakwaan dan kekuatan iman seseorang mukmin akan meningkat.
  4. Dengan berdoa jiwa kita akan berasa tenteram, menjadi penawar dan penenang kepada hati yang bersedih. “Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”(Ar-Ra’d: 28)
  5. Dengan berdoa, Allah akan menimbulkan pintu rahmat Nya kepada manusia.
  6. Doa merupakan penghubung di antara anak dengan kedua ibu bapa sama ada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Bagi ibu bapa yang telah meninggal dunia maka doa dari anak-anaknya yang soleh ini amatlah dinantikan untuk mendoakan kesejahteraan mereka di alam kubur. “Apabila anak Adam meninggal dunia, maka putuslah semua amalannya melainkan tiga perkara iaitu, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
  7. Berdoa adalah ubat penyembuh bagi segala penyakit yang ada pada diri manusia sama ada penyakit zahiriah mahupun penyakit batiniah.
  8. Doa adalah penghubung dan pengikat tali persaudaraan dan kasih sayang di antara sesama mukmin. “Doa seseorang mukmin terhadap saudaranya (mukmin) secara diam-diam, pasti diperkenankan oleh Allah.” (Hadis riwayat Muslim)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *