7 Sebab Komputer Boleh Memberi Kesan Buruk kepada Alam Sekitar

Assalamualaikum,

Teknologi komputer dan komunikasi sentiasa berubah dan ramai dalam kalangan kita yang kerap kali bertukar ganti gajet dan komputer yang dimiliki walaupun peralatan yang sedia ada masih berfungsi dengan baik. Kita mungkin tidak sedar tentang kesan penggunaan komputer dan gajet terhadap alam sekitar.

Kita mungkin tidak boleh mengelak daripada menggunakan komputer dan gajet, tetapi kita boleh mengambil tindakan sewajarnya untuk mengurangkan kesan buruk penggunaan perlatan tersebut terhadap alam sekitar.

Sebagai muslim yang cintakan alam sekitar, kita sepatutnya pertimbangkan perkara yang berikut:

  1. Pemilikan peralatan baru menyebabkan lebih banyak peralatan lama dibuang dan menjadi sampah sarap.
  2. Kebanyakan perkakasan komputer/gajet yang biasa digunakan mengandungi kandungan bahan logam berat seperti plumbum raksa, kromium, cadmium dan bahan-bahan lain yang sebenarnya merbahaya semasa pembuatannya di kilang dan juga berbahaya kepada alam sekitar apabila dibuang sebagai sampah.
  3. Secara purata, pemasangan sebuah komputer meja pada peringkat kilang memerlukan 10 kali lebih banyak bahan fosil dan bahan kimia berbanding dengan pemasangan peti sejuk dan kereta.
  4. Semasa cip peralatan dipasang dikilang, sulfur hexafluorida dan gas berflourin yang lain dibebaskan di atmosfera dan menyumbang kepada pembentukan karbon dioksida dalam udara yang menjejaskan kualiti udara dan alam sekitar.
  5. Beli peralatan mengikut keperluan. Anda mungkin tidak perlu membeli segala jenis perkakasan tambahan seperti pencetak atau mesin pengimbas yang jarang anda gunakan. Sekiranya anda perlu membeli sistem komputer baru sedangkan monitor lama anda masih berfungi dengan baik dan masih mengekalkan ciri-ciri yang ergonomik, anda tidak perlu membeli kesemua set perkakasan.
  6. Penggunaan peralatan berpanjangan juga meningkatkan penggunaan tenaga elektrik. Anda juga boleh memilih peralatan yang menjimatkan penggunaan tenaga elektrik. Sebagai langkah penjimatan tenaga, anda disarankan supaya mengeset komputer kepada hibernasi atau menutup komputer apabila anda tidak menggunakan komputer lebih daripada 10 minit.
  7. Anda juga perlu mengurangkan cetakan. Biasakan diri dengan membaca dan membuat suntingan terus daripada skrin komputer. Sekiranya anda perlu mencetak, amalkan penggunaan kertas kitar semula . 

Islam dan Alam Sekitar

Mari kita lihat bagaimana Islam menitik beratkan isu alam sekitar.

1. Sejak awal ciptaan manusia, Allah telah memberikan amanah untuk kita menjadi khalifah atau wakil pengurus alam ini. Dengan sebab itulah Allah mengajar nabi Adam nama setiap ciptaannya satu persatu supaya dihargai dan dijaga semua itu. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 30-31:

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. Dan ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”.

Memang sejak awal lagi Allah telah menghubungkan manusia dengan alam. Justeru, adalah kurang tepat sekiranya muslim hanya membicarakan mengenai hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia, akan tetapi membiarkan sahaja hubungan dengan alam sekitar.

2. Islam mengajar supaya kita sentiasa mengenang budi. Kita mengetahui bahawa diri kita ini dicipta daripada unsur alam, seperti tanah air dan lain-lain. Maka sewajarnya kita menghargai semua unsur diri kita ini dengan cara memelihara dan memuliharanya. Firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 61:

“Dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadanya Dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya”.

3. Al-Quran juga menyentuh mengenai kerosakan dan pencemaran alam yang dikaitkan dengan perbuatan manusia. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Rum ayat 41:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

4. Selain itu di dalam al-Quran, ada banyak ayat mengenai alam sekitar yang sepatutnya menuntut kita berfikir. Allah bercerita mengenai air, langit, bumi, tanah, bukit, gunung-ganang, fenomena alam sekitar, bulan, bintang dan matahari, semua itu antara lain adalah untuk kita bersyukur dan mengharga ciptaan Allah.

Kesimpulan

Sebagai muslim, kita sepatutnya mengambil berat tentang alam sekitar. Kita memerlukan alam untuk hidup, dan alam juga memerlukan kita menjaganya untuk terus sihat dan berfungsi.

Umi doakan agar kita dapat ingat mengingati tentang peranan kita dalam menjaga alam sekitar. Tidak perlulah kita membazir membeli gajet/peralatan baru sekiranya apa yang kita ada masih boleh berfungsi dengan baik dan dapat memenuhi keperluan seharian.

“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Al-‘Isra’: 27)

2 thoughts on “7 Sebab Komputer Boleh Memberi Kesan Buruk kepada Alam Sekitar

Leave a Reply to Wasp And Bee Control Kempton Park Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *