7 Sebab Graduan Menganggur

Setiap tahun ramai remaja yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.  Universiti dipenuhi dengan anak-anak muda yang akan berijazah untuk menyertai ‘rat race’ dan mendaki tangga kerjaya.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan pada tahun 2012, sebanyak 2 peratus graduan iaitu seramai 48,638 orang menjadi penganggur terhormat. Ramai graduan merasa tertekan kerana tidak mendapat pekerjaan seperti yang mereka idamkan.

Menurut Ketua Sekretariat Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M), ramai golongan muda masih tidak mempunyai keyakinan atau sikap sesuai untuk memasuki pasaran kerja, walaupun selepas tamat pengajian. Graduan yang menganggur disifatkan sebagai ‘generasi strawberi’ kerana mereka mudah putus asa dan mempunyai jiwa yang lemah.

Kajian SL1M mendapati bahawa graduan yang masih menganggur adalah disebabkan kekurangan kemahiran insaniah (soft skills) seperti berikut:

  1. Lemah dalam berkomunikasi sama ada dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris – tidak boleh membuat persembahan dan pengucapan awam dengan baik.  Mereka mungkin mempunyai kelayakan yang baik di atas kertas, tetapi mereka takut bercakap kerana takut membuat kesilapan.
  2. Terperangkap dalam zon selesa – tidak suka bersusah payah, tidak berpuas hati dengan perkara-perkara kecil, sewenang-wenangnya meninggalkan kerja selepas beberapa bulan kerana tidak pandai menyesuaikan diri dengan keperluan organisasi.
  3. Harapan yang tidak realistik – takut meghadapi realiti alam pekerjaan, mengharapkan majikan menyediakan latihan atau mengajar mereka untuk membuat segala-galanya.  
  4. Personaliti introvert yang beremosi tidak stabil – kurang keyakinan diri, suka menyembunyikan perasaan dan emosi, pendiam, pesimis, lebih banyak mendengar percakapan orang lain, lambat mengeluarkan pendapat, terlalu serius, tidak bergaul, pemalu, mood yang sentiasa berubah, mudah risau, kurang bercita-cita tinggi dan jarang mengambil initiatif.
  5. Tidak cekap dalam penyelesaian masalah kerana pemikiran tidak kreatif, kurang analitikal dan tidak mampu untuk berfikir di luar kotak.
  6. Kurang kemahiran kerja berpasukan bangga ada ijazah, mereka tidak suka dibebani kerja-kerja remeh seperti membuat salinan atau faks, tidak mahu kerja lebih masa walaupun sedikit tanpa bayaran dan menolak kerja yang tidak dinyatakan dalam deskripsi tugas.
  7. Keterampilan diri yang tidak profesional – dandanan yang tidak sesuai dan tidak tahu etika kerja.

Orang lain tidak dapat membantu untuk mengatasi masalah di atas. Anda semestinya membantu diri sendiri dengan bermuhasabah untuk mencari kekurangan yang ada dalam diri. Bina sikap yang betul dan mesti berani keluar dari zon selesa. Buktikan bahawa anda tidak termasuk dalam bakul ‘generasi strawberi’.

Rajin-rajinlah berdoa supaya Allah murahkan rezeki dan memberi jalan keluar daripada segala kesusahan yang anda alami.

ayat_seribu_dinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *