5 Tips untuk Elak Penyakit Malas

Assalamualaikum,

Semasa umi menjadi pensyarah dulu, seringkali umi berdepan dengan pelajar yang malas belajar. Mereka masuk ke universiti hanya mengikut arus. Orang kata, “habis sekolah menengah, masuk pra-u, lepas tu masuk u”. Maka ramailah yang masuk universiti berbondong-bondong tapi sebenarnya tiada matlamat yang jelas.

Semasa berada di universiti, hidup bebas, tiada lagi ibu-bapa atau warden yang menjaga disiplin. Tiada lagi bunyi loceng atau rotan mengejutkan bangun pagi, pergi sekolah atau beriadah. Semuanya bergantung atas disiplin sendiri. Awak hendak tidur sampai petang, atau mengadap komputer sampai berjam-jam, tidak ada siapa yang ambil peduli. Lama-kelamaan, motivasi merosot, hidup tidak bersemangat, maka penyakit malas belajar menguasai diri.

Anak-anak, ingatlah bahawa malas itu adalah dari syaitan durjana!

3 Golongan Pelajar Malas

  1. Masalah malas belajar merupakan satu penyakit yang sering melanda pelajar. Mereka malas kerana merasakan mereka sudah pandai. Mereka beranggapan sudah banyak membaca dari internet dan media sosial. Cukup sekadar membaca daripada status facebook kawan-kawan atau blog yang melalaikan daripada mengingati Allah. Mereka malas hendak membaca buku fisyen atau bukan fiksyen apatah lagi buku ilmiah. Umi merasakan ramai anak-anak sekarang malas membaca buku bukan disebabkan buta huruf tetapi kerana tidak ada disiplin dan kerana tidak ada minat membaca.
  2. Ada pula pelajar yang merasakan diri mereka lembap dalam pelajaran. Mereka tersisih daripada rakan-rakan yang lain sehinggakan mereka berasa rendah diri dan malu untuk mendapatkan pertolongan daripada ibu-bapa, guru atau rakan-rakan sebaya. Akirnya mereka gagal dalam pelajaran. Akibatnya mereka mula membuang masa dengan rakan-rakan yang sealiran pemikiran. Inilah simptom pertama mereka terjebak dalam gejala sosial yang kurang sihat.
  3. Ada juga pelajar yang datang dari keluarga berada.  Kemewahan dan kesenangan sudah dianggap biasa bagi mereka kerana mereka mudah mendapat apa sahaja tanpa perlu susah payah mencari dan mengumpul wang. Secara tidak langsung mereka menganggap bahawa pelajaran bukan aset yang boleh menjamin kehidupan dan kejayaan. Mereka tidak mementingkan ilmu dan tidak menghargai ilmu sedangkan agama Islam menuntut umatnya mencari ilmu sehingga ke liang lahad.

Anak-anak,

Belajar tinggi bukan sekadar untuk tujuan mencari kerja yang menjamin pekerjaan dan kekayaan, tetapi belajar dan mencari ilmu kerana ia adalah sebahagian daripada ibadah. Menuntut ilmu adalah satu kewajipan bagi kita kaum muslimin.

Sebenarnya banyak ayat Al-Quran dan As-Sunnah yang memerintahkan kita agar menuntut ilmu dan kelebihan-kelebihan menuntut ilmu itu.

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami; dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Al-Ankabut: 69)

“Sesiapa yang pergi menuntut ilmu, Allah akan melorongkan untuknya laluan ke syurga. Dan sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap-sayap mereka kepada para penuntut ilmu kerana sayangnya para malaikat kepada para penuntut ilmu itu.” (Riwayat Ahmad no.18577, al-Tirmizi no.2898, Abu Daud no.3643, Ibn Majah no. 228)

Jika kita teliti kepada kepentingan ilmu seperti yang telah dijelaskan di atas, maka seharusnya bagi kita sebagai “Ummah Terbaik” mengambil kesempatan yang berharga di dalam kehidupan ini untuk merancakkan lagi pemburuan ilmu. Maka menuntut ilmu itu tidak mengira usia sama ada seseorang itu muda atau tua, lelaki atau perempuan semua digalakkan menuntut ilmu.

Anak-anak,

Tingkah laku dan sikap kita bermula daripada pemikiran kita. ‘Engkau ialah apa-apa yang engkau fikirkan’. Jika perasaan malas menguasai diri, sudah tentu kejayaan dunia dan akhirat tidak akan kita kecapi.

Penyakit malas boleh dikikis sekiranya pelajar sendiri mempunyai matlamat hidup. Ubah cara berfikir. Anggaplah belajar itu sangat menyeronokkan. Manusia dijadikan oleh Allah sebaik-baik kejadian. Pasti ada sebab kenapa malas menguasai diri kita. Kita bukan dijadikan oleh Allah untuk bermalas-malasan.

5 Tips untuk mengelakkan malas

  1. Buat perancangan harian – Sekiranya kita ada perancangan harian, hidup akan teratur. Kerja akan lebih sistematik, jadi tiada peluang untuk malas melanda.
  2. Rajin bersenam – Bersenam secara rutin akan membakar lemak yang berlebihan dan membuang toksik dalam badan. Ini menjadikan badan kita cergas kerana darah mengalir lancar ke seluruh badan. Otak akan cergas, badan terasa ringan, lalu perasaan malas pun akan hilang.
  3. Elakkan diri daripada banyak tidur – Untuk mengekalkan kecergasan, kita hanya perlukan tidur 7 atau 8 jam sehari di waktu malam. Penyakit zaman sekarang, malam berjaga, siang pula tidur. Set dalam minda supaya tidur awal dan bangun awal untuk memulakan hari dengan penuh semangat dan bertenaga.
  4. Jangan makan banyak – Makan secara berlebihan akan membuatkan badan lemah dan mengantuk, lalu malaslah kita belajar atau bekerja.
  5. Jangan layan perasaan boring –  Kalau nak hilangkan malas, jangan layan perasaan boring dan jangan layan sangat sesuatu perkara yang anda suka buat tetapi tidak berfaedah. Contohnya main game komputer/gajet untuk hilang boring. Selepas bermain game, sedar-sedar masa berlalu, perasan malas semakin meningkat kerana otak sudah menjadi letih.. Jadi apabila terasa boring, istighfar banyak-banyak, ambil wuduk, solat sunat dan buatlah kerja yang telah dirancang.

Umi doakan agar anak-anak semua dijauhkan oleh Allah daripada sifat lemah dan malas.

doa for happiness

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kegundahan hati dan kesedihan, dan aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas, dan aku berlindung kepada-Mu dari sifat penakut dan bakhil, dan aku berlindung kepada-Mu dari bebanan hutang dan penindasan orang”

3 thoughts on “5 Tips untuk Elak Penyakit Malas

  1. Thank you for sharing your knowledge to me and others. Laziness, indeed all people have within themselves. But, want to do what, right? they just do not care about this even though it is serious.
    Therefore, do not forget to visit my sweet blog ( strwberrymerah.blogspot.com )
    Follow me. InsyaAllah. Syukron.

Leave a Reply to Sharifah Nuur Layla Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *