5 Tips Mengelakkan Ketagihan Internet

Assalamualaikum,

Umi pasti anak-anak tidak mahu mendapat sebarang penyakit terutamanya penyakit mental. Tahukah anak-anak bahawa pakar psikiatri mendapati semakin ramai remaja yang terperangkap dengan gejala ketagihan internet yang juga merupakan sejenis penyakit mental.

Ketagihan bermaksud keinginan kepada sesuatu yang tidak dapat ditahan-tahan. Kajian sains mendapati manusia merupakan makhluk yang paling mudah mendapat ketagihan dalam kehidupan mereka, walaupun pada masa yang sama mereka amat takut menjadi seorang penagih.

Kebanyakan manusia mampu melayan segala macam keperluan yang diidami dari keperluan naluri seksual, mental, emosi dan intelek sehinggalah keperluan spiritual. Keperluan itu umpama sahabat dan rakan kepada mereka.

Terdapat individu yang menganggap komputer dan internet sebagai sebahagian dari diri dan kehidupan mereka dan mereka akan dirundung rindu resah dan gundah gulana sekiranya tidak berpeluang ‘melayan sahabat’ mereka ini.

Kajian yang dijalankan oleh Netaddiction.com mendapati ada lima kategori bahan kandungan dunia siber yang berisiko tinggi menyebabkan ketagihan seperti berikut:

  1. Ketagihan seks siber – cenderung melawati laman web porno, chatting room berkaitan seks dan lain-lain.
  2. Ketagihan hubungan siber – keinginan yang kuat untuk berhubung sama ada melalui email, chatting, diskusi dan sebagainya.
  3. Ketagihan maklumat – mudah dipengaruhi oleh laman-laman web berunsur ehwal semasa, pencarian maklumat dan pengkalan data.
  4. Ketagihan komputer – terpengaruh dengan peralatan teknologi perkomputeran, ciri-ciri komputer cip dan kad, sistem bunyi dan lain-lain.
  5. Ketagihan permainan komputer – mudah lalai akibat taksub bermain permainan komputer sehingga sukar berhenti.

Sebenarnya bagi mengenal pasti samada penggunaan terhadap komputer dan internet menyebabkan ketagihan atau sebaliknya bergantung kepada cara dan konteks serta keperluan yang ada dalam diri seseorang individu.

Di samping itu, perkara seperti berikut juga harus lah diberi perhatian bagi menilai tahap kebergantungan kepada komputer dan internet yang boleh menyebabkan ketagihan:

  1. Lebih banyak menghabiskan masa di depan komputer berbanding biasa atau melebihi keperluan penggunaan yang sewajarnya
  2. Masa untuk melayari internet semakin bertambah dan menjejaskan peranan sebagai seorang individu, pelajar, atau pekerja dan juga menjejaskan tahap produktiviti dan kesejahteraan hidup yang biasa
  3. Berasa kurang yakin atau gagal untuk mengawal diri dari pengaruh internet
  4. Semakin kurang tumpuan kepada penjagaan kesihatan diri dan pembahagian masa sewajarnya berbanding biasa
  5. Muncul tekanan perasaan seperti marah, kecewa dan sedih yang berkaitan secara langsung dengan komputer dan internet dan mula mengasingkan diri dari masyarakat
  6. Wujud rasa bosan atau bimbang dan cemas yang keterlaluan jika tidak melayari internet untuk jangka masa tertentu
  7. Penggunaan internet yang mengakibatkan kemarahan atau gangguan kepada orang lain seperti ibu bapa, suami atau isteri dan boleh menyebabkan pertengkaran.

Seseorang yang ketagih internet dan komputer didapati gagal memberi tumpuan yang baik terhadap kehidupannya seperti biasa. Kehidupan individu yang normal terjalin apabila ia dapat mengekalkan peranannya sebagai seorang manusia yang normal, mewujudkan perhubungan yang baik dan memelihara kesihatannya secara optimum. Bagi mereka yang ada ketagihan ini, peranan dan perhubungannya dengan individu lain dalam lingkungan hidupnya terjejas.

Bagi mengelakkan perkara ini daripada berlaku, strategi dan langkah berikut boleh lah diberi perhatian:

  1. Tetapkan objektif dan matlamat sebelum melayari laman web atau menggunakan komputer dengan mengenalpasti tujuan-tujuan penggunaan mereka
  2. Tetapkan melayari laman-laman web yang tertentu dan yang perlu sahaja, atau sekadar memenuhi keperluan yang dikehendaki agar tidak melebihi had dan bagi mengelakkan melayari laman yang tidak perlu
  3. Hadkan atau tetapkan jangkamasa yang diperlukan ketika menggunakan komputer dan ketika melayari laman siber bagi mengelakkan pembaziran masa
  4. Bahagikan masa yang sewajarnya antara kehidupan di dunia siber dan kehidupan di alam nyata supaya wujud keseimbangan
  5. Jadikan ruang siber dan internet sebagai sumber pengetahuan untuk meningkatkan peranan menjadi seorang manusia yang sempurna dan untuk menambah kemahiran yang diperlukan dalam kehidupan

Kesimpulan

Teknologi maklumat dan internet sememangnya mempunyai kesan yang amat besar dalam kehidupan manusia. Dalam aspek kesejahteraan individu dan hubungannya dengan teknologi maklumat, terdapat satu tindak balas yang saling pengaruh mempengaruhi antara satu sama lain.

Memandangkan hubungan dan kaitan yang rapat antara manusia dan teknologi maklumat ini, tidak hairanlah terdapat antara mereka yang tenggelam dalam dunia siber, di samping mereka yang menggunakan internet sebagai saluran untuk mencapai keseronokan peribadi semata-mata. 

Insya Allah kita akan hidup sejahtera di dunia dan akhirat sekiranya mampu mewujudkan keseimbangan antara aktiviti internet dan kehidupan sebenar. Jagalah dirimu agar tidak terjerumus dalam ketagihan internet. Ingat bahawa setiap saat yang berlalu di dunia akan dihitung di akhirat nanti.

“Kuatkan ikatan tekad.

Angkat tinggi-tinggi bendera harapan.

Berjalanlah menuju Allah degan sungguh-sungguh tanpa lelah.

Isi jiwamu dengan kekuatan Al-Quran.

Libas nafsumu.

Jangan beri ampun kepada nafsu yang selalu mengajakmu menuju kebinasaan.”

(Sajak karya Syaikh Muhammad Ahmad Al-Rasyid) 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *