3 Langkah Penting untuk Membangun Kuasa Percaya dalam Diri

Setiap manusia pernah mengalami kegagalan dan pernah melakukan kesilapan. Oleh itu, jangan sekali-kali kita menyerah kalah dan hilang kepercayaan diri semata-mata kerana kegagalan dan kesilapan masa lampau. Ingatlah tidak ada manusia yang sempurna segala-galanya. Ingatlah bahawa dari kegagalan dan kesilapan itulah, seseorang akan dapat mencapai kejayaan.

Kita hendaklah bersikap dan berfikiran positif tanpa mengira waktu dan tempat. Kita tidak harus memikirkan tentang kegagalan kerana ia merupakan satu fikiran yang negatif. Fikiran negatif adalah fikiran beracun yang akan memusnahkan hidup seseorang.

Otak, fikiran dan tindakan kita memerlukan matlamat atau objektif yang jelas untuk membolehkan ianya bekerja atau berfungsi dengan kecekapan yang maksimum. Ingatlah kita mempunyai potensi yang lebih banyak serta lebih kuat dari apa yang kita sangkakan.

Kejayaan tidak memerlukan intelek yang luar biasa. Orang yang berjaya bukanlah orang yang luar biasa. Kejayaan juga tidak bergantung kepada nasib. Manusia yang bergantung kepada nasib ialah manusia yang menipu diri sendiri.

Amalkan 3 langkah berikut untuk membangunkan kuasa percaya dalam diri:

  1. Cuba kenangkan kembali pengalaman-pengalaman lalu yang penuh dengan kegembiraan di samping menggambarkan pengalaman-pengalaman indah yang sedang anda tempuhi. Lafazkan ungkapan kata-kata yang optimistik seperti “aku mesti berjaya”, “aku tidak akan undur dan menyerah kalah” dan “tidak ada sebarang kuasa yang dapat menghalang aku selain dari kuasa Allah”.
  2. Gantikan setiap fikiran yang negatif kepada fikiran positif seperti “aku tidak boleh buat” hendaklah digantikan dengan fikiran “aku boleh buat”. Cara ini akan mendorong fikiran kita mengeluarkan idea dan rancangan-rancangan yang membuahkan kejayaan.
  3. Tentukan matlamat yang hendak dicapai dan cari langkah-langkah yang mesti diambil untuk mencapai matlamat atau objektif tersebut. Jangan sekali-kali membenarkan fikiran dan kepercayaan anda diganggu oleh kegagalan yang lalu.

Anda mesti percaya dan penuh yakin bahawa anda juga mempunyai potensi-potensi yang cukup untuk melengkapkan diri bagi mencapai segala kemajuan di dalam apa juga bidang yang anda pilih. Anda tidak perlu gentar, ragu-ragu atau bimbang. Gambarkan perjuangan anda sedang menuju ke mercu kejayaan. InsyaAllah, seseorang itu akan berjaya dan berhasil bila tempoh waktu itu sudah sampai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *