3 Golongan Pengguna Internet

Assalamualaikum,

Sebagai Generasi Y, umi pasti anak-anak memang tidak boleh mengelakkan diri daripada menggunakan internet. Mari ambil sedikit masa untuk muhasabah diri mengenai tabiat kita dalam dunia cyber.

Yang mana satukah anda?

  1. Golongan yang memanfaatkan kemudahan internet untuk menyebarkan, berkongsi atau menimba ilmu dunia dan akhirat, menambahkan pendapatan kewangan, merapatkan ukhuwwah sesama insan dan sebagainya. Semua itu boleh dimasukkan ke dalam senarai amal solehnya dan InsyaAllah dia mendapat ganjaran untuk kebaikan dunia dan akhiratnya.
  2. Golongan yang menghabiskan masa berada depan komputer dengan bermain game, mendengar lagu, berborak kosong( chatting) dengan sesiapa sahaja, ‘merayau-rayau’ tanpa tujuan dan yang sewaktu dengannya. Waktunya dihabiskan berjam-jam tanpa sebarang faedah. Anda akan menyesal di akhirat nanti ketika berdepan dengan hisab amalan satu persatu termasuk masa yang kita habiskan.
  3. Golongan yang menggunakan internet untuk memuat naik dan memuat turun gambar-gambar tidak senonoh, melawati laman-laman porno, mengumpat, menyebarkan fitnah, melaga-lagakan manusia, menghasut sehingga memutuskan hubungan silaturahim dan memusnahkan rumahtangga, berborak menggunakan bahasa kesat dan kasar, memuat naik gambar-gambar peribadi yang mendedahkan aurat dan banyak lagi aktiviti-aktiviti di Internet yang mengundang laknat dan murka Allah SWT. Awas!!! Dan hentikan tabiat buruk itu. Anda sedar atau tidak anda sebenarnya membuat koleksi dosa-dosa sama ada dosa besar atau dosa kecil. Dosa mengumpat dan memfitnah zaman moden ini amat mudah dilakukan. Tidak perlu bersuara atau berkumpul ramai-ramai. Hanya dengan sekali klik dosa mencurah-curah menjadi milik anda.

Umi harap anak-anak umi yang membaca artikel ini merupakan golongan pertama. Sekiranya tidak, bertaubatlah. Sesungguhnya Allah maha penerima taubat.

doa taubat

Mereka berkata, “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”. (Al-‘A’raf: 23)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *