10 Tips Menghadapi Kegagalan

Assalamualaikum,

Anak muda adalah golongan paling ramai berdepan konflik diri dan kemelut dalaman akibat daripada sesuatu kegagalan. Lebih kronik dan memberi tekanan kepada remaja apabila apa yang diinginkan langsung tidak berjaya dicapai.  Itu adalah lumrah hidup!

Namun, kegagalan itu tidak semuanya mampu diterima baik kerana ramai yang menjadi murung dan mati semangat sedangkan ia bukan penentu kejatuhan masa depan kita. Realitinya kebanyakan anak muda hari ini mudah kecewa. Sebab itu generasi Y juga digelar sebagai ‘Generasi Strawberi’ kerana jiwa mereka lemah dan mudah tercalar.

Allah sentiasa bersama kita

Anak-anak,

Buang rasa putus asa dan perkataan kecewa itu dari minda dan diri kita. Sebaiknya kita fikirkan langkah seterusnya dengan menjadikan kegagalan itu sebagai satu pengajaran untuk tidak kita ulangi lagi. Ini kerana kegagalan itu adalah normal.

Ingat, usaha itu tangga kejayaan. Walaupun kamu sudah bersusah payah berusaha untuk mencapai sesuatu namun tidak membuahkan hasil, itu perkara biasa. Kamu perlu hadapi situasi itu dan jangan sesekali berputus asa dari mencapai matlamat diri.

10 tips berikut dalam menghadapi kegagalan

  1. Selidik kembali punca utama mengapa kamu sering gagal. Senaraikan apakah sebab musabab yang membawa kepada kegagalan tersebut.
  2. Bincang dengan ibu-bapa atau orang yang kamu paling percayai cara terbaik untuk mengatasi masalah berdasarkan senarai yang telah dibuat.
  3. Ingatkan diri untuk tidak mudah berputus asa. Lihat sesuatu itu di sudut positif. Jangan fikir kamu gagal banyak kali disebabkan diri kamu kurang baik.
  4. Elakkan juga dari membandingkan keupayaan kamu dengan orang lain. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan tersendiri.
  5. Yang pentingnya kamu sudah lakukan yang terbaik dan tiada suatu apa pun yang boleh menjadi penghalang. Kamu sudah berusaha dan patut bangga dengan apa yang telah dilakukan. Terus lakukan  yang terbaik dengan kaedah yang berbeza.
  6. Hadapi kegagalan dengan tenang. Seseorang individu yang berang dan marah akibat kegagalan perlu mengawal emosi dan elakkan daripada membuatkan orang lain rasa tempias. Masalah kamu perlu diselesaikan dengan cara profesional dan tidak patut melepaskan geram pada orang lain.
  7. Jangan peduli apa orang kata kerana itu lebih menambah rumit dan tekanan kepada diri kita sendiri. Ketika gagal, ramai individu akan mengejek, mengumpat dan memandang rendah kepada kita. Jangan hiraukan apa yang mereka katakan. Kebanyakan orang yang mudah berputus asa kerap memikirkan apa yang dikatakan orang lain. Kamu perlu bangkit dari kegagalan dan buktikan dakwaan mereka palsu dan kamu mampu mengubahnya.
  8. Kegagalan itu pasti sedikit sebanyak memberi impak negatif pada diri dan keluarga. Kamu tidak seharusnya berdiam diri dan terus bersedih kerana hal itu. Untuk elakkan kemurungan, lakukan perkara yang menarik bersama rakan atau sesiapa saja yang boleh dijadikan teman. Keluar beriadah bersama kawan-kawan, lakukan aktiviti keagamaan, aktiviti sosial dan sebagainya yang boleh meredakan tekanan.
  9. Jalan terbaik adalah dengan motivasi diri. Jika kamu dapati kegagalan itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima, apa kata kamu motivasi diri untuk berusaha dengan lebih gigih di masa hadapan. Sekali gagal tidak bermakna gagal selamanya.
  10. Terima kegagalan itu dengan hati terbuka dan cuba perbaiki diri dan sikap kamu untuk mencapai matlamat yang sudah lama kamu kejar.

Siapa tak kecewa kalau gagal atau kalah? Itu normal. Tapi kita sepatutnya menjadikan kegagalan itu sebagai satu penyuntik semangat untuk menjadi lebih baik. Percaya pada diri dan yakin dengan kemampuan sendiri, kejayaan itu pasti akan menjadi milik kita satu hari nanti.

Teruskan berdoa kepada Allah. Sesungguh Allah sentiasa bersama kita.

doa menghadapi kegagalan

Leave a Reply to promotivasi Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *