10 Kemuliaan Solat Sunat Rawatib

Selama ini umi mengambil ringan amalan solat sunat Rawatib. Namun, setelah habis membaca buku Fadilat Solat Sunat Rawatib yang ditulis oleh Fadhilah Tayyib, umi rasa amat rugi sekiranya kita mengabaikannya.

Solat sunat Rawatib merupakan ibadah tambahan yang dapat menutup kekurangan solat wajib lima waktu. Meskipun solat sunat ini merupakan solat tambahan dan status hukumnya sunat, solat sunat Rawatib amat disarankan oleh Rasulullah s.a.w. Banyak sungguh manfaat dan pahala yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. apabila kita melaksanakannnya secara istiqamah.

10 Kemuliaan Solat Sunat Rawatib

  1. Murah rezeki – Allah s.w.t akan memberi kemudahan rezeki, bahkan rezeki yang tidak disangka-sangka bagi hambanya yang bertakwa. Iaitu mereka yang sentiasa menunaikan solat sunat Rawatib seperti yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.
  2. Menghapuskan dosa – Setiap manusia memang tidak terlepas daripada kesalahan dan dosa. Kita mesti berusaha untuk menjauhi segala perbuatan yang dapat memasukkan kita ke dalam api neraka. Namun jika kita terlanjur melakukan dosa, Islam telah mengajar kita cara bertaubat dan meminta ampun kepada Allah s.w.t. untuk menghapuskan dosa tersebut. Apabila kita tetap menunaikan solat wajib, dan ditambah dengan solat sunat Rawatib, maka dosa kita akan diampuni oleh Allah. Ini adalah kerana solat merupakan tempat untuk kita berkomunikasi dan memohon keampunan daripada Allah s.w.t.
  3. Dijamin masuk syurga – Setiap manusia pasti mahukan kebahagiaan di akhirat dengan memperolehi balasan syurga. Untuk mendapatkan syurga, sudah pasti kita mengharapkan rahmat dan reda Allah dalam apa juga yang kita lakukan di dunia ini. Untuk memperolehi kebahagian dan kemuliaan di akhirat, kita mestilah solat dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas keranaNya.
  4. Menyempurnakan solat fardu – Solat fardu yang kita lakukan kemungkinan masih jauh daripada sempurna dan pahalanya sukar kita perolehi kesemuanya. Itulah sebabnya Rasulllah s.a.w mengajar umatnya menunaikan solat sunat Rawatib agar segala kekurangan solat fardu dapat ditutup dengan solat sunat. Solat merupakan amalan pertama sekali yang akan dihisab pada hari akhirat kelak. Oleh itu amat penting menjaga kesempurnaan ibadah solat dengan melakukan solat sunat Rawatib.
  5. Mengangkat darjat seseorang – Islam menegaskan bahawa manusia yang paling mulia di sisi Allah s.w.t. bukanlah yang memiliki kedudukan yang tinggi, harta yang banyak, berwajah tampan atau cantik, tetapi yang paling tinggi ketakwaannya. Salah satu daripada usaha meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. adalah istiqamah menunaikan solat sunat Rawatib
  6. Sebagai satu bentuk syukur – Banyak sekali nikmat yang telah kita terima, baik berupa nikmat masa, kesihatan, penglihatan, pendengaran, lisan dan sebagainya. Tentunya kita tidak akan mampu untuk mengira betapa banyaknya nikmat yang Allah telah berikan kepada kita. Oleh itu, ibadah yang paling tepat untuk menunjukkan rasa syukur pada semua nikmat yang diberikan adalah dengan solat fardu yang disempurnakan dengan solat sunat Rawatib.
  7. Membawa berkat dan kebaikan pada rumah – Apabila syaitan berjaya menguasai rumah orang Musim, ia akan menyebarkan kerosakan, mencetuskan pertikaian dan pergaduhan dalam kalangan ahli keluarga, menukarkan rasa cinta menjadi benci, kasih sayang menjadi permusuhan. Di antara usaha melindungi rumah daripada syaitan adalah dengan memperbanyakkan solat sunat Rawatib. Rasulullah s.a.w. telah menyarankan supaya menunaikan solat sunat Rawatib di rumah. Perkara ini bertujuan agar rumah dapat memperolehi rahmat daripada Allah s.w.t. sekali gus terhindar daripada gangguan syaitan. Allah akan menurunkan kebaikan dengan berbagai jenis nikmat yang boleh menjadikan penghuninya merasa selesa dan tenteram tinggal di dalamnya kerana syaitan tidak suka berada di rumah yang penghuninya melakanakan solat degan sempurna.
  8. Mempermudahkan jalan untuk mencapai impian – Matlamat hidup kita adalah untuk mencari kebahagiaan di akhirat. Akan tetapi, kita tidak boleh melupakan kebahagiaan dunia. Sebabnya, kebahagiaan di dunia boleh manjadi jalan untuk memperolehi kebahagiaan di akhirat. Solat mampu membawa kita mencapai kejayaan sejati dunia dan akhirat. Solat merupakan cara yang tepat untuk membina ciri-ciri peribadi yang dapat mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
  9. Menjauhkan perkara negatif – Orang yang menunaikan solat lima waktu dan ditambah dengan solat sunat Rawatib pasti akan dapat membina peribadi yang baik dan tidak suka melakukan perbuatan keji dan mungkar. Hidup mereka akan tenteram dan bahagia.
  10. Amat baik untuk kesihatan tubuh – Berbagai kajian telah membuktikan bahawa solat yang dilakukan dengan betul mampu menyihatkan tubuh manusia. Setiap pergerakan solat merupakan sebahagian daripada senaman otot dan sendi. Solat yang dilakukan dengan betul dan tenang dapat membantu kecergasan badan.

Daripada keterangan di atas, tidak ada alasan bagi kita mengabaikan solat sunat Rawatib. Meskipun banyak solat sunat yang lain, namun solat solat sunat Rawatib mempunyai keutaman yang amat besar bagi kehidupan kita di dunia dan akhirat.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk istiqamah dalam mengerjakan solat sunat Rawatib.

doa supaya istiqamah dalam ibadah

 “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.
(‘Ali ‘Imran: 8)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *